- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Program LIFE Memperkasa Golongan Berpendapatan Rendah

Must read

Keprihatinan terhadap kebajikan golongan yang memerlukan adalah satu tanggungjawab sosial yang harus dipikul dan perlu diberi keutamaan oleh sesebuah kerajaan.

Apabila kebajikan rakyat diutamakan, jurang perbezaan taraf hidup di antara golongan yang kurang berkemampuan dengan yang berkemampuan sedikit sebanyak dapat dikurangkan.

Kebajikan rakyat yang menjadi tanggungjawab kerajaan merangkumi aspek kesihatan, kemudahan sosial termasuklah bantuan dan galakan dalam menjana pendapatan.

Ketua keluarga yang kurang berkemampuan tidak mampu menyediakan segala keperluan untuk seisi keluarga yang merangkumi keperluan sosial dan fizikal.

Atas dasar tersebut, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan Program Pemerkasaan Keluarga Berpendapatan Rendah (LIFE).

Program LIFE adalah program bantuan permulaan perniagaan dalam bentuk geran yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan objektif utama untuk membasmi kemiskinan dengan memperkasa golongan miskin, miskin tegar dan golongan B40.

Menurut KPWK, program tersebut merupakan langkah intervensi yang penting oleh pihak kementerian dalam mengubah minda golongan sasar dengan menyediakan latihan kemahiran, peluang latihan semula termasuklah bantuan modal bagi memperkasa isi rumah berpendapatan rendah yang produktif untuk terlibat dalam aktiviti yang boleh menjana pendapatan.

Melalui program LIFE, peserta akan dibantu dalam bentuk sokongan sosial yang sesuai serta dijadikan sebagai rujukan intervensi kepada kementerian dalam usaha menangani isu kemiskinan berkaitan aspek kesihatan dan pendidikan yang tidak disediakan oleh agensi lain.

Program LIFE menyasarkan pada golongan berpendapatan rendah dengan matlamat utama adalah untuk membasmi kemiskinan – Gambar Fail

Program berkenaan yang mula dilaksanakan pada pertengahan 2023 kini diperluaskan sasaran kepada bekas banduan, mangsa penyalahgunaan dadah substans dan golongan yang dirujuk oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) serta Jabatan Wanita Sarawak (JWS).

Kerjasama di antara KPWK dengan Jabatan Penjara Malaysia Sarawak juga telah dijalankan bagi menjayakan program LIFE dengan tumpuan diberikan kepada banduan wanita.

Ketika merasmikan penangguhan Bengkel Pemurnian Panduan Pelaksanaan Program LIFE di Kuching pada Mac lepas, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, YB Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah memaklumkan bahawa pihak kementerian akan melihat pada skop yang lebih besar bagi agihan bantuan seperti ekosistem di mana penerima bantuan tinggal dan mencari punca mengapa mereka tidak dapat menjana pendapatan.

Menurut beliau, statistik menunjukkan seramai kira-kira 300 orang banduan keluar dari penjara setiap bulan, namun sukar untuk mereka mencari peluang pekerjaan biarpun mempunyai potensi untuk mengembangkan kemahiran yang dipelajari ketika dalam tahanan di penjara.

Bantuan dalam bentuk modal kewangan dan peralatan untuk memulakan perniagaan termasuk latihan kemahiran disediakan di bawah program LIFE bagi membantu isi rumah berpendapatan rendah menjana pendapatan – Gambar Fail

Kekurangan modal untuk membeli perkakas dan bahan mentah untuk memulakan perniagaan juga adalah antara faktor golongan berkenaan sukar untuk mencari pendapatan.

Isu kemiskinan adalah satu (1) daripada 14 isu sosial yang diberi tumpuan utama oleh KPWK melalui Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPSS).

Berdasarkan hasil kajian awal yang dijalankan pada 2021, MPSS telah mengenal pasti punca kemiskinan adalah tahap pendidikan yang rendah atau keciciran, kesan akibat penyalahgunaan bahan substans, perceraian, menjadi mangsa jenayah, bencana, masalah kesihatan fizikal dan mental dan keberkesanan diri yang rendah.

Menerusi kerjasama dengan agensi-agensi yang terlibat, pihak KPWK menyasarkan penyertaan seramai 1,000 orang peserta setiap tahun untuk mengikuti program LIFE.

Menerusi program LIFE, golongan yang disasarkan akan diberi bimbingan tentang selok belok memulakan perniagaan dan menjana pendapatan, seterusnya mengubah kehidupan yang lebih baik tanpa menoleh ke belakang.

Melalui program LIFE adalah langkah intervensi pihak KPWK dalam mengubah minda golongan sasar supaya lebih produktif serta mampu menjana pendapatan untuk keluarga – Gambar Fail
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article