- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Keharmonian Tunjang Kestabilan Sarawak

Must read

Keharmonian yang dikecapi Sarawak selama ini menjadi tunjang kepada kestabilan dan keamanan negeri dengan ekonominya yang hari ini semakin berkembang dan sedang dinikmati rakyatnya yang berbilang kaum dan agama.

Menurut Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, suasana aman dan harmoni dalam kalangan rakyat Sarawak wujud daripada sikap saling hormat menghormati di antara satu sama lain.

“Sarawak mempunyai pelbagai etnik yang berbilang agama. Sebagai seorang pemimpin Islam, saya berpegang kepada prinsip di dalam Piagam Madinah.

“Saya melihat contoh pimpinan Nabi Muhammad SAW dalam konteks Piagam Madinah yang memberikan keadilan kepada semua yang diperintah,” jelas beliau dalam Sesi Townhall 7 Tahun Bersama YAB Premier yang diadakan di Satok Ballroom Hikmah Exchange, Kuching pada 13 Januari 2024.

Tangkap layar Sesi Townhall 7 Tahun Bersama YAB Premier yang disiarkan secara langsung melalui saluran televisyen TVS dan beberapa laman sosial media tempatan

Premier Sarawak menambah, rakyat Sarawak hidup bagai sebuah keluarga di bawah satu bumbung, menghormati tradisi di antara satu sama lain dan saling bekerjasama.

“Sejak dari kecil lagi kita hidup bersama masyarakat pelbagai kaum. Ini adalah semangat kekeluargaan yang begitu akrab di antara etnik di Sarawak.

“Dari dulu lagi Sarawak mengecapi keharmonian sehingga sekarang dan kestabilan inilah kita gunakan untuk membantu rakyat,” ujar beliau.

Penjelasan tersebut adalah respon beliau kepada soalan yang diajukan oleh Penganalisis Politik, Profesor Datuk Dr Sivamurugam Pandian yang menjadi moderator pada sesi berkenaan bersama-sama dengan Pengacara TV, Sayed Munawar Sayed Mustar dan Ketua Pegawai Eksekutif Rashomon PR, Cik Mona Abdul Manap.

Dalam sesi dialog yang berlangsung selama 90 minit itu, Premier Sarawak berkongsi tentang hala tuju Sarawak mencapai status ekonomi maju dan mampan menjelang 2030 melalui pelbagai inisiatif yang beliau laksanakan dalam tempoh tujuh (7) tahun pentadbiran beliau.

Berkongsi mengenai pertumbuhan ekonomi negeri, Perlembagaan Malaysia, Perlembagaan Sarawak, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Suruhanjaya Cobbold adalah dokumen penting yang menjadi formula kecemerlangan Sarawak sehingga berjaya merekodkan pertambahan pendapatan setiap tahun, malah juga diiktiraf sebagai negeri berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia.

Berpandukan pada peruntukan dalam dokumen-dokumen tersebut, pelaburan yang dibuat Sarawak berjaya mendatangkan hasil dan pada suku keempat 2023, Sarawak mencatat pendapatan berjumlah RM13.3 bilion, tambah beliau.

Sebagai contoh, cukai jualan petroleum yang telah dilaksanakan berdasarkan pada peruntukan (Oil Mining Ordinance 1958) dalam Perlembagaan Sarawak memberi pulangan kepada Sarawak.

Premier Sarawak menjelaskan bahawa dunia sedang mengalami perubahan iklim dan kaedah untuk meningkatkan ekonomi perlulah mengikut apa yang dikehendaki oleh ekonomi dunia hari ini, iaitu penerokaan ekonomi baharu yang mampan.

Dalam hal ini, Sarawak telah mengorak langkah dalam ekonomi hijau, misalnya dalam sektor Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) yang akan memberi pulangan kepada negeri dan mendatangkan manfaat kepada rakyat.

Antara inisiatif lain yang turut beliau kongsikan ialah bagaimana Sarawak memberi keutamaan kepada pendidikan dengan membangunkan bakat dan kemahiran belia tempatan supaya dapat memenuhi keperluan ekonomi baharu selaras dengan dasar Kerajaan Sarawak dan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 yang akan memacu Sarawak maju menjelang 2030.

Belia di Sarawak perlu dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan dalam era ekonomi baharu dan sejajar dengan dasar kerajaan

Beliau menegaskan, belia Sarawak perlu dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran jika mahu bersaing dan oleh sebab itulah, pendidikan amat penting untuk ditekankan kerana pendidikan adalah jalan keluar dari kemiskinan.

Menegaskan kesungguhan beliau dalam hal tersebut, beliau mempunyai matlamat untuk menyediakan pendidikan tertiari percuma di beberapa buah kolej dan universiti milik Kerajaan Sarawak kepada anak Sarawak menjelang 2026.

“Saya menyasarkan pada 2026 kita akan menyediakan pendidikan tertiari percuma kepada semua rakyat Sarawak di universiti-universiti milik Sarawak,” kata beliau memberi jaminan.

Mengulas dengan lebih lanjut, beliau menekankan bahawa Sarawak meletakkan harapan yang tinggi kepada generasi negeri ini dengan menetapkan dasar yang memperkasakan belia tempatan melalui pendidikan dan menekankan kemahiran dalam teknologi sambil menyatakan Sarawak mempunyai harapan yang begitu cerah menjelang 2030 berdasarkan pada asas dan landskap ekonomi baharu yang telah dibina.

Era ekonomi yang seterusnya adalah berasaskan teknologi dan belia Sarawak bakal menjadi penggerak ekonomi negeri di peringkat global dan jika dilatih, beliau percaya Sarawak boleh berjaya.

Premier Sarawak tidak menolak bahawa terdapat ramai anak-anak Sarawak yang berkemahiran bekerja di luar negara disebabkan tiada peluang ekonomi (ekonomi baharu) dalam negeri yang menawarkan kerjaya dalam bidang yang mereka ceburi.

Oleh sebab itulah, beliau bersama rakan-rakan kabinet melihat bahawa dasar Kerajaan Sarawak perlu setanding dengan perubahan dalam ekonomi yang berlaku di seluruh dunia.

Antara perkara lain yang beliau kongsikan sebagai maklum balas kepada soalan daripada hadirin ialah inisiatif memajukan pertanian berasaskan teknologi dan aspirasi Sarawak menjadi pembekal utama hasil pertanian dan makanan.

Sehubungan dengan itu, Premier Sarawak menyeru belia di negeri ini supaya menceburi sektor pertanian yang kini telah dipraktikkan berasaskan teknologi dan digital yang lebih efisyen serta memberikan pulangan yang lumayan.

Sesi Townhall 7 Tahun Bersama YAB Premier telah disiarkan secara langsung di beberapa siaran televisyen dan platform media sosial melalui kerjasama di antara stesen televisyen TV Sarawak (TVS) dan beberapa agensi media tempatan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article