- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

YES Galak Semangat Keusahawanan Golongan Belia

Must read

Dalam usaha berterusan memupuk budaya inovasi, pertumbuhan ekonomi dan pemerkasaan, Kementerian Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) melalui Bahagian Pembangunan Usahawan memberi tumpuan kepada tiga (3) bidang utama, iaitu Promosi dan Pembangunan Usahawan, Jualan Produk Keusahawanan dan Latihan Usahawan dan Pembinaan Kapasiti.

Di bawah bidang Promosi dan Pembangunan Usahawan, MYSED telah berjaya melaksanakan sebanyak 39 program komprehensif dengan penglibatan seramai 4,000 orang peserta setakat 2023.

Menerusi inisiatif tersebut, para peserta dapat memahami gambaran dalam bidang keusahawanan dan didedahkan dengan sumber yang tidak ternilai untuk mengemudi landskap keusahawanan yang mencabar.

Salah satu program pembangunan keusahawanan utama MYSED ialah program Youth Entrepreneur Setup (YES) yang telah pun dilaksanakan di 13 lokasi strategik di seluruh Sarawak, meliputi Kuching, Lundu, Samarahan, Sri Aman, Serian, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri, Bekenu dan Limbang.

Program YES 2.0 dirangka bagi memperkasa belia tempatan dalam inovasi teknologi serta bersedia untuk berdepan cabaran dalam era digital

Menurut Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, YB Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman bin Hamzah, pihak kementerian akan meneruskan program tersebut ke Bahagian Kapit yang dijadual untuk dilaksanakan pada awal tahun 2024.

Jelas beliau, program YES direka untuk menggalakkan semangat keusahawanan dalam kalangan belia di samping memberi kefahaman kepada golongan tersebut tentang kepentingan pendaftaran dan lesen perniagaan.

Beliau yang memaklumkan mengenai perkara tersebut dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada November 2023 menegaskan, usaha tersebut adalah komitmen yang tidak berbelah bahagi pihak kementerian dalam memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan belia di Sarawak.

Dato Sri Haji Abdul Karim juga memaklumkan MYSED akan melancarkan Youth Entrepreneur Setup 2.0 atau singkatannya YES 2.0 bermula pada tahun ini (2024).

Inisiatif transformatif program tersebut kali ini akan direka berdasarkan pada tema pendigitalan dengan memartabatkan peranan penting yang dimainkan oleh teknologi dalam landskap keusahawanan semasa.

Program YES 2.0 direka bukan sahaja untuk mewujudkan persaingan dalam era digital, malah juga untuk memacu belia tempatan melangkah ke hadapan dalam inovasi teknologi di samping melengkapkan mereka dalam mengemudi peluang dan berdepan cabaran dalam era digital.

Secara dasarnya, belia yang mengikuti program YES bakal mendapat manfaat dari segi motivasi dan semangat untuk menceburi bidang keusahawanan, berpeluang mendapat bimbingan dan khidmat nasihat daripada pelbagai agensi.

Pengisian utama program YES ialah perkongsian dengan agensi yang mengeluarkan lesen perniagaan dan juga menyediakan inkubator bagi memudahkan golongan belia mendaftar syarikat perniagaan selain skim bantuan permulaan perniagaan yang disediakan oleh pihak kementerian, badan berkanun dan institusi kewangan.

MYSED bakal melancarkan Program YES 2.0 sebagai inisiatif transformatif ke arah pembangunan usahawan belia berasaskan digital dan teknologi

Antara agensi-agensi yang terlibat ialah Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) termasuklah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) yang menyediakan bimbingan dan latihan perniagaan, pendaftaran perniagaan serta bantuan kewangan dan peralatan.

Di pihak kementerian, antara manfaat yang diperolehi daripada pelaksanaan program YES ialah data tentang minat dan kecenderungan belia dalam sektor perniagaan dapat dikumpul, seterusnya membolehkan agensi-agensi berkaitan merangka program keusahawanan dengan lebih spesifik dan terkehadapan berdasarkan pada data yang telah dikumpul.

Selain itu, lebih banyak program kolaborasi dengan pelbagai agensi berkaitan, antaranya seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), SEDC dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad juga dapat dijalankan sebagai usaha berterusan dalam membangunkan sektor keusahawanan dalam kalangan belia.

Di bawah bidang tumpuan Jualan Produk Keusahawanan, MYSED juga telah mengadakan kerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi dan telah menghasilkan 23 buah program yang memberi impak dengan objektif untuk mempamerkan dan mempromosi produk tempatan.

Program YES turut memberi kefahaman kepada usahawan belia tentang kepentingan mendaftar perniagaan

Penganjuran program Dapur Sarawak sempena Sambutan Kemerdekaan Sarawak Ke-60 misalnya sangat memberangsangkan dan telah memberi manfaat kepada seramai 526 usahawan dengan rekod hasil jualan dicatatkan melebihi RM1 juta.

Jelas Dato Sri Haji Abdul Karim, angka jualan yang dicapai daripada program tersebut menunjukkan potensi dan kehebatan yang ada pada usahawan-usahawan tempatan pada skala nasional.

Menerusi tumpuan dalam bidang Latihan Usahawan dan Pembinaan Kapasiti, MYSED telah menjalankan sebanyak sembilan (9) program khusus dengan kerjasama pejabat-pejabat MYSED di peringkat Bahagian yang memberi tumpuan strategik kepada kepakaran dan keperluan tempatan.

Usahawan belia yang mengikuti program YES dapat memahami gambaran dalam bidang keusahawanan dan didedahkan dengan sumber yang tidak ternilai untuk mengemudi landskap keusahawanan yang mencabar

Lawatan penanda aras ke pemain industri utama termasuk pameran Malaysia International Halal Showcase 2023 (MIHAS) di Kuala Lumpur dan kilang pemprosesan makanan di sekitar Lembah Klang bagi memberi pendedahan kepada usahawan mengenai amalan terbaik industri, teknologi termaju dan peluang dalam rangkaian perniagaan juga telah diadakan.

Program-program latihan lain yang turut telah diadakan pada 2023 ialah Kursus Modal Keusahawanan sempena Pesta Daro di Mukah, program Youth Biz Goes Pro-Skills di Sibu dan kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Samarahan dalam program Sarawak Youth Business Idea Challenge (SAYBIC).

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article