- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Perkhidmatan Awam Sarawak Terima Perubahan dan Mempraktikkan Amalan Terbaik

Must read

Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki menyifatkan Majlis Amanat Perdana YAB Premier Sarawak 2024 yang diadakan pada 12 Januari 2024 (Jumaat) sebagai satu platform terbaik untuk menghimpunkan penjawat awam.

Hal ini kerana, pada masa inilah penjawat awam Sarawak dapat berkumpul untuk mendengar sendiri amanat daripada Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg mengenai hala tuju strategik pembangunan Sarawak ke arah kemakmuran, keterangkuman dan pembangunan mampan.

Kita semua sedia maklum bahawa, Premier Sarawak, sentiasa tampil dengan idea-idea baharu seperti tenaga hidrogen, penyimpanan karbon, perdagangan karbon, perubahan iklim dan sebagainya yang perlu difahami oleh semua penjawat awam Sarawak.

Pentadbiran Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak terbukti cemerlang sehingga berjaya mendapat pengiktirafan di peringkat global. – Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki

Selain itu, beliau juga mengatakan bahawa majlis tersebut turut membuktikan komitmen perkhidmatan awam Sarawak ke arah penyampaian perkhidmatan awam yang cemerlang dan cekap dalam menyokong usaha kerajaan untuk mencapai visi dan aspirasi Sarawak untuk menjadi sebuah negeri yang maju dari segi ekonomi dan berpendapat tinggi menjelang 2030.

Beliau mengakui bahawa pentadbiran Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak terbukti cemerlang sehingga berjaya mendapat pengiktirafan di peringkat global.

Jelas beliau, pada tahun 2023, Perkhidmatan Awam Sarawak telah mencapai pengiktirafan di seluruh dunia, terutamanya dalam bidang inisiatif digital dan ekonomi hijau.

Menyentuh tentang bidang inisiatif digital ini, kita sedia maklum bahawa Kerajaan Sarawak telah merangka Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 sebagai hala tuju mentrasformasikan ekonomi daripada ekonomi berasaskan sumber konvensional kepada ekonomi dipacu teknologi mampan.

Pelan tindakan tersebut mengutamakan lima tonggak strategik yang antara lain melibatkan perihal mempercepatkan pendigitalan sektor ekonomi dan pengewangan data, memperkembangkan perniagaan digital, mengubah sektor awam untuk menyampaikan perkhidmatan yang cekap, selamat dan dipercayai serta meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan, penggunaan teknologi perbatasan (‘frontier tech’) dan juga membina asas untuk meningkatkan ketersediaan digital.

Daripada sebuah ekonomi konvensional, Sarawak kini berada pada landasan yang kukuh untuk menjadi sebuah ekonomi yang dipacu oleh teknologi digital, data dan inovasi.

Sekitar Majlis Amanat Perdana YAB Premier Sarawak 2024 yang diadakan pada 12 Januari 2024

Dengan beberapa inisiatif digital yang telah dilaksanakan, Sarawak sekarang merupakan negeri yang agak ke hadapan dalam proses ke arah digitalisasi ekonomi dan pentadbiran sepenuhnya.

Selari dengan dasar untuk menjamin kelestarian sumber dan alam sekitar negeri ini pula, Kerajaan Sarawak dengan langkah berani telah meneroka potensi-potensi ekonomi hijau yang menjadi fokus dunia pada masa ini untuk menangani pemanasan iklim global.

Pembangunan ekonomi hijau telah memberi banyak peluang kepada Sarawak untuk mempertingkatkan ekonominya melalui pengeluaran gas hydrogen sebagai bahan bakar tanpa karbon, Industri Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS), perniagaan karbon dan pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF) daripada biojisim alga.

Melihat kepada kejayaan ini, beliau menegaskan bahawa tahun 2024 ini menandakan permulaan baharu bagi penjawat awam negeri Sarawak untuk mewujudkan azam, menjamin Sarawak boleh terus mengorak langkah yang bermakna dan berbangga dengan pencapaian mereka.

Bagi pihak Perkhidmatan Awam Sarawak, mereka berikrar akan memberikan komitmen dengan sepenuh hati untuk memastikan kejayaan pelaksanaan semua inisiatif di bawah PCDS 2030 demi pembangunan dan kemajuan Sarawak.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dunia telah bergelut dengan kesan pandemik COVID-19 diikuti oleh ketidaktentuan geopolitik.

Cabaran semasa ini telah menuntut perkhidmatan awam untuk mengukuhkan kemahiran, merancang secara strategik, menggubal dan memperhalusi dasar, peraturan, dan proses kerja bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan keseluruhan penyampaian perkhidmatan untuk menjadi lebih produktif dan berdaya tahan.

Aplikasi pendigitalan, analisis data dan Internet of Things (IoT) yang optimum akan memastikan perkhidmatan lebih pantas, lebih mudah diselaraskan, sejajar dengan landskap perkhidmatan awam yang semakin berkembang.

Kerana itu, beliau menyeru agar Perkhidmatan Awam Sarawak dapat menerima perubahan dan mempraktikkan amalan terbaik agar lebih tangkas dan pantas dalam memenuhi permintaan sektor swasta dan orang ramai.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan bahawa mereka yang berada dalam perkhidmatan awam sentiasa terbuka untuk perkongsian dan kerja berpasukan yang lebih erat dengan semua pihak berkepentingan termasuk kepimpinan politik, sektor swasta, pemimpin masyarakat dan rakyat untuk memastikan penyelesaian menyeluruh dan holistik yang memberi manfaat kepada semua.

Pada tahun 2023, Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak telah meluluskan pelbagai inisiatif untuk manfaat anggota Perkhidmatan Awam Sarawak.

Antaranya bonus dua (2) bulan gaji di bawah Bantuan Khas Kewangan untuk penjawat awam Sarawak dan Penambahbaikan kemudahan pinjaman Kerajaan untuk perumahan dan kemudahan penting termasuk kenderaan, komputer dan peralatan rumah untuk meringankan beban kewangan dan ke arah kesejahteraan penjawat awam”

Selain itu, peningkatan kelayakan perubatan untuk kakitangan dan ahli keluarga mereka dan Meluluskan pembinaan Bangunan dan Kuarters Pentadbiran Kerajaan yang baharu di seluruh Sarawak.

Seluruh Perkhidmatan Awam Sarawak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Sarawak di atas semua inisiatif tersebut yang telah meningkatkan kesejahteraan Penjawat Awam Sarawak.

Beliau juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penjawat awam yang secara konsisten menunjukkan profesionalisme dan integriti dalam memastikan jentera dan dasar kerajaan berfungsi dengan berkesan dalam merealisasikan aspirasi Sarawak dan rakyatnya.

Akhir sekali, beliau menyeru kepada semua penjawat awam Sarawak untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada Sarawak selaras dengan moto kita “An Honor to Serve”.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article