- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Cendawan Tiram Jana Pendapatan Lumayan

Must read

RAKAN Sarawak berkesempatan menemu bual Pengasas Quemushroom, Encik Mohammad Zakaria bin Jamsari (39) untuk mendengar pengalaman beliau setelah berkecimpung dalam bidang keusahawanan berkaitan cendawan tiram.

RAKAN Sarawak amat kagum dengan kisah beliau, di mana keputusan untuk menceburi bidang tanaman cendawan tiram sejak lima tahun yang lalu, akhirnya mendatangkan rezeki yang cukup berbaloi apabila beliau kini sudah mampu meraih pendapatan lebih RM5 ribu sebulan.

Disebabkan tanaman cendawan agak mudah untuk diusahakan serta tidak memerlukan ruang yang besar, maka beliau telah berusaha bersungguh-sungguh selain sentiasa menambah pengetahuan bagi memastikan projek yang diusahakan membuahkan hasil.

Beliau memilih untuk menjadi usahawan cendawan kerana bercita-cita ingin menjadi seorang peniaga berjaya apatah lagi beliau melihat bahawa pertanian itu adalah satu perniagaan, justeru memilih untuk mengusahakan projek tanaman cendawan untuk menjana pendapatan yang tinggi daripadanya.

Beliau menyifatkan penanaman cendawan adalah satu kerja yang senang, kerana dalam tempoh satu minggu beliau boleh mendapat hasilnya bahkan ia hanya memerlukan satu kawasan yang lembab misalnya, satu bongkah cendawan boleh menghasilkan sekitar lima ke tujuh kali pengeluaran.

Bagi beliau, untuk menjadi usahawan tani ini, yang penting adalah kita harus ada minat, keyakinan diri yang tinggi, jangan cepat berputus asa dan jangan malu untuk bertanya.

Pengasas Quemushroom, Encik Mohammad Zakaria bin Jamsari ketika ditemu bual RAKAN Sarawak

Bagi menambah pengetahuan dalam bidang tanaman cendawan dari segi cara-cara menjaga cendawan, cara mengelak penyakit dan sebagainya, beliau memberitahu dirinya banyak belajar dari youtube serta bertanya daripada orang-orang yang berpengalaman menerusi laman sosial facebook.

Pada mulanya, beliau hanya menjadikan tanaman cendawan sebagai pendapatan sampingan namun disebabkan permintaan yang agak menggalakkan, beliau telah memperbesarkan rumah cendawannya untuk menanam lebih banyak cendawan di bawah jenama Quemushroom bagi tujuan komersial.

Selepas semakin yakin dengan projek yang diusahakan, beliau terus mencuba dan menambah jumlah bongkah dari 10 ke 20 dan seterusnya menjadi beribu bongkah.

Cendawan tiram kelabu
Cendawan tiram putih
Cendawan kuping
Cendawan tiram merah jambu

Tambah beliau, tumpuan tidak hanya diberikan kepada cendawan tiram kelabu dan putih sahaja, namun beliau turut menanam cendawan tiram merah jambu dan cendawan kuping pada kuantiti yang terhad.

Buat masa ini, beliau lebih banyak memasarkan cendawan segar di sekitar Kuching, Bintulu, Miri dan Mukah dengan menggunakan perkhidmatan bas.

Menariknya, beliau kini tidak hanya menjual cendawan tiram segar sahaja kerana turut menghasilkan produk hiliran berasaskan cendawan iaitu Cendawan Goreng Crispy (perisa original dan pedas), Pekasam Cendawan dan Pekasam Kuping.

Menurut beliau, tercetusnya idea untuk menghasilkan produk hiliran daripada cendawan tiram ini ialah apabila berlakunya lambakan cendawan tiram kelabu dan putih segar.

Jadi, apabila terlalu banyak cendawan, dia mula berfikir cara hendak memasarkan cendawan tiram tersebut, dan akhirnya tercetuslah idea untuk menghasilkan produk hiliran daripada cendawan tiram ini.

Produk pertama yang mula dibangunkan oleh Quemushroom ialah cendawan goreng krispi perisa original dan pedas, kemudian disusuli dengan produk pekasam cendawan dan pekasam kuping.

Cendawan goreng krispi dijual dengan harga RM15 (150 gram) manakala cendawan segar dijual dengan harga RM5 (200 gram).

Pada masa akan datang, beliau berhasrat hendak mengeluarkan produk sampingan lain daripada cendawan tiram merah jambu dan cendawan jelly seperti serunding, pekasam dan sebagainya.

Untuk produk hiliran daripada cendawan tiram, Quemushroom sudah bermula sejak tahun 2021 iaitu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik COVID-19, manakala untuk projek tanaman cendawan, ia sudah bermula sejak tahun 2018.

Sebagai seorang usahawan, tidak dinafikan bahawa beliau turut berdepan dengan pelbagai cabaran antaranya ialah menghadapi kekurangan cendawan segar serta memasarkan produk yang baharu.

Menurutnya, disebabkan produk pekasam cendawan masih baharu, masih ramai pelanggannya yang belum mengetahui malah ianya kurang mendapat sambutan.

Buat masa ini, dia cuba untuk kurangkan pemasaran cendawan segar kerana mahu memberi fokus kepada produk hiliran yang kini mendapat permintaan yang agak memberangsangkan.

Cendawan goreng rangup
Pekasam cendawan
Pekasam cendawan kuping

Beliau komited hendak mengembangkan produk-produk hiliran tersebut di seluruh negara dan buat masa ini, produk cendawannya hanya dipasarkan secara dalam talian namun, Quemushroom kini sudah mempunyai ejen di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Pulau Pinang dan Johor.

Beliau memberitahu bahawa di Johor sudah ada peminat terhadap produk pekasam kuping, malah ejen-ejen Quemushroom di Johor turut memasarkan produk cendawan beliau sehingga ke Singapura.

Secara dasarnya, aktiviti pertanian yang berasaskan cendawan ini adalah satu usaha yang berbaloi dan jika ia dijadikan sebagai hobi, sudah pasti ia boleh dikembangkan sehingga menjana pendapatan seisi keluarga.

Jika kita lihat dewasa ini, peranan anak muda semakin penting dan berkembang di dalam bidang pertanian yang mampu memberi pulangan lumayan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article