Pusat Teknologi Testbed CRAUN Research Sdn. Bhd. telah dirasmikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), YBhg. Datu Haji Azmi bin Haji Bujang pada 2 November 2023 (Khamis).
Pusat Teknologi Testbed Teknologi Makanan ini dibangunkan untuk menyokong proses peningkatan skala produk dan teknologi baharu yang dihasilkan melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan (P&P).
Kajian peningkatan skala dilakukan bagi mencari kaedah untuk meningkatkan kapasiti, efisiensi dan prestasi pengeluaran sesuatu produk atau teknologi baharu.
Testbed Teknologi Makanan turut menawarkan latihan kepada usahawan atau bakal usahawan dalam menghasilkan dan mengeluarkan produk makanan dan minuman yang bermutu dan berkhasiat serta menggunakan teknologi terkini.
Sehubungan itu, Kursus Teknologi Pemprosesan Makanan akan mula dilaksanakan pada tahun hadapan melibatkan;
- Kursus teknologi pemprosesan biskut sagu
- Kursus teknologi pemprosesan sago combo
- Kursus teknologi pemprosesan mi kuning
- Kursus teknologi pemprosesan kuey teow
- Kursus teknologi pemprosesan keropok lekor
Kursus-kursus tersebut akan dikendalikan secara teori dan amali, di mana peserta kursus akan mendapat khidmat bimbingan teknikal dan latihan secara hands-on serta berpeluang menggunakan mesin dan peralatan moden untuk kemudahan pengeluaran berskala kecil.
Untuk makluman, kursus teknologi makanan yang dikendalikan di Pusat Teknologi Testbed CRAUN Research ini adalah terbuka kepada individu atau kumpulan dan dijalankan selama satu (1) hari.
Sempena perasmian pusat teknologi testbed tersebut, tetamu-tetamu kehormat serta tetamu-tetamu yang hadir berpeluang menyaksikan sesi demonstrasi pemprosesan produk makanan berasaskan sago.