- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Petani Moden Bukan Sekadar Mahir Menggunakan Teknologi

Must read

Pada masa kini, revolusi teknologi masa depan telah mengubah cara kita bekerja dengan memanfaatkan sepenuhnya keupayaan manusia berhubung menggunakan perkakasan elektronik, objek dan pangkalan data berhubung dalam satu sistem rangkaian secara masa nyata melalui internet.

Bidang pertanian tidak terkecuali dalam mengadaptasi teknologi pintar dimana petani moden pada hari ini telah banyak menjalankan projek pertanian berasaskan penggunaan peralatan seperti mesin fertigasi automatik; sensor untuk mengukur kadar kelembapan tanah;

Penggunaan dron untuk membaja, memantau dan melakukan pemetaan; penggunaan teknologi Internet untuk Segalanya (IoT), automasi, kawalan operasi jarak jauh (remote operations) dan aplikasi analisis data raya (Big Data Analytics); stesen kajicuaca; platform web; dan aplikasi pada telefon pintar.

Pertanian moden iaitu kaedah tanaman hidroponik yang lebih mudah dan menjimatkan masa (Sumber gambar:https://www.radioidola.com/2023/bisnis-pertanian-modern-jad-tren-baru-penghasilan-petani-milenial/)

Seperti yang kita tahu, IoT yang berasaskan sambungan sistem rangkaian membolehkan kita berkomunikasi dengan sistem rangkaian untuk melaksanakan sesuatu tugas.

Petani-petani moden yang menggunakan teknologi IoT ini boleh mengakses maklumat-maklumat penting dan mengetahui keperluan-keperluan nutrisi yang diperlukan oleh tanaman mengikut peringkat pertumbuhan tanaman dan keadaan cuaca.

Mereka juga akan menggunakan data-data tersebut untuk menetapkan jumlah komposisi baja yang perlu disalurkan, justeru mengaplikasikan teknologi IoT dalam projek-projek pertanian ini salah satu tujuannya adalah untuk meningkatkan produktiviti dan hasil pertanian mereka.

Sementara, automasi dalam sektor pertanian pintar yang digunakan oleh petani moden merupakan teknologi yang menjadikan pengurusan ladang lebih efisien dan membolehkan kitaran pengeluaran tanaman atau ternakan dapat diurus secara automasi.

Salah satu teknologi pertanian moden ialah penggunaan dron untuk membaja, memantau dan melakukan pemetaan (sumber gambar: https://store.goldenfarm99.com/2022/05/16/teknologi-pertanian-modern/:

Sejak beberapa tahun yang lalu, industri pertanian di Sarawak telah mula mengimplementasikan teknologi automasi untuk merealisasikan konsep pertanian pintar melalui aplikasi dron, traktor autonomi, penuai robot, sistem penyiraman automatik dan sebagainya.

Teknologi automasi ini mampu menangani isu-isu seperti peningkatan populasi global, penjagaan kualiti tanaman, kawalan dari masalah serangga perosak, kekurangan tenaga kerja dan lain-lain.

Integrasi teknologi-teknologi juga telah membolehkan pengusaha ladang memantau dan mengawal elemen-elemen penting seperti tahap kelembapan, keadaan tanah dan suhu yang boleh menjamin pengeluaran hasil berkualiti tinggi secara konsisten.

Walau bagaimanapun, mereka yang digelar petani moden tidak hanya dinilai dari segi kemahiran menggunakan teknologi-teknologi moden, kerana aspek yang tidak kurang pentingnya ialah keupayaan membuat perancangan rapi sebelum mengusahakan sesuatu projek pertanian.

Perancangan rapi ini melibatkan selok-belok tanaman yang ingin diusahakan termasuk dari segi pengurusan modal, kaedah awal penyediaan bahan, cara penanaman, teknik pembajaan, teknik pertanian yang hendak diusahakan, kehendak pasaran dan jaringan pemasaran.

Mengulas lebih lanjut mengenai perkara ini, RAKAN Sarawak telah menemu bual Pengasas Masjaya Resources, Encik Chai Kian Jiew.

Pengasas Masjaya Resources, Encik Chai Kian Jiew

Sebagai makluman, encik Chai Kian Jiew mengusahakan projek tanaman nanas di kawasan seluas 14 ekar iaitu tujuh (7) ekar di Meranek, Samarahan dan 7 ekar di Sungai Mata, Kota Samarahan.

Sebagai petani moden, beliau telah melakukan banyak kajian berkaitan cara mengurus ladang nanas, cara membaja nanas dengan betul, jenis baja yang sesuai untuk merawat nanas yang berpenyakit dan sebagainya sebelum menjalankan projek tanaman nanas ini,

Beliau mengambil masa sekurang-kurangnya lima tahun untuk menjalankan kajian ini dan hanya setelah itu baharulah beliau mula melaksanakan tanaman nanas secara besar-besaran.

Hasil daripada kajian itu juga, beliau mendapat idea untuk menghasilkan produk jus nanas manakala rakan-rakan beliau berjaya mengeluarkan produk kopi nanas dan biskut fiber nanas.

Berbanding dengan petani-petani yang mengusahakan projek pertanian secara konvensional, mereka tidak mementingkan penyelidikan atau persiapan rapi kerana mereka lebih percaya dengan kaedah lama yang dipraktikkan sejak berkurun lama.

Selain Encik Chai Kian Jiew, RAKAN Sarawak ingin berkongsi pandangan seorang petani moden dari Ranau, Sabah iaitu Encik Shahrizal Denci (sumber: https://youtu.be/mymL2FIKumY).

Encik Shahrizal Denci (sumber: https://youtu.be/mymL2FIKumY)

Untuk makluman, Encik Shahrizal telah mendapat pendidikan tinggi dari Universiti Malaysia Perlis (UMP) malah pernah bekerja sebagai Jurutera Elektronik di sebuah syarikat multinasional yang beroperasi dalam bidang semikonduktor selepas menamatkan pengajian.

Tiga tahun selepas bergelar jurutera, beliau telah mengambil keputusan untuk balik ke kampung halaman kerana ingin berbakti kepada orang tua.

Semasa berada di kampung, dia mencari apa yang boleh dilakukan kerana pada waktu itu, tidak banyak kerja yang boleh dibuat, dan salah satu bidang yang berpotensi besar di kampung halamannya adalah bidang pertanian.

Tetapi, beliau berdepan dengan cabaran yang amat besar dimana kebanyakan orang menganggap bidang pertanian itu adalah untuk orang-orang yang tidak berpendidikan.

Pada masa itu, beliau turut berdepan dengan pelbagai stigma dimana ada orang memandingkan dirinya dengan orang lain yang tidak berpendidikan tinggi boleh mendapat pekerjaan sebagai anggota polis sebaliknya dia yang berpendidikan tinggi hanya bekerja sebagai petani.

Itulah cabaran-cabaran yang dihadapinya dan disebabkan itu, beliau mahu membuktikan kepada khalayak ramai yang sebenarnya pertanian ini adalah satu bidang yang sangat menyeronokkan.

Menurut Encik Shahrizal, dalam bidang pertanian ini, kita tidak boleh hanya menanam, menjual dan selesai setakat itu sahaja sebaliknya sebagai petani moden, kita perlu membuat perancangan awal sebelum menanam atau mengusahakan sesuatu projek pertanian.

Perkara yang paling penting sebelum menjurus kepada penggunaan teknologi ialah, kita harus membuat persiapan rapi termasuk dari segi pengurusan modal serta membuat penyelidikan berkaitan tanaman yang mahu diusahakan.

Sebagai petani moden, beliau percaya, bidang pertanian kalau dilakukan dengan cara yang betul, kita pasti akan berjaya dan menjana pendapatan yang tinggi namun, kita harus ada perancangan yang rapi.

Jelas beliau, bermula dari cara kita bertani itulah yang boleh membuatkan bidang pertanian ini menjadi seronok dimana kita boleh mencontohi negara-negara barat yang mengusahakan projek pertanian menggunakan kaedah hidroponik, teknik fertigasi dan teknik akuaponik.

Meskipun kita menjalankan projek pertanian secara konvensional sekalipun, kalau kita ada perancangan yang rapi serta strategi pemasaran yang betul, bidang pertanian ini boleh pergi jauh.

Pada masa ini, negara kita banyak bergantung kepada makanan-makanan dari negara luar misalnya sayur-sayuran yang diimport dari negara India, China, New Zealand dan sebagainya.

Contoh pertanian yang dijalankan secara konvensional

Kerana itu, pola pemikiran kita harus diubah kerana bidang pertanian ini sebenarnya boleh pergi jauh kerana ada permintaan tinggi daripada industri makanan di negara kita.

Namun, ia perlu dilakukan dengan betul dan ada teknik-teknik atau cara baharu yang lebih sesuai supaya akan ada banyak orang yang menceburkan diri dalam bidang pertanian ini.

Masih ramai yang tidak menyedari bahawa pada zaman sekarang, petani tidak semestinya pegang cangkul, kerana sudah ada banyak teknik moden yang boleh dilakukan untuk menanam sayur-sayuran.

Pada hari ini sudah ada banyak mesin dan jentera yang sangat membantu dalam bidang pertanian justeru, inilah tugas beliau dan generasi-generasi baharu unbtuk membuatkan petani-petani tua kita faham bahawa bidang pertanian ini sebenarnya sudah berevolusi.

Kesimpulannya, petani moden yang bijak akan sentiasa membuat persiapan rapi serta cuba memanfaatkan teknologi-teknologi baharu untuk dapat mengeluarkan hasil-hasil pertanian yang lebih banyak dan berkualiti.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article