Jika diperhatikan, secara amnya bilangan kawasan desa dan kampung sebenarnya lebih banyak bilangannya berbanding degan bilangan bandar di negara ini.
Kawasan luar bandar (desa dan kampung) sering kali dikaitkan dengan kemiskinan dan ketinggalan dalam kemudahan infrastruktur asas berbanding kawasan bandar.
Keadaan seperti tanggapan ini mungkin ada kebenarannya 60 tahun yang lalu, namun kini majoriti kawasan desa dan kampung di negara ini telah dibawakan perubahan dan pembangunan yang bersesuaian oleh piak kerajaan.
Disebabkan bilangannya yang banyak dan populasinya juga tidak sepadat kawasan bandar, maka kita dapati pembangunan dan kemudahan yang biasa yang kita dilihat di kawasan bandar tidak akan dinikmati sepenuhnya oleh penduduk di kawasan desa dan kampung. Oleh yang demikian, akan ternampaklah jurang pembangunan dalam semua aspek.
Sungguhpun demikian, kita dapat mengurus dan mentadbir sendiri negara ini, kerajaan telah berusaha membawakan keseimbangan pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Untuk itu kerajaan telah melancarkan dan melaksanakan pelbagai program yang bukan sahaja bermatlamat untuk membawa pembangunan fizikal, malah merangkumi pembangunan ekonomi dan minda masyarakat desa dan kampung.
Program seperti Gerakan Desa Wawasan, projek kecil luar bandar, projek dan program bekalan air dan elektrik luar bandar, penyediaan kemudahan jaringan telekomunikasi dan internet desa selain pemantapan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung merupakan inisiatif kerajaan untuk membawakan masyarakat di desa dan kampung berpeluang bersama menikmati pembangunan.
Masyarakat luar bandar juga perlu seiring dengan kemajuan arus perdana termasuk ke arah menggembleng inisiatif ekonomi digital.
Oleh yang demikian, kerajaan menyasarkan untuk menubuhkan 191 Desa Pintar melalui Program Desa Pintar di luar bandar dalam tempoh lima tahun bagi mewujudkan ekonomi digital di kawasan berkenaan.
Program Desa Pintar yang dilancarkan pada Ogos 2019 yang lalu adalah inisiatif Pembangunan Luar Bandar, Malaysia selari dengan Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar 2018-2023.
Program Desa Pintar bermatlamat untuk mengurangkan jurang digital antara luar bandar dan bandar.
Di desa pintar, dorongan utama diberikan pada teknologi sebagai alat untuk pembangunan, memungkinkan pendidikan dan peluang keusahawanan pertanian, meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan sosial.
Program ini juga bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran komuniti luar bandar serta menjana pendapatan menerusi platform itu.
Menerusinya ia dapat membantu kumpulan sasar seperti usahawan dan suri rumah, k-ekonomi untuk belia dan pelajar serta komuniti luar bandar.
Ia juga membolehkan masyarakat di luar bandar menjana ekonomi melalui platform yang dibangunkan rakan strategik dan meluaskan peluang pendidikan secara dalam talian.
Pelaksanaan konsep desa pintar ini kelak akan berupaya kalau pun tidak menyekat tapi sekurang-kurangnya mengurangkan dan mengekalkan bakat dan tenaga kerja muda penduduk di desa dan kampung yang akan terlibat dengan aktif dalam kegiatan keusahawanan.
Kampung Tui, Bukit Kepong di Labis, Johor menjadi perintis program Desa Pintar, sebuah usaha sama mewujudkan ekonomi digital bagi membantu kumpulan sasar seperti usahawan, suri rumah, k-ekonomi untuk belia dan pelajar serta komuniti luar bandar.
Menerusi program ini, ia membolehkan masyarakat di luar bandar menjana ekonomi melalui platform yang dibangunkan rakan strategik dan meluaskan peluang pendidikan secara dalam talian.
Konsep desa atau kampung pintar ini matlamat akhirnya ialah untuk mendorong masyarakat (khasnya masyarakat desa dan kampung) untuk mengambil inisiatif dan mencari jalan penyelesaian agar dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang berterusan dengan sokongan dalam pelbagai bentuk kerjasama tempatan atau penggunaan teknologi digital.
Pastinya kelak kita akan dapat menyaksikan sebuah desa dan kampung pintar yang warganya mengetahui sumber yang ada, perkhidmatan yang sesuai, pelbagai skim dan program serta lain-lain lagi yang di tempat mereka dan di sekeliling mereka untuk digunakan.
Maksudnya, masyarakat di desa dan di kampung pintar akan menjurus kepada kecekapan penggunaan sumber yang ditingkatkan, pentadbiran kendiri yang diperkasakan, akses kepada kemudahan asas yang terjamin dan dapat juga melahirkan individu dan masyarakat yang bertanggungjawab untuk membina masyarakat desa yang bersemangat bagi mencipta kemakmuran hidup mereka dan menyumbang kepada pembangunan negara.