- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Lebih 20 Ribu Projek RTP Dilaksanakan Sejak 2015

Must read

Dalam mempercepatkan pertumbuhan ekonomi di negeri ini, Kerajaan Sarawak telah melaksanakan pelbagai inisiatif, program dan projek yang telah memberi perubahan besar dalam ekonomi antaranya ialah projek RTP.

Inisiatif, program dan projek yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak ini tidak lain tidak bukan adalah untuk membawa impak transformasi ke atas ekonomi sambil mempengaruhi secara positif kehidupan dan mata pencarian rakyat.

Tidak dinafikan, sejak projek ini dilaksanakan pada tahun 2015 yang lalu, ianya telah banyak mengubah landskap dan infrastruktur di kampung-kampung dan rumah-rumah panjang di kawasan luar bandar.

Program RTP ini amat penting dalam membantu usaha kerajaan menggiatkan semula kawasan luar bandar melalui pembinaan dan menaik taraf infrastruktur serta kemudahan awam untuk rakyat.

RTP – Projek menaik taraf dewan serbaguna di Daerah Kecil Long Bedian

Mengenai prestasi RTP, Timbalan Premier Sarawak Merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua (MOFNE), YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata terdapat sejumlah 7,731 projek dengan kelulusan siling RM1.29 bilion.

Sehingga Oktober 2023, sebanyak 4,145 projek (54%) daripada keseluruhan projek telah siap manakala baki sebanyak 3,586 projek (46 %) masih lagi dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Menurut beliau, sejumlah RM436.4 juta (34%) daripada RM1.29 bilion siling yang diluluskan telah dibelanjakan antara tahun 2021 hingga Oktober 2023.

RTP – Projek menaik taraf jalan kampung di Kampung Pinang, Kota Samarahan

Sejak RTP diperkenalkan pada tahun 2015, lebih 20,400 projek telah dilaksanakan dan ia telah banyak memberi manfaat kepada rakyat terutamanya yang berada di kawasan luar bandar.

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, termasuk kenaikan harga bahan binaan dan kekurangan bekalan buruh, pelaksanaan projek telah mencapai kemajuan yang ketara, dengan prestasi kewangan keseluruhan 2023 sebanyak RM5.7 bilion (71%) telah dicapai.

Namun begitu, beliau tidak menafikan bahawa terdapat beberapa Kementerian yang mencatatkan prestasi pelaksanaan yang agak rendah iaitu kurang daripada 30% untuk hampir sepanjang tahun walaupun telah mendapat peruntukan dana.

Oleh itu, beliau mahu Kementerian-Kementerian ini menangani isu-isu yang telah menjadi penghalang terhadap pelaksanaan projek.

RTP – Projek membina parit konkrit rumah ke rumah di Kampung Hilir, Spaoh

Bahkan sekiranya perlu, Kementerian yang terbabit perlu mengkaji semula proses dan prosedur mereka dalam memastikan projek-projek ini dapat dihantar tepat pada masanya bagi memastikan keberkesanannya.

Beliau turut menggesa pegawai-pegawai dan agensi-agensi pelaksana untuk meningkatkan usaha mereka dalam memastikan semua projek di bawah bidang kuasa mereka dilaksanakan dengan segera dan menggunakan bajet yang telah  diluluskan untuk tahun 2024 dibelanjakan secara progresif.

Hal Ini penting kerana ia dapat memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak dan menyediakan infrastruktur yang dibangunkan dengan lebih baik ke arah meningkatkan taraf hidup rakyat kita.

Perkara ini ditegaskan oleh beliau dalam ucapan penggulungan yang telah dibacakan pada Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-19 pada 29 November 2023 (Rabu).

Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak, YB Datuk Amar Dr Sim Kui Hian memberitahu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah kementerian beliau telah menerima peruntukan sebanyak RM121 juta untuk melaksanakan 816 projek RTP pada tahun 2023.

Beliau yang merupakan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) Sarawak memaklumkan bahawa kesemua projek yang berada di bawah PBT ini sudah berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Sehubungan itu, jika dilihat kepada belanjawan Negeri 2024 yang memperuntukkan RM9,038 juta untuk tujuan pembangunan berbanding RM4,563 juta untuk tujuan operasi cukup membuktikan komitmen tinggi Kerajaan Negeri untuk meneruskan pertumbuhan ekonomi inklusif di negeri ini.

Sebanyak RM5.695 bilion (63%) telah diperuntukkan untuk pembangunan luar bandar yang terdiri daripada:

  1. RM420 juta untuk projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP)
  2. RM550 juta akan diguna untuk melaksanakan Projek Rakyat
  3. RM200 juta untuk Agensi Pembangunan Wilayah; dan
  4. RM260 juta untuk Projek Kecil Luar Bandar (MRP).

Projek-projek ini dijangka menjana pengganda ekonomi yang ketara bagi negeri Sarawak, mewujudkan prospek pekerjaan tambahan untuk penduduk tempatan dan menggiatkan semula sektor pembinaan dan perkhidmatan.

Dengan peruntukan yang lebih besar daripada bajet tahunan dan sumber pembiayaan lain, ditambah pula dengan usaha berterusan Kerajaan untuk memastikan projek berjaya disiapkan, Sarawak dijangka mencapai pertumbuhan ekonomi antara 5% dan 6% pada tahun ini.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article