CENTEXS Sarawak sebagai sebuah institusi teknikal yang menjurus kepada pengaplikasian teknologi telah menjalankan peranannya mewujudkan program dengan rakan strategik industri seterusnya melatih dan menyediakan tenaga kerja demi pembangunan Sarawak.
Pengujian teknologi atau lebih dikenali sebagai Test Beds pula merupakan sebahagian daripada model perniagaan CENTEXS selain menyediakan pengajaran dan pembelajaran, akademi, latihan, inovasi dan penyelidikan.
Di CENTEXS Lundu yang turut dijadikan sebagai Test Beds Akuakultur dengan pihak CENTEXS bekerjasama dengan pihak yang pakar dalam bidang ini iaitu Syarikat Toclan telah menjadi tenaga pengajar untuk pemindahan dan pengembangan teknologi dalam bidang akuakultur ini.
Menurut Encik Shukri Mortadza, Ketua Pegawai Kewangan sewaktu ditemu bual RAKAN Sarawak berkata tujuan Test Beds Akuakultur adalah untuk menguji penggunaan sistem RAS (Recirculating Aquaculture system) dalam industri perikanan.
Jelasnya, Sistem RAS adalah sistem yang direkabentuk khusus untuk menternak ikan ataupun hidupan akuatik secara intensif di dalam persekitaran yang terkawal.
Sistem RAS ini memanfaatkan teknologi yang menggabungkan berbagai komponen, seperti tangki ternakan, penapis mekanikal dan biologis (drum filter dan bio chamber), pam air, sistem pengudaraan (aeration) serta kawalan mutu air.
Matlamat akhirnya daripada test beds ini adalah untuk mendapatkan hasil yang optimal bagi pertumbuhan dan kesihatan ikan, serta meningkatkan efisiensi penggunaan air dan pengolahan sisa organik (waste management).
Menceritakan lebih lanjut mengenai sistem RAS, menurut beliau apa yang dikatakan mengenai efisiensi pengoptimum penggunaan air ialah melalui kaedah recirculation air yang digunakan dalam tangki dapat digunapakai kembali setelah melalui proses filtrasi, sehingga jumlah penggunaan air dapat dikurangkan secara berkesan berbanding dengan akuakultur konvensional.
Dari segi kawalan kualiti air pula, melalui penggunaan penapis mekanikal dan biologis, sistem ini dapat menghilangkan zat-zat pencemar seperti bahan organik, ammonia dan nitrat di dalam air.
Hal ini akan membantu menjaga kualiti air dalam tangki ternakan agar tetap optimal memenuhi keperluan bagi pertumbuhan ikan.
Dari aspek pengurusan sisa (solid waste), Sistem RAS juga dapat membantu dalam pengurusan sisa buangan ikan dan daripada lebihan makanan ikan (pellet).
Bahan sisa yang terhasil akan terkumpul dalam penapis (filter) dan dapat dimanfaatkan sebagai baja organik atau ditapis kembali untuk menghilangkan zat berbahaya sebelum air digunakan semula ke tangki ternakan.
Dari aspek peningkatan biosekuriti, pula penternakan ikan dalam RAS dapat membantu mencegah penularan penyakit dari persekitaran terutama daripada ikan liar, haiwan dan pencemaran air. Perkara ini akan meningkatkan biosekuriti dalam penternakan ikan dan mengurangi risiko kematian ikan (mortality rate) akibat penyakit.
Manakala matlamat akhirnya peningkatan produktiviti, dengan sistem RAS yang terkawal dan kualiti air yang optimal, hasil ternakan akuatik yang diternak menggunakan sistem RAS dapat membesar dengan lebih cepat dan lebih sihat selain dapat mengawal pengunaan makanan ternakan serta menjana peningkatan hasil produk yang berkualiti dalam industri akuakultur.
Encik Shukri berkata melalui test bed akuakultur yang menggunakan sistem RAS, kita memperolehi data dan informasi secara terperinci yang dapat digunakan untuk mengembangkan teknologi ternakan ikan yang lebih efisien dan mampan.