- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Kerjasama PANS Dan GLC Antara Faktor Kejayaan Dasar Kerajaan

Must read

Kerjasama yang utuh antara pemimpin Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Badan Berkanun adalah penting dalam memacu inovasi, meningkatkan kecekapan dan memastikan kejayaan pelaksanaan dasar dan inisiatif yang telah digariskan oleh Kerajaan Sarawak.

Justeru, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki menyifatkan Forum Kepimpinan 2024 adalah satu platform penting yang membolehkan Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (PANS) dan GLC mengukuhkan lagi kolaborasi yang sedia ada.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak semasa berucap pada Majlis Perasmian Forum Kepimpinan 2024

Forum Kepimpinan 2024 anjuran bersama Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE), Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Sarawak Energy Berhad (SEB) itu telah berlangsung selama dua (2) hari, bermula 26 Januari 2024 (Sabtu).

Menurut beliau, forum tersebut membolehkan kedua-dua pihak memahami keperluan dan aspirasi masing-masing, seterusnya merangka strategi yang berkesan, memperkasakan pengetahuan dengan bertukar pendapat, idea dan pandangan dalam pelbagai bidang.

Dengan bersatu di bawah satu bumbung, ia akan dapat mencipta satu persekitaran di mana idea boleh mengalir dengan bebas, membolehkan semua pemimpin memanfaatkan kekuatan kolektif masing-masing dalam mengatasi cabaran.

Selain itu, forum ini juga akan menyediakan peluang yang unik untuk para pemimpin melibatkan diri secara terbuka menerusi sesi soal dan jawab, secara tidak langsung membolehkan mereka berkongsi pandangan antara panel.

Tambah beliau, mereka dalam perkhidmatan awam sangat mengalu-alukan kerjasama dengan GLC dan Badan Berkanun untuk melaksanakan dasar dan inisiatif dengan berkesan untuk memastikan ia diterima dengan baik serta berakar umbi dalam realiti dan aspirasi rakyat.

Bersama sebagai satu pasukan, kita boleh membina masa depan di mana GLC, Badan Berkanun, PANS dan penduduk berganding bahu ke arah mencapai visi untuk membawa Sarawak kepada kemakmuran dan kesejahteraan bersama.

Beliau turut menekankan bahawa, kolaborasi yang erat di antara PANS dan GLC adalah kunci kepada kejayaan pembangunan jangka panjang.

Dengan saling melengkapi kelebihan dan sumber daya yang ada, matlamat pembangunan akan dapat dicapai dengan lebih berkesan serta berada di landasan yang betul untuk masa depan yang lebih baik.

Sempena forum ini, pihak penganjur telah mengundang beberapa orang pakar dari dalam dan luar Sarawak untuk memberi penerangan tentang empat topik penting yang berkaitan dan berpotensi untuk membentuk masa depan yang cemerlang buat Sarawak.

Empat topik yang dimaksudkan ialah:

  1. Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030;
  2. Kemajuan dan Prospek Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) untuk Malaysia dan Sarawak;
  3. Kepimpinan Tindakan Kemampanan dan Iklim; dan
  4. Ekonomi Boleh Diperbaharui dan Pekeliling

Topik Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 telah dibentangkan oleh Penasihat PCDS 2030 di Jabatan Premier Sarawak, YBhg Datuk Amar Jaul Samion;

Datuk Amar Jaul Samion membentangkan topik PCDS 2030 pada Forum Kepimpinan 2024

Topik Kemajuan dan Prospek Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) untuk Malaysia dan Sarawak dibentangkan oleh Pakar Ekonomi Kanan di Pejabat Penyelaras Residen United Nation untuk Malaysia, Singapura dan Brunei iaitu Dr Richard Marshall;

Rakan Kongsi Kanan merangkap Ketua Bersama Kelestarian dan Tindakan Iklim, Global dan Roland Berger iaitiu David Frans menjelaskan tentang Kepimpinan Tindakan Kemampanan dan Iklim;

Manakala, topik mengenai ‘Ekonomi Boleh Diperbaharui dan Pekeliling’ dibentangkan oleh Rakan Kongsi Roland Berger iaitu Dieter Billen.

Beliau turut menekankan bahawa Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg telah mewujudkan pelbagai inisiatif untuk menjadikan ekonomi kita lebih kukuh dan mampan di bawah PCDS 2030.

Wajah ceria Premier Sarawak melihat cenderahati yang diberikan kepada beliau daripada pihak penganjur Forum Kepimpinan 2024

Secara dasarnya, beliau yakin dengan adanya kerjasama sebagai satu pasukan, kita dapat mencapai matlamat serta merealisasikan hasrat dan aspirasi yang telah ditetapkan.

Justeru, menurut beliau adalah penting bagi GLC dan Badan Berkanun untuk menyelaraskan strategi, operasi dan sumber daya mereka selari dengan objektif PCDS 2030 serta semua inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article