- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Inovasi Beralih Ke Tenaga Boleh Diperbaharui

Must read

Sarawak akan menyesuaikan diri dengan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui untuk berkembang maju dengan ekonomi yang lebih kukuh berbanding dengan tempat-tempat lain di wilayah ini.

Menyingkap sejarah apabila Winston Churchill menukar minyak daripada arang batu untuk menjadikan kapal perang tentera British lebih efisyen ketika Perang Dunia Kedua, Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menjelaskan, langkah yang diambil bekas Perdana Menteri Britain tersebut boleh menjadi pengajaran kepada Sarawak dalam usaha negeri ini beralih kepada tenaga boleh diperbaharui.

“Keputusan Churcill menerima minyak daripada arang batu supaya kapal perang British lebih pantas dan lebih fleksibel membawa kepada ketuanan Tentera Laut Diraja British yang berjaya menghalang tentera German pimpinan Adolf Hitler daripada menyeberangi Selat Inggeris ketika Perang Dunia Kedua,” ujar beliau.

Hari ini, Sarawak mengorak langkah untuk menukar tenaga minyak kepada tenaga boleh diperbaharui dan perlu menyesuaikan diri dalam peralihan tersebut.

Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah SCSICA 2023

Tambah beliau, untuk mencapai hasrat tersebut dengan jayanya, inovasi dan minda terbuka perlu ditekankan.

Sebagai contoh, integrasi ekonomi digital dalam tadbir urus di Sarawak telah terbukti memainkan peranan penting semasa pandemik COVID-19.

Beliau mengakui, ramai pihak meragui transformasi ekonomi digital Sarawak pada mulanya. Namun begitu, COVID-19 telah mengajar bahawa ekonomi digital adalah penyelesaian yang mampu meringankan beban rakyat ketika berdepan pandemik.

Menerusi asas ekonomi digital sedia ada, banyak urusan dalam talian dan yang berasaskan digital seperti berkomunikasi dan membeli keperluan telah membantu rakyat di negeri ini menghadapi cabaran pandemik, tambah beliau.

Beliau memaklumkan perkara tersebut ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Anugerah Konvensyen Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSICA) 2023 pada 27 Oktober lepas di Kuching.

Dalam pada itu, Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki menekankan, inovasi dan data adalah pemacu kepada transformasi sosisoekonomi dan ekonomi baharu.

Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg diiringi Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki (kanan) serta beberapa tetamu kehormat yang lain ketika menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah SCSICA 2023 – Foto JAPEN Sarawak

Menurut beliau, inovasi dan kreativiti bukan sekadar sifat yang diingini, malah juga penting untuk kelangsungan hidup dan untuk berjaya kerana inovasi dan kreativiti dapat memacu pembangunan produk baharu, perkhidmatan dan perniagaan serta membolehkan organisasi menyesuaikan diri dengan perubahan pantas, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kemajuan masyarakat.

“Oleh yang demikian, mengamalkan budaya inovasi dan kreativiti adalah asas dalam Perkhidmatan Awam Sarawak untuk memastikan kita terus berkembang maju dalam dinamik landskap ekonomi baharu,” jelas beliau.

Beliau turut mengingatkan penjawat awam agar tidak menjalankan urusan dengan cara yang biasa, iaitu ‘business as usual’ kerana inovasi dan gangguan teknologi seperti internet, Kecerdasan Buatan (AI) dan automasi menjadi pemacu utama ekonomi baharu yang telah mengubah industri, perniagaan, tingkah laku pengguna termasuklah kehidupan seharian.

Sehubungan dengan itu, perkhidmatan awam mestilah melangkah ke hadapan dan bergerak lebih pantas untuk bersaing dengan kemunculan ekonomi dan teknologi baharu serta jangkaan yang tinggi daripada kepimpinan negeri dan pihak berkepentingan terhadap penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

Dalam penganugerahan kali ini, Kumpulan Lands Tahai Q dari Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Limbang muncul juara apabila memenangi Anugerah Inovasi Premier Sarawak SCSICA 2023 yang merupakan anugerah tertinggi SCSICA.

Kumpulan tersebut turut memenangi Anugerah Inovasi SCSICA 2023 bagi kategori Agensi Utama Negeri Sarawak.

Sepanjang konvensyen berlangsung, sebanyak 168 Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) telah bertanding di peringkat saringan manakala 43 kumpulan pula berjaya mara ke peringkat akhir.

Penganjuran SCSICA 2023 adalah sebagai acara penutup untuk Sambutan Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak dengan tema ‘Innovation and Creativity: Embracing New Economy’ yang telah bermula pada 27 September lepas.

SCSICA adalah satu pengiktirafan tertinggi dan berprestij untuk ciptaan atau penambahbaikan inovasi hasil cetusan idea kreatif dalam kalangan penjawat awam, khusus untuk mempertingkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article