Komitmen Sarawak dalam pembangunan mampan telah pun bermula seawal tahun 90-an dengan penglibatan aktif Sarawak berkaitan kelestarian alam sekitar ketika itu.
Berikutan sidang kemuncak dunia mengenai pembangunan mampan atau “World Summit on Sustainable Development (WSSD)” yang diadakan di Rio de Janeiro, Brazil pada tahun 1992, Kerajaan Sarawak telah mengubal undang-undang “Natural Resources and Environment (Amendment) Ordinance, 1993 (Cap. 84 – Laws of Sarawak)”.
Rentetan daripada pindaan terhadap Ordinan Sumber Asli Dan Alam Sekitar (Natural Resource Environmental Ordinance (NREO) 1949, maka lahirlah penubuhan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak, lebih dikenali sebagai NREB Sarawak pada 1 Februari 1994.
Secara dasarnya, berlandaskan Perkara 3 (1) undang-undang tersebut, NREB Sarawak bertanggungjawab untuk melindungi dan menguruskan alam sekitar serta pemuliharaan sumber asli berdasarkan prinsip-prinsip pembangunan mampan.
Memperincikan Seksyen 5 Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar 1993 (NREO, 1993) menggariskan :
- Menentukan mod dan cara di mana eksploitasi dan penggunaan sumber alam di dalam negeri tidak akan merosakkan, mencemarkan atau menyebabkan kesan negatif terhadap alam sekitar;
- Menentukan dan mengambil langkah-langkap yang sewajarnya, termasuk mengeluarkan arahan kepada pihak berkuasa berkaitan dengan alam sekitar atau orang awam untuk mengelakkan, mengurangkan atau menghentikan pencemaran air di sungai atau di kawasan tadahan air;
- Mengawal, menghenti, atau melarang pemusnahan hutan demi untuk perlindungan sumber alam, sungai dan unsur-unsur alam sekitar yang lain;
- Bekerjasama dan menjadi perwakilan ke Majlis Alam Sekitar Kebangsaan atau Kementerian-kementerian yang relevan di peringkat persekutuan bagi menentukan standard kawalan alam sekitar dan penguatkuasaan peraturan yang relevan;
- Menyediakan peraturan, garis panduan dan hala tuju bagi perlindungan dan memperbaiki kualiti alam sekitar yang berkaitan dengan penggunaan tanah, perlindungan sumber bekalan air, eksploitasi kehidupan akuatik & tumbuhan di sungai dan tepi pantai, dan hal-hal lain di bawah kuasa dan perundangan negeri;
- Memberi pendidikan dan maklumat kepada orang awam mengenai perlindungan dan memperbaiki kualiti alam sekitar; dan
- Mengarah pihak berkuasa berkaitan dengan alam sekitar dan orang awam untuk melakukan pemantauan dan audit alam sekitar bagi setiap aktiviti yang ditetapkan.
Sebaik sahaja, pindaan NREO ini berkuat kuasa pada tahun 1995, semua projek Pembangunan diwajibkan mempunyai Kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (Environmental Impact Assesment) dan sekitar tahun 2020 mula mengguna pakai Kajian Penilaian Kesan Sosial dan Alam Sekitar (Social and Environmental Impact Assessment) 2020 untuk projek di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).Peranan-peranan lain NREB ialah seperti memantau sumber air, memantau kualiti air Sungai, pematuhan alam sekitar, selain turut terlibat dengan Jabatan Pertanian dalam loji biogas dan loji efluen untuk kawasan ternakan. Selain itu, turut terlibat dalam memantau pengurusan sisa pepejal, tapak pelupusan sampah, memantau pencemaran jerebu, memantau kualiti udara, memantau sistem penarafan bahaya kebakaran (fire danger rating system), menjalankan kajian khas berkaitan alam sekitar dan pelan induk alam sekitar di peringkat bahagian.Bagi meningkatkan kesedaran semua pihak, NREB bersama pihak industri telah memperkenalkan Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri Sarawak (CMEA) sejak tahun 2001 (kini dikenali sebagai Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak (PSEA) sebagai satu insentif bagi menggalakkan “environmental stewardship” dalam kalangan sektor awam dan swasta.
Seiring perubahan masa, dengan usia NREB genap 30 tahun juga kini dalam usaha melaksanakan pengambilalihan autonomi Sarawak terhadap alam sekitar di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Usaha pertama ke arah merealisasikan pengambilalihan tersebut bermula pada tahun depan (2025) dengan NREB mengambil alih sepenuhnya pengurusan sisa berjadual di Sarawak daripada Jabatan Alam Sekitar.
NREB juga turut menggalas penambahan fungsi Baharu (termaktub dalam Kelestarian Alam dan Ekonomi Baharu Sarawak), khususnya mengenai perkara yang berkaitan dengan penangkapan dan penyimpanan karbon, kawalan pelepasan gas rumah hijau dan inisiatif hijau lain.
Antaranya fungsi tambahan tersebut termasuklah inisiatif Baharu yang dijangka bakal dilaksanakan oleh NREB seperti kawalan pengangkutan, pengesahan dan pemeriksaan gas berjadual yang akan dibawa ke luar negara untuk penyimpanan di Sarawak.
Selain itu, mengawal selia, mengawal inventori pelepasan gas rumah hijau, penilaian levi karbon dan pelaksanaan strategi, pelan tindakan dan insentif ke arah pengurangan atau pengurangan gas rumah hijau.