Masyarakat di Sarawak yang terdiri daripada lebih 30 kumpulan etnik kaya dengan adat warisan dan budaya masing-masing yang unik.
Dari adat perkahwinan tradisional hinggalah ke masakan dan hiburan, suku kaum di Sarawak juga mewarisi permainan tradisional yang unik sejak dari dulu lagi.
Pisa’ Asin
Pisa’ Asin adalah permainan tradisional masyarakat Melanau dan masih diminati sehingga sekarang. Permainan ini sesuai dimainkan oleh golongan kanak-kanak dan sering dimainkan pada pesta keramaian.
Pisa’ Asin terbahagi kepada dua (2) versi, iaitu ‘asin tu’u’ dan ‘asin bibung’. Dalam ‘asin tu’u’, pemain bertahan hanya boleh menangkap pemain yang bermain di dalam kawasan gelanggang sahaja dan tidak boleh menangkap pemain yang bermain di luar gelanggang.
Dalam ‘asin bibung’, gatuong (pemain tengah) dibenarkan mengejar pemain yang bermain sehingga melintas garisan hujung gelanggang.
Mengikut peraturan permainan, kedudukan pemain yang bermain tidak boleh keluar dari garisan tepi atau garisan kepala gelanggang. Pemain yang berlari lurus ke hujung gelanggang boleh dikejar.
Melakut Karat
Melakut Karat adalah permainan tradisional masyarakat Iban di Sarawak. Dalam bahasa Iban, istilah melakut karat bermaksud ‘tarik dan tolak’.
Permainan ini bertujuan untuk menguji kekuatan lelaki apabila mereka perlu menarik keluar kayu balak yang hujungnya ditanam di dalam tanah dengan sekuat hati dan sejauh yang boleh.
Kayu balak yang berjaya ditarik keluar diukur jaraknya ditarik keluar dari dalam tanah. Pemuda yang berjaya menarik paling jauh biasanya menjadi sebutan dan perhatian wanita.
Mintubow (Main Gasing)
Mintubow atau Main Gasing adalah permainan tradisional masyarakat Melayu dan Bidayuh di Sarawak.
Lazimnya, permainan ini dimainkan selepas musim menuai padi dan dipertandingkan antara kampung. Pemenang dikira berdasarkan tempoh masa gasing mampu berputar.
Pada asasnya, gasing diperbuat daripada kayu bebaru, kemuning, merbau, rambai, durian atau kundang manakala tali gasing pula diperbuat daripada pokok bebaru.
Kini, tali gasing juga diperbuat daripada tali nilon. Panjang tali gasing biasanya bergantung pada panjang tangan pemain atau lebih kurang 1 meter.
Untuk melicinkan pergerakan tali gasing, minyak kelapa biasanya disapu pada tali gasing.
Permainan Lagu Dodoi Anak – Bidayuh Singai
Lagu Dodoi Anak dimainkan dalam bentuk nyanyian secara berkumpulan oleh para ibu yang bertujuan menidurkan anak yang masih kecil.
Suatu ketika dahulu, nyanyian tersebut menggunakan campuran bahasa Bidayuh dan bahasa Melayu.
Biarpun campuran bahasa dalam nyanyian tidak mudah difahami oleh ramai orang, namun nyanyian tersebut memberikan maksud yang mendalam.
Berikut merupakan lirik lagu yang biasanya dinyanyikan oleh masyarakat Bidayuh Singai di Sarawak:
N’er An’er (n’or An’or)
N’er an’er jan tata
Siwok masu tiboyan toring
Sino nyaa maad mowah
Ngojit tadu babang biring
Ner An’er
Sa tokang nang birarang
Sa dipeh nang biradin
Maa moret ke aron koih
Koih nigang tana sigon
G’on ag’on bitou pop’eng
Pop’eng giriet paya a’maa
P’eh podi a’maa in’ong
In’ong diram bisama subam
Ner an’er
Sikait rogang gasuor
To ngait dowen timun
Dowen timun dowen dodap
Sunih nyadap dio muun
Ner an’er
Tuak masuom mo ni godug
Tuak mosea mo ni kapuong
Stayea nyopuong butan
Butan tu’uh bulan onguod
Ner an’er
Permainan Liaw – Masyarakat Bidayuh Sarawak
Pada zaman dahulu, permainan Liaw oleh masyarakat Bidayuh Singai di Sarawak dimainkan oleh kanak-kanak untuk mengisi masa lapang.
Permainan ini menggunakan penutup botol yang telah diketuk rata di bahagian tepi untuk dibentuk seperti syiling.
Satu penutup botol yang lebih besar digunakan sebagai kepala untuk membaling.
Permainan ini dimainkan secara berkumpulan, iaitu melibatkan seramai tiga (3) hingga lima (5) orang bergantung pada kesesuaian kawasan dan juga pemain itu sendiri.
Bagi memulakan permainan, bentuk segi empat dilukis di atas tanah dan saiznya bergantung pada kehendak pemain.
Satu garisan lurus dilukis berdekatan segi empat tersebut sebagai penanda tempat pemain–pemain berdiri untuk melempar penutup botol masing-masing ke dalam segi empat tersebut.
Pemenang akan ditentukan pada penghujung permainan apabila semua orang bersetuju untuk menamatkan permainan.
Pemenang dipilih berdasarkan jumlah penutup botol terbanyak yang diperolehi.
Rujukan:
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Sarawak