- Advertisement -spot_img
4,835
published news
and counting

Inovasi Produk Makanan Sarawak – Sagu

Must read

Kajian saintifik mendapati sagu mengandungi antioksidan dan kanji resistan yang mempunyai pelbagai khasiat dan manfaat kepada kesihatan badan kita.

Bahan mentah Sagu ini ada yang dijadikan bahan utama dan bahan tambahan dalam penghasilan makanan tempatan Sarawak dengan Sarawak yang  sinonim sebagai pengeksport sagu terbesar di dunia sekitar 25,000 hingga 40,000 setiap tahun ke Semenanjung Malaysia, Jepun, Taiwan, Singapura dan sebagainya.

Tinjauan RAKAN Sarawak mendapati antara produk yang menggunakan sagu sebagai bahan utama ialah produk Linut Segera daripada usahawan inovatif  Dr Siti Mardinah binti Abdul Hamid.

Linut adalah makanan tradisional bagi masyarakat di Sarawak terutamanya masyarakat Melanau yang pernah suatu ketika dahulu mengantikan makanan ruji nasi.

Linut Segera ini mudah untuk dikendalikan dan boleh dimakan pada bila-bila masa di mana jua
Linut Segera ini begitu mudah disediakan, cuma gaulkan air panas tadi ke dalam dua (2) bahan tadi (serbuk tepung dan air)

Menurut Dr Siti Mardinah, idea penghasilan Linut Segera timbul kerana ingin memberikan kepuasan kepada pelanggan untuk menikmati makanan yang masih panas dan mudah disediakan oleh pelanggan bila-bila masa dan di mana jua.

Sebelum ini, dia pernah menjalankan perniagaan linut menerima tempatan secara online dengan menyediakannya di rumah ataupun secara jualan fizikal di gerai pasar malan setiap hujung minggu.

Dia berfikir sebaliknya adalah lebih baik pelanggan menyediakannya sendiri dengan hidangan masih panas (berbanding sebelum ini, linut akan sejuk apabila sampai ke pelanggan).

Dr Siti Mardinah binti Abdul Hamid menunjukkan dua (2) produk utama Instant Linut Segera iaitu Rasa Asli Sarawak (Sambal Ikan Bilis) dan Sambal Terung Asam

Dr Siti Mardinah yang juga seorang pensyarah kanan di salah sebuah Universiti utama di Sarawak telah menjalankan beberapa penyelidikan dan inovasi memudahkan lagi penyediaan tiga (3) bahan utama dalam bentuk paket  iaitu Serbuk Tepung Sagu (yang telah diproses menjadi ringan), Serbuk Air (yang diubahsuai mempercepatkan proses larutan) dan Sambal (menggunakan ikan bilis sebagai ganti belacan).

Proses penghasilannya begitu mudah iaitu mengaul rata serbuk tepung dan serbuk air terlebih dahulu dan mencampur air (sila pastikan mendidih) di masukkan dan digaul serentak sedikit demi sedikit sehingga terhasilnya linut. Kemudian boleh lah di tambah sambal.

Perniagaan kini di bawah jenama LarisS, menurut Dr Siti Mardinah, di urus oleh anaknya selain merancang untuk memperluaskan produknya sehingga ke luar negara, kini Linut Segera boleh  di dapati di semua pasaraya tempatan dan stesen minyak terpilih sekitar Kuching.

Tinjauan RAKAN Sarawak juga mendapati, sagu juga dijadikan “ramuan atau perisa tambahan” bagi produk-produk makanan Sarawak seperti produk “Sarawak Chocolate Chelum.”

Tidak keterlaluan dikatakan, setakat ini satu-satunya coklat yang mengabungkan citarasa tempatan Sarawak dengan memanfaatkan bahan mentah yang hanya terdapat di Sarawak antaranya seperti sagu terdapat pada Coklat Chelum.

Sarawak Chocolate Chelum yang mempunyai kepingan Tebaloi (Tebaloi Crunch) dan biji Sago (Sagok Pearl) antara popular di kalangan penduduk tempatan yang menyukai rasa manis dan rasa ranggup
Ada lima (5) perisa dengan bahan-bahan tempatan menjadikan Sarawak Chocolate Chelum ini unik dan lebih beridentitikan Sarawak

Ini memberikan inspirasi kepada Puan Noor Asmah binti Mohamad Mokhtar yang juga pengemar coklat untuk “mencipta resepi” mengabungkan citarasa tempatan Sarawak dengan memanfaatkan bahan mentah yang hanya terdapat di Sarawak seperti sagu.

Puan Noor Asmah mendapati kebanyakan coklat yang di jual terdapat pasaran tempatan hampir semuanya sama dan tiada pilihan seperti perisa hazelnut, almond dan sebagainya dan lebih kepada memenuhi citarasa luar negara.

Maka, terhasillah coklat “Sagok Pearl” dan “Tebaloi Crunch”, yang unik kerana hanya Sarawak sahaja mempunyai bahan mentah tersebut, tiada di negara luar. Secara ringkasnya, untuk Coklat “Sagok Pearl” mempunyai biji Sagu manakala “Tebaloi Crunch” mempunyai kepingan kecil Tebaloi yang kemudian dimasukkan ke dalam campuran coklat.

Cetusan inspirasi ini diceritakan oleh anak Puan Noor Asmah iaitu Adriana Binti Mohamad Azaman yang kini meneruskan perniagaan keluarganya merasakan perniagaan coklat ini mempunyai potensi pasaran yang besar ke peringkat paling tinggi.

Proses memasukkan biji sagu di dalam coklat yang telah dicairkan

Menurut Adriana, pemilihan jenama Chelum juga diinspirasikan daripada bahasa Iban bermaksud hitam dan gelap sesuai dengan sifat coklat itu sendiri.

Ternyata langkah “mencipta coklat berperisa Sarawak ini berjaya memikat hati pengemar coklat dengan citarasa masing-masing.

Menurut Adriana, coklat keluaran mereka mempunyai lima (5) perisa yang mempunyai  keunikan tersendiri. Selain “Sagok Pearl” dan “Tebaloi Crunch” tadi, tiga (3) lagi  perisa lain ialah “Tiong Delite” di dalamnya dimasukkan  manisan Terung Asam/ Terung Dayak, “Lazeez Spice” dimasukkan rempah-ratus  dan “BlackPepper Seeds” dimasukkan Lada Hitam Sarawak.

Berdasarkan pemerhatian mereka serta berdasarkan permintaan jualan, kebanyakan orang tempatan lebih suka perisa yang manis dengan dicadangkan coklat “Sagok Pearl” dan “Tebaloi Crunch.”

Adriana Binti Mohamad Azaman yakin perniagaan Coklat ini yang diasaskan ibunya berpotensi pergi lebih jauh

Bagi yang mengemari kurang manis pula, akan memilih coklat yang berperisa “BlackPepper Seeds” dan “Lazeez Spice” dan kebanyakan pelancong negara luar meminati perisa ini mungkin disebabkan sudah terbiasa dengan rasa rempah ratus dan rasa yang pedas.

Memperkukuhkan lagi identiti coklat Sarawaknya, coklat yang berperisa “Tiong Delite” untuk yang mengemari rasa manisan Terung Asam/ Terung Dayak.

Walaupun Adriana masih lagi menuntut di pusat pengajian, dia tetap memberikan fokus untuk meneruskan perniagaan ibunya di bawah  Syarikat Lazezz yang telah pun bermula 3 tahun lepas  ketika negara di landa pandemik COVID-19.

Jelas Adriana, ibunya berterima kasih kepada Lembaga Koko yang memberi bantuan berupa mesin pencair coklat dan meja marble (bagi tujuan meratakan coklat), terutama coklat yang berbentuk bulat manakala selebihnya, mereka menggunakan wang sendiri.

Bermula daripada berjual secara dalam talian dan belum berdaftar mengusahakan di tempat bersebelahan dengan rumah mereka, sehinggalah sudah berdaftar dan memiliki  kedai di Kubah Ria dan pada tahun lepas pembungkusan coklat ini telah pun diperkemaskan.

Ketika ditanya mengenai pengeluaran, katanya ia berdasarkan permintaan. Semua produk coklat tersebut berharga RM6.50 manakala yang dijual di tempat lain yang memerlukan sewa tempat pula berharga RM7.00

Matlamat utama mereka kini untuk meningkatkan stok produk, kerana kebanyakan segmen pasaran berbeza yang turut dibekalkan ke semua lapangan terbang utama di Sarawak, kedai-kedai cenderahati dan Muzium Borneo Sarawak.

Tinjauan RAKAN Sarawak ke seorang lagi usahawan inovatif  turut mendapati produk berasaskan Tepung Campuran Sagu juga berpotensi besar untuk dipopularkan semula  dan baik untuk kesihatan.       

Menurut Puan Precinia anak Patrick, produk inovasinya terdapat dua (2) jenis Tepung Premix Ayam Goreng (Tepung Sagu) dan Tepung Lemantak Ayam Goreng (Tepung Sagu).

Tepung sagu yang  sepenuhnya 100% (tiada tepung gandum) ini  akan dicampur dan digaul dengan serbuk rempah-rempah seperti serbuk bawang, garam, lada putih dan sebagainya.

Tepung Premix Ayam Goreng (Tepung Sagu), Pilihan kepada pengguna yang inginkan kelainan dan mengutamakan kesihatan

Idea asalnya tercetus pada mulanya apabila suaminya ingin memasak ayam goreng, tiada tepung  di rumah yang ada hanya tepung lemantak.

Berbekalkan sedikit kreativiti dia memproses tepung sagu tersebut dengan mencampurkan ramuan yang dia suka maka terhasilnya, tepung sagu serba guna.

Tepung Sagu Ayam Goreng ini dijual dengan harga RM8 (tepung sagu yang diproses di kilang) dan RM10 (tepung sagu diproses secara tradisional) dengan berat 100 gram.

Penyediaan makanan kini lebih mudah dengan adanya Tepung Premix Ayam Goreng (Tepung Sagu)

Ketika ditanya apa kelebihan tepung sagu, jelas Puan Precinia tepung sagu bebas gluten di samping ayam yang digoreng cepat masak (kembang) dan  lebih rangup.

Inovasinya pernah memenangi anugerah dari Yayasan Inovasi Malaysia (merangkumi mesin dan pembungkusan), kata nya yang turut mengusahakan Katering dan jualan produk makanan.

Puan Precinia anak Patrick gembira dengan penghasilan produk ini kerana pada masa yang sama dapat berkongsi apa yang dia suka dengan pelanggan

Ketiga-tiga Usahawan Inovatif Sagopreneur CRAUN tersebut ditemui RAKAN Sarawak sewaktu perasmian Pusat Testbed CRAUN Research pada 2 November 2023.

Usahawan ini pernah memenangi Peraduan Usahawan Inovatif 2022 ketika Seminar Industri Sagu dengan tempat Johan (Dr. Siti Mardinah binti Abdul Hamid dengan produk Linut Segera), tempat kedua ( Puan Noor Asmah bt Mohamed Mokhtar dengan Sarawak Chocolate Chelum) dan tempat ketiga ( Puan Precinia anak Patrick dengan Tepung Premix Sagu).

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article