- Advertisement -spot_img
4,797
published news
and counting

Hadiah Latihan Dalam Perkhidmatan

Must read

Setiap individu mempunyai alasan tersendiri apabila berhasrat untuk melanjutkan pengajian. Ada yang belajar semata-mata hanya untuk menambah ilmu pengetahuan dan ada yang ingin menambah pengetahuan dan meningkatkan kemahiran dengan harapan dapat meningkatkan peluang dalam kebolehpasaran kerja serta mendapat jawatan dan gaji yang setimpal dengan kemahiran yang dimiliki.

Dalam perkhidmatan awam di Malaysia, faedah melanjutkan pengajian ketika sedang dalam tempoh perkhidmatan disebut sebagai Hadiah Latihan Dalam Perkhidmatan.

Faedah tersebut disediakan untuk penjawat awam yang berkhidmat di peringkat Kerajaan Persekutuan ataupun di peringkat Kerajaan Negeri.

Pekeliling Perjawatan Negeri Sarawak Bil. 5 Tahun 2015 menerangkan Hadiah Latihan Dalam Perkhidmatan bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Negeri adalah dalam bentuk elaun untuk berkursus serta yuran pengajian dan cuti belajar.

Program pengajian yang ditawarkan kepada penjawat awam yang berhasrat untuk menyambung pengajian merangkumi program peringkat sijil, diploma, sarjana muda, sarjana dan kedoktoran (PhD)

Pekeliling tersebut juga menerangkan tentang tatacara untuk mengikuti program pengajian yang digariskan dalam Dasar Hadiah Dalam Latihan Perkhidmatan seperti berikut:

  • Kerajaan Negeri akan mengenal pasti program pengajian berdasarkan keperluan negeri bagi peringkat pengajian sijil, diploma, sarjana muda, sarjana dan kedoktoran (PhD).
  • Kerajaan Negeri akan menjemput pegawai-pegawai yang layak untuk membuat permohonan bagi mengikuti program pengajian yang diiklankan.
  • Ketua Jabatan hanya akan menghantar pencalonan pegawai mengikuti program pengajian setelah iklan tawaran program pengajian dikeluarkan. Permohonan daripada pegawai-pegawai yang layak hendaklah dibuat melalui Ketua Jabatan.
  • Pegawai yang diluluskan untuk mengikuti program pengajian yang diiklankan akan ditawarkan Cuti Belajar Bergaji Penuh dengan Biasiswa. Oleh itu, Kerajaan Negeri tidak akan memberi pembiayaan Bantuan Kewangan bagi semua peringkat pengajian.
  • Permohonan untuk mengikuti program pengajian yang tidak diiklankan hanya akan dipertimbangkan untuk diberi Cuti Belajar Tanpa Gaji dan Tanpa Biasiswa.
Pegawai Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak yang layak akan menerima Hadiah Latihan Dalam Perkhidmatan dalam bentuk elaun berkursus serta yuran pengajian dan cuti belajar mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan

Pekeliling tersebut juga menerangkan Kriteria Pemohon, Proses Pemilihan di Peringkat Jabatan dan menyenaraikan ahli-ahli dalam Jawatankuasa Hadiah Latihan Dalam Perkhidmatan.

Dalam Perintah Am Bab C 1974, Cuti Belajar disebut sebagai Cuti Berkursus, iaitu cuti yang diluluskan oleh kerajaan kepada penjawat awam yang mengikuti kursus jangka sederhana atau jangka panjang secara sepenuh masa.

Maksudnya, dalam tempoh cuti yang diluluskan, penjawat awam dibenarkan untuk meninggalkan tugasan atau jawatan tanpa dikira sebagai putus perkhidmatan (berhenti bekerja) semasa menjalani kursus.

Kursus jangka sederhana merujuk pada tempoh melebihi tiga (3) bulan tetapi tidak lebih daripada 12 bulan dalam kalendar manakala kursus jangka panjang pula adalah tempoh melebihi 12 bulan dalam kalendar.

Penjawat awam yang ditawarkan cuti belajar tidak dikira sebagai putus perkhidmatan

Kemudahan Cuti Belajar untuk penjawat awam dibahagikan kepada tiga (3) kategori, iaitu Cuti Belajar Bergaji Penuh (CBBP), Cuti Belajar Separuh Gaji (CBSG) dan Cuti Belajar Tanpa Gaji (CBTG).

Cuti Belajar Bergaji Penuh (CBBP)

Diluluskan oleh kerajaan kepada penjawat awam yang mengikuti kursus atau pengajian dengan pembayaran gaji, imbuhan dan elaun lain secara penuh di bawah syarat serta peraturan yang ditetapkan.

Kemudahan CBBP dibahagikan kepada tiga (3) kategori, iaitu Cuti Belajar Bergaji Penuh Dengan Biasiswa (CBBPDB), Cuti Belajar Bergaji Penuh Dengan Separa Biasiswa (CBBPSB) dan Cuti Belajar Bergaji Penuh Tanpa Biasiswa (CBBPTB).

Secara prinsipnya, cuti ini diberikan kepada pegawai untuk mengikuti kursus bagi pembangunan kompetensi dan bukan untuk kemajuan kerjaya di mana kelayakan yang diperolehi tidak melayakkan pegawai dilantik ke kumpulan perkhidmatan yang lebih tinggi.

Pegawai layak mendapat kemudahan CBBP maksimum dua (2) kali sahaja sepanjang tempoh perkhidmatan bagi mengikuti kursus jangka panjang.

Cuti Belajar Separuh Gaji (CBSG)

Diluluskan kerajaan kepada penjawat yang mengikuti kursus atau pengajian dengan pembayaran gaji, imbuhan dan elaun lain secara separuh di bawah syarat serta peraturan yang ditetapkan.

Cuti ini diberi kepada pegawai dalam perkhidmatan Kumpulan Sokongan bagi mengikuti kursus di peringkat Sijil atau Diploma atau Ijazah Pertama di mana kelayakan yang diperolehi akan melayakkan pegawai dilantik ke kumpulan perkhidmatan yang lebih tinggi.

Pegawai layak mendapat kemudahan CBSG maksimum dua kali sahaja sepanjang tempoh perkhidmatan bagi mengikuti kursus jangka panjang.

Cuti Belajar Tanpa Gaji (CBTG)

Diluluskan kerajaan kepada penjawat yang mengikuti kursus atau pengajian tanpa pembayaran gaji, imbuhan dan elaun lain di bawah syarat serta peraturan yang ditetapkan.

Cuti ini diberikan kepada pegawai bagi mengikuti kursus di peringkat Pra-Ijazah (Sijil atau Diploma), Ijazah Pertama atau Ijazah Lanjutan yang tidak layak dipertimbangkan kemudahan Cuti Belajar Bergaji Penuh atau Cuti Belajar Separuh Gaji.

Pegawai layak mendapat kemudahan CBTG maksimum dua (2) kali sahaja sepanjang tempoh perkhidmatan, sama ada kursus di peringkat Sijil atau Diploma atau Ijazah Pertama atau Ijazah Lanjutan.

Kelulusan kali kedua boleh dipertimbangkan di peringkat pengajian yang lebih tinggi daripada yang sebelumnya.

Kemudahan Cuti Belajar dalam perkhidmatan awam berkuat kuasa kepada pegawai yang melanjutkan pengajian sama ada di dalam ataupun di luar negara.

Walaupun penjawat awam ditawarkan faedah untuk mengikuti pengajian ketika masih dalam perkhidmatan, kelulusan untuk cuti belajar termasuk beberapa kemudahan sampingan yang diberikan adalah berada dalam bidang kuasa Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), kecuali bagi kementerian atau jabatan yang telah diwakilkan kuasa oleh KPPA.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article