- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Industri Ladang Hutan Tampung Keperluan Bahan Mentah Industri Perkayuan

Must read

Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof telah mengadakan tinjauan ke Projek Model Ladang Hutan di Hutan Simpan Sabal, Simunjan pada 26 November 2023.

Model Projek Ladang Hutan ini merupakan kerjasama antara Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) sejak 2010, bertujuan untuk memberi panduan dalam pengurusan dan pembangunan ladang hutan di Sarawak.

Objektif penubuhan ladang hutan adalah bagi menampung keperluan bahan mentah industri perkayuan dan mengurangkan kebergantungan terhadap hutan asli sedia ada.

Di Sarawak, inisiatif penubuhan ladang hutan telah bermula sejak 1997 dan sehingga 30 Jun 2023, seluas 578,774.16 hektar ladang hutan telah dibangunkan melibatkan pelbagai spesies seperti Acacia Mangium (54%), Batai (19%), Eucalyptus (15%), Kelampayan (6%) dan lain-lain spesies (6%).

Sempena tinjauan tersebut, beliau telah menyempurnakan Trek Komoditi Industri Perkayuan (Ladang Hutan) Sarawak sempena siri Trek Komoditi Zon Sarawak anjuran Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof menanam Pokok Belian sebagai simbolik menyempurnakan Trek Komoditi Industri Perkayuan (Ladang Hutan) Sarawak sempena siri Trek Komoditi Zon Sarawa

Program ini menjadi medium turun padang beliau merangkap Menteri KPK (ketika itu) bersama pihak pengurusan tertinggi KPK untuk menyantuni pekebun kecil dan pemain industri sektor komoditi secara langsung.

Idea penganjuran program ini juga merupakan cetusan hasrat murni beliau untuk menterjemah komitmen padu kerajaan menerusi KPK serta agensi di bawahnya bagi menjamin kesejahteraan pekebun kecil di lapangan menerusi sesi dua hala untuk memperoleh maklum balas secara dua hala tentang situasi semasa yang mereka lalui.

Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof mengadakan lawatan ke kebun lada di Kampung Begu, Padawan pada hari kedua sempena Trek Komoditi Industri Perkayuan

Merujuk kepada siaran media yang disediakan, pada tahun 2022, keseluruhan pekebun kecil sektor Agrikomoditi berjumlah seramai 801,002 orang yang mana 335,264 orang berada di Semenanjung, 101,177 orang di Sabah dan 131,960 orang di Sarawak.

Pekebun kecil dalam sektor sawit adalah berjumlah 446,061 orang, terdiri daripada pekebun persendirian seramai 213,460 manakala pekebun kecil tersusun pula berjumlah 232,601 orang.

Di bawah kategori pekebun kecil tersusun sektor sawit, 100,060 orang adalah di bawah FELDA, 89,440 orang di bawah FELCRA,14,389 orang bersama RISDA manakala 28,712 orang lagi di bawah kategori lain-lain.

Sektor getah meliputi 310,797 orang, sektor koko diwakili oleh 5,317 orang, 38,182 orang adalah daripada sektor lada sementara sektor kenaf merekodkan 645 orang.

Sehubungan itu, antara pengisian program adalah penanaman sejumlah 60 anak pokok belian di Hutan Simpan Sabal, Simunjan dan sumbangan dana oleh beberapa syarikat korporat serta pemain industri kepada Jabatan Hutan Sarawak.

Sumbangan dana tersebut adalah bagi menyokong pelaksanaan Program Penghijauan Sarawak selari dengan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok (2021-2025) peringkat Nasional.

Dato’ Sri juga turut berkesempatan bertemu dengan pemain industri kayu tempatan serta komuniti di sekitar Sabal untuk mendapatkan pandangan serta cadangan mengenai isu-isu semasa dan cabaran berkaitan industri perkayuan.

Melihat kepada komitmen dan perancangan Kerajaan Negeri dalam pembangunan ladang hutan, Dato’ Sri telah menyatakan jaminan Kerajaan Persekutuan untuk menyokong usaha JHS mengembang fungsi dan skop Model Ladang Hutan di Hutan Simpan Sabal.

Pintu masuk ke Forest Landscape Restoration Centre di Hutan Simpan Sabal, Simunjan
Pemandangan udara Hutan Simpan Sabal, Simunjan

Dengan itu, Model Ladang Hutan di Hutan Simpan Sabal ini akan dapat terus memberi kemudahan penyelidikan, pembelajaran dan latihan berkaitan pembangunan ladang hutan serta restorasi landskap hutan.

Mengulas berkenaan program tinjauan Dato’ Sri ke Model Ladang Hutan Sabal tersebut, Pengarah Jabatan Hutan Sarawak, YBhg. Datu Haji Hamden Bin Haji Mohammad menyifatkan aktiviti tersebut telah memberi peluang kepada Dato’ Sri bersembang santai dengan pengusaha-pengusaha ladang hutan di Sarawak sambil mendengar sendiri isu-isu berkaitan pembangunan ladang hutan.

Di samping itu, Dato’ Sri juga berkesempatan melihat sendiri hasil usaha pihak Jabatan bersama MTIB dalam memaju dan menyokong industri ladang hutan dengan melihat dirian pokok spesis ladang hutan yang ada di situ.

Grafik cadangan projek penubuhan Pusat Interpretasi Sabal Forest Landscape Restoration Centre di Hutan Simpan Sabal
Grafik cadangan projek penubuhan Pusat Interpretasi Sabal Forest Landscape Restoration Centre di Hutan Simpan Sabal

Sehubungan itu, beliau telah memohon peruntukan daripada kementerian bagi pembinaan projek itu yang turut memberi kemudahan untuk menjalankan program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA), latihan, galeri dan stesen kawalan kebakaran hutan.

Beliau optimis bahawa dengan sokongan pihak kementerian, projek-projek ini tidak hanya akan menyumbang kepada pertumbuhan dan kelestarian sektor hutan tetapi juga akan menggalakkan pengurusan penanaman yang efektif.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article