- Advertisement -spot_img
4,771
published news
and counting

Pengeluaran Padi Untuk Tingkatkan Keselamatan Makanan

Must read

(Bahagian 2)

Jabatan Pertanian (DOA) Sarawak kini sedang membangunkan kawasan seluas 45 hektar untuk pusat pengeluaran benih padi jenis MR315 di Stumbin dan ia turut dilengkapi dengan infrastruktur ladang tertiari.

Mengikut jadual, padi tersebut akan dituai pada Januari 2024 dan diagihkan kepada sekitar 520 petani yang sanggup menanam varieti padi moden untuk musim penanaman utama pada September 2024.

Bagi musim penanaman semasa, DOA Sarawak telah mengagihkan 22.5 tan metrik benih padi jenis MR297 kepada sekitar 350 pesawah di Tanjung Bijat membabitkan kawasan seluas 150 hektar.

Benih MR297 ini boleh menghasilkan antara 4 hingga 6 tan metrik padi sehektar berbanding varieti padi tradisional, dengan purata hasil 2.7 tan metrik.

Varieti MR315 dan MR297 boleh menghasilkan antara 4 hingga 6 tan metrik padi sehektar berbanding varieti padi tradisional

Memandangkan hasil varieti padi moden lebih tinggi seperti MR297 dan MR315, M-FICORD akan terus menggalakkan petani kita menanam varieti ini serta mendidik mereka tentang pertanian yang baik dan amalan pengurusan ladang untuk meningkatkan pengeluaran, produktiviti dan pendapatan.

M-FICORD turut memperkukuh rantaian bekalan padi dan beras kerana mengakui kepentingan menerima mekanisasi dan automasi sebagai langkah penting untuk meningkatkan pengeluaran padi di Sarawak.

Sejak pengenalan program mekanisasi ladang dan automasi yang disediakan oleh DOA Sarawak, bilangan pesawah yang mendapat manfaat daripada program ini telah meningkat dengan agak ketara.

Kaedah menuai padi menggunakan teknologi moden

Pada 2023, DOA Sarawak telah membelanjakan RM103,000 untuk membantu kira-kira 300 pekebun padi di Bahagian Kuching, Sri Aman dan Serian, melibatkan 161 hektar kawasan padi.

Selain itu, tiga (3) Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) menyediakan traktor dan jentera lain kepada pekebun padi dengan nilai bantuan berjumlah RM130,000.00 pada tahun 2023.

M-FICORD juga akan terus membantu penanam padi dengan menyediakan kemudahan lepas tuai yang mencukupi untuk mengurangkan kerugian dan mengekalkan kualiti biji padi.

Baru-baru ini, DOA Sarawak telah melengkapkan Skim Pengairan Tanjung Purun dengan kemudahan pengeringan dengan kapasiti maksimum 6 tan metrik sehari.

Pesawah padi sedang melakukan aktiviti menanam padi di Pusat Pengeluaran Benih Padi Berkualiti di Stumbin (Foto: https://sarawaknews.com/projek-pusat-pengeluaran-benih-padi-berkualiti-di-stumbin-sri-aman/)

Kemudahan tersebut telah memanfaatkan sekitar 100 penanam padi dalam Skim ini. Sembilan (9) unit pengirik padi telah diperuntukkan kepada pekebun padi di Bahagian Kuching, Sri Aman, Serian dan Limbang yang memanfaatkan kira-kira 270 petani.

Program mekanisasi dan automasi akan diperluaskan ke semua kawasan pengeluaran padi utama di seluruh Sarawak pada masa hadapan untuk meningkatkan kecekapan operasi dan produktiviti.

Bagi menambah baik pengurusan ladang dalam penanaman padi, M-FICORD sedang giat mencari penglibatan aktif syarikat swasta yang mempunyai kepakaran, modal dan teknologi, sebagai syarikat peneraju untuk menguruskan ladang padi.

Pada tahun 2022, Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) pertama di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah dilancarkan di Kawasan Jelapang Padi Batang Lupar.

Pembangunan infrastruktur pengairan dan saliran jelapan padi Lingga, Banting sedang dilaksanakan (Foto: https://hmn.com.my/pembangunan-infrastruktur-pengairan-dan-saliran-jelapang-padi-lingga-banting-serta-kerja-kerja-berkaitan-bahagian-sri-aman-sarawak-fasa-1-block-c-d/)

Program Smart SBB ialah sistem pengurusan ladang berpusat yang membolehkan syarikat swasta terlibat secara langsung dengan petani dan pengusaha padi termasuk pemilik tanah di sepanjang rantaian bekalan padi.

Sehingga kini, lebih 200 petani terlibat dengan program SMART SBB di kawasan jelapang padi Batang Lupar.

Selain mempromosi varieti padi moden, M-FICORD turut menumpukan usaha meningkatkan kualiti padi tradisional atau warisan yang boleh dijual dengan harga lebih berpatutan di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Terdapat beberapa jenis padi tempatan yang unik dan boleh mendapatkan harga yang lebih baik di dalam dan di peringkat antarabangsa.

Memandangkan harga varieti ini tidak tertakluk kepada Akta Kawalan Padi dan Beras 1994, ia boleh dijual pada harga berdasarkan permintaan pasaran, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan petani.

Oleh itu, M-FICORD akan terus menyokong pertumbuhan varieti padi tradisional premium Sarawak dengan terus meningkatkan kualiti benih padi.

DOA Sarawak kini sedang membangunkan kawasan seluas 45 hektar untuk pusat pengeluaran benih padi jenis MR315 di Stumbin, Sri Aman (Foto: FB Jabatan Pertanian Sarawak)

Pada masa ini, Jabatan Pertanian sedang menjalankan proses penelitian bagi pelbagai padi terpilih termasuk benih Bario Sederhana dan Bario Halus untuk mendapatkan kualiti benih yang cemerlang.

DOA Sarawak juga turut bekerjasama dengan institusi awam dan swasta lain untuk mengukuhkan inisiatif penyelidikan dan pembangunan bagi meningkatkan kualiti benih padi warisan Sarawak.

Untuk itu, beliau memuji inisiatif yang sedang dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu yang menjalankan penyelidikan kesuburan padi Biris di bawah projek transformasi padi di Gedong.

Selain R&D, DOA Sarawak giat mempromosikan amalan terbaik pertanian dalam kalangan petani, termasuk Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) dan Skim Pensijilan Organik Malaysia (myOrganic).

Pensijilan ini mengiktiraf ladang yang mengamalkan amalan pertanian yang baik yang boleh meningkatkan kebolehpasaran beras warisan Sarawak Dimana sehingga kini, 92 pesawah telah mendapat pensijilan di bawah program pensijilan MyGAP.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article