- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

YSISS Menyediakan Pendidikan Bertaraf Antarabangsa

Must read

Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak atau lebih dikenali sebagai Yayasan Sarawak International Secondary School (YSISS) bermula daripada cetusan aspirasi Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg untuk memberi peluang kepada semua rakyat Sarawak terutama golongan berpendapatan rendah (B40) melanjutkan pengajian di sekolah antarabangsa.

Jika ditinjau daripada trend sekolah antarabangsa, sekiranya golongan ini tidak diberi peluang suatu hari nanti mereka akan ketinggalan.

Kerajaan Sarawak menerusi Yayasan Sarawak bersedia mengambil tanggungjawab ini dengan  keyakinan tinggi, pendidikan mampu mengubah masa depan anak dan keluarga mereka kelak.

Menerangkan lebih lanjut mengenai YSISS, RAKAN Sarawak telah menemu bual Pengetua YSISS, Encik Bakhtiar Affendi untuk menerangkan perkembangan terkini  sekolah antarabangsa ini.

Pengetua YSISS, Encik Bakhtiar Affendi

Setakat ini, YSISS Petra Jaya telah pun beroperasi pada tahun 2021, menawarkan pengajian dari Tahun 7 (Tingkatan 1) sehingga Tahun 11 (Tingkatan 5) dan mengguna pakai kurikulum Cambridge IGCSE (International General Certificate of Secondary Education) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Sehingga kini (2023), terdapat lebih kurang 178 orang pelajar  dengan pecahan kategori pelajar bagi tahun 8 (99 orang pelajar) dan pelajar tahun 7 (79 orang pelajar).

Jelas Encik Bakhtiar lagi, syarat -syarat kemasukannya ialah pelajar atau salah seorang ibu dan bapa adalah anak jati Sarawak, pencapaian minimum Band 4 untuk pentaksiran Bilik Darjah bagi Subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains (Tahun 6).

YSISS yang diaspirasikan Premier Sarawak, akan meletakkan modal insan dan generasi muda setanding ke tahap antarabangsa

Langkah pertama, jelasnya pelajar  hendaklah memohon menduduki Penilaian Kemasukan Sekolah secara dalam talian dengan subjek yang akan dinilai ialah lebih menjurus kepada 4 subjek iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Ia boleh dijawab dalam dwi Bahasa dengan jawapan pelbagai pilihan dan jawapan ringkas.

Sebaik permohonan di terima, pihaknya akan membuat penilaian dan akan memilih pelajar yang benar-benar layak untuk ke sekolah ini.

Beralih kepada kurikulum sekolah ini, menurut Encik Bakhtiar walaupun ia menguna pakai kurikulum Cambridge IGCSE, pada masa yang sama pelajar diwajibkan untuk mengambil kurikulum kebangsaan dengan subjek seperti Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Moral, Sejarah, Pendidikan Kesihatan dan Jasmani.

Untuk kurikulum IGCSE ini pula, subjek yang perlu diambil Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Pengkomputeran, Perspektif Global dan Seni dan Reka Bentuk.

Dengan adanya kedua-dua kurikulum ini, pelajar akan cemerlang di dalam kedua-dua Kurikulum Kebangsaan dan IGSCE.

Pelajar digalakkan mereka berinteraksi dengan kawan-kawan mereka daripada pelbagai kawasan dengan pelbagai latar belakang etnik
Pembinaan sahsiah serta keyakinan diri melalui program pementasan drama

Kelebihan pada sekolah ini, pelajar mempunyai lebih kelayakan dan pilihan untuk memohon universiti swasta terutama di luar negara.

Selepas selesai Cambridge Upper Secondary, pelajar-pelajar boleh menyambung Pelajaran ke Cambridge International AS & A Level, Cambridge Pre-U, Cambridge AICE Diploma, Pre-U atau diploma di Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Malaysia.

Ketika ditanya apa perbezaan sekolah antarabangsa ini berbanding sekolah antarabangsa yang lain, menurut beliau semua subjek di ajar dalam Bahasa Inggeris, bermaksud selain pelajar bersedia untuk kurikulum IGCSE pada masa yang sama juga bersedia untuk SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dwi Bahasa (dengan menggunakan Bahasa Inggeris) .

Pelajar yang telah bersedia untuk menduduki peperiksaan IGCSE boleh mengambil peperiksaan lebih awal (tidak perlu menunggu selesai Tingkatan 5) dan masa yang ada hingga penghujung Tingkatan 5, mereka boleh mengambil peperiksaan SPM.

Jadi pada akhirnya, pelajar di sini boleh mendapat dua (2) sijil peperiksaan iaitu IGCSE dan SPM.

Bagi yang menduduki peperiksaan SPM, pelajar perlu menguasai subjek Sejarah, Bahasa Melayu kerana subjek tersebut penting untuk memohon ke Universiti Tempatan. Ini sekali gus memberikan pelajar di sini banyak pilihan sama ada menyambung di Universiti Awam atau Universiti Swasta terutamanya di luar negara.

Kemudahan selesa untuk mengulang kaji pelajaran

Selain itu, subjek seperti Sains, kita akan menggabungkan subjek tersebut dan mengajar apa yang utama dan asas, dan akan menambahbaik apa yang kekurangan di dalam kedua-dua kurikulum tersebut.

Menurut  Encik Bakhtiar kita memberikan pendedahan kepada kedua-dua kurikulum kerana yang paling penting fokus kita adalah untuk pelajar memahami ilmu pengetahuan termasuklah Sains, Matematik, Bahasa Inggeris, Pengkomputeran, Perspektif Global dan Seni dan Reka Bentuk.

Ditanya mengenai “produk” dan bakal pelajar yang dihasilkan daripada sekolah ini, menurut Encik Baktiar kita inginkan pelajar menjadi seorang yang beretika, berpengetahuan tinggi, pemimpin berkarisma dan pada masa yang sama mencapai keputusan yang cemerlang.

Makmal Kimia
Makmal komputer

Sebagaimana yang diaspirasikan Premier Sarawak, pelajar ini nanti sepatutnya layak dan mampu menempatkan diri mereka di sepuluh (10) Universiti terkemuka dunia (berdasarkan penarafan dunia).

Itulah apa yang kita harapkan pelajar boleh capai dan menjadi sasaran serta matlamat utama mereka.

Pada masa yang sama, kita ingin pelajar menjadi semakin baik dalam pembelajaran, pengetahuan, etika dan tingkah laku.

Setakat ini, kita berjaya mencapai sasaran tahunan kita. Sebaik sahaja pelajar mengikuti pengajian di sini, kita akan mendedahkan mereka kepada Bahasa Inggeris, Matematik dan mereka perlu menyesuaikan diri.

Kelas Seni dan Reka Bentuk

Pada tahun pertama persekolahan mereka, kita akan galakkan mereka berinteraksi dengan kawan-kawan  mereka daripada pelbagai kawasan dengan pelbagai latar belakang etnik.

Kita perlu mengadaptasi bagaimana keadaan bila berada di sekolah menengah, bagaimana untuk mendapatkan gred dan markah yang cemerlang, bagaimana untuk mendapat  kompeten yang bersesuaian kerana akademik menjadi perhatian utama pihaknya.

Gelanggang kemudahan sukan

Pihaknya turut menyasarkan pelajar untuk menjadi lebih cemerlang seperti di dalam pengucapan awam, di dalam pementasan drama, di dalam sukan dan permainan.

Pada perkara berkaitan, Puan Noranne binti Adam Assim (Ketua Pegawai Eksekutif) dari YS International Education Sdn Bhd, Syarikat di bawah Yayasan Sarawak yang mengendalikan sekolah antarabangsa ini berkata selain YSISS Petra Jaya dan YSISS Kuching (dijangka beroperasi suku pertama 2024), pihaknya turut merancang untuk membina tiga (3) buah lagi sekolah antarabangsa di Sibu, Bintulu dan Miri menjelang tahun 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif YS International Education Sdn Bhd, Puan Noranne binti Adam Assim

Dengan pembukaan kampus itu nanti, Puan Noranne berkata ia mampu memberikan lebih banyak peluang pelajar untuk memohon dan mendapat pendidikan antarabangsa ini.

Ia sekali gus memberikan peluang kepada rakyat Sarawak untuk mendapatkan Pendidikan bertaraf antarabangsa selain dapat menempatkan lebih ramai pelajar (kampus  Kuching berupaya menempatkan 500 orang pelajar pada satu-satu masa).

Perkembangan ini suatu kebanggaan kerana inilah satu-satu sekolah antarabangsa di Malaysia yang dikendalikan oleh Kerajaan.

Jelasnya peranan Syarikat ini adalah untuk mengurus dan memenuhi keperluan kertas peperiksaan, peperiksaan kemasukan dan pengambilan guru.

Selain syarat-syarat kemasukan utama, peruntukan pengambilan pelajar adalah kategori B40 (50 peratus), M40 (40 peratus) dan T20 (10 peratus).

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article