- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Realisasikan Matlamat Wujudkan Persekitaran Bersih dan Ceria

Must read

Salah satu aspek yang boleh menjadikan Sarawak sebagai negeri paling makmur pada tahun 2030 adalah dengan memberi penekanan kepada inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Golongan belia dilihat sebagai bakal pemimpin masa depan negara, justeru mereka perlu dididik dan dilatih dari segi pembangunan inisiatif kemampanan dan menjadi sebahagian daripada agenda hijau untuk memberi impak positif kepada masa depan Sarawak.

Dengan semangat, sokongan dan keupayaan mereka untuk inovasi, golongan belia mempunyai kuasa untuk mengubah cabaran iklim menjadi batu loncatan ke arah masa depan yang lebih berdaya tahan.

Oleh itu, Kerajaan Sarawak wajar melaksanakan pelbagai program kesedaran bagi memastikan seluruh rakyat di negeri ini memahami istilah pembangunan mampan dan diterjemahkan dalam aktiviti harian.

Program InnoWaste yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) sejak beberapa tahun lalu telah memberi impak yang besar terutama di kalangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sarawak bukan saja dalam mempamerkan kreativiti dalam inovasi bahkan dalam menterjemahkan betapa pentingnya kemampanan alam sekitar.

Budaya inovasi dan kreativiti dalam mengitar semula barang-barang terpakai adalah satu tindakan bijak dalam usaha menangani masalah pencemaran alam sekitar di negeri ini.

Oleh sebab itu, PBT di Sarawak amat digalakkan untuk memperbanyakkan program kepentingan kitar semula kepada masyarakat tempatan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pihak sekolah dan pihak-pihak yang lain.

Penglibatan masyarakat tempatan dalam menjayakan program kitar semula amat digalakkan justeru, pihak MPHLG mendorong mana-mana pertubuhan atau persatuan di negeri ini bekerjasama dengan PBT di seluruh Sarawak untuk melaksanakan inisiatif ini.

Program InnoWaste yang diperkenalkan oleh MPHLG bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan dalam menjaga alam sekitar selain untuk menanam semangat cintakan alam sekitar dalam kalangan masyarakat.

Pada masa yang sama, melalui program InnoWaste ini juga, ia akan dapat meningkatkan kerjasama dan mewujudkan kesefahaman diantara sektor awam, sektor swasta dan komuniti setempat dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Seterusnya, program InnoWaste ini akan dapat memupuk minat masyarakat dalam menghasilkan produk inovasi melalui program kitar semula bahan-bahan terpakai.

Program InnoWaste ini memberikan impak yang sangat besar kerana ia membolehkan agensi-agensi Kerajaan Negeri dan PBT mendekati orang awam, penjawat awam, pelajar-pelajar dan para guru sekolah, ketua-ketua masyarakat, badan bukan kerajaan dalam memperkasakan usaha ke arah mengoptimumkan pembangunan sosioekonomi lestari.

Bangunan Perpustakaan Desa Batu Niah (PDBN)

RAKAN Sarawak berkesempatan melawat ke Perpustakaan Desa Batu Niah (PDBN) dan telah melihat sendiri bagaimana kreatifnya Pasukan GYM 3R menghasilkan produk inovasi daripada tong drum dan kayu palet.

Antara objektif pasukan ini menghasilkan produk inovasi daripada tong drum dan kayu palet adalah kerana timbul isu di mana banyak tong drum dan kayu palet yang terpakai tidak digunakan, justeru telah timbulnya idea untuk mereka mengubah barang terpakai tersebut menjadi produk yang bermanfaat.

Seperti yang kita tahu, tong drum adalah bahan yang kukuh dan melalui karya seni kreatif, ia dapat menghasilkan produk yang cantik untuk dikomersialkan.

Selain itu, pasukan ini juga mahu membantu para belia membuat produk dari bahan kitar semula; menjadikan bahan kitar semula sebagai salah satu penjana pendapatan; merealisasikan impian untuk menjadikan persekitaran yang bersih dan ceria.

Berdasarkan penyelidikan secara rawak, pembuatan set perabot tong drum ini amat diperlukan dan boleh dijadikan sebagai salah satu sumber pendapatan kerana penjualan produk ini boleh mencecah harga dari RM500 sehingga RM2000.

Tong drum yang sinonim dengan tong dan berfungsi sebagai tangki, kaleng dan drum kini berjaya diubah menjadi barang hiasan rumah serta dijadikan sebagai set perabot.

Kebanyakan tong drum yang dihasilkan menggunakan sofa, namun bagi Pasukan Gym 3R, kayu palet telah dipilih untuk digunakan dan dijadikan sebagai alas tempat duduk.

Difahamkan, pembuatan set perabot tong drum oleh Pasukan Gym 3R ini telah mula dibuat pada Mac, 2021 dan disiapkan dalam tempoh satu (1) bulan.

Set perabot tong drum yang dihasilkan oleh Pasukan Gym 3R, Perpustakaan Desa Batu Niah (PDBN)

Lokasi pembuatan set perabot tong drum ini adalah di rumah ahli Pusat Aktiviti Belia Sibuti dengan bilangan anggota yang terlibat dalam pelaksanaan pembuatan ini adalah seramai lima (5) orang.

Sebelum Pasukan Gym 3R mereka bentuk inovasi tong drum tersebut, mereka telah membeli tong drum yang diguna pakai dari kedai yang menyimpan tong untuk tujuan pengisian semula minyak atau kegunaan lain.

Pemilik kedai memaklumkan bahawa tong-tong yang sedia ada tidak mempunyai tempat untuk disimpan.

Kebanyakan pembeli yang datang membeli tong hanya untuk tujuan menyimpan minyak dan dibawa ke kampung atau rumah panjang.

Pada dasarnya kos untuk pembelian tong dan kayu palet adalah secara kutipan ahli dan selebihnya ahli akan menyumbang secara peribadi.

Namun begitu, Pasukan Gym 3R berdepan dengan beberapa masalah sebelum inovasi ini dilaksanakan antaranya;

  • modal untuk mendapatkan tong drum
  • pengangkutan untuk membawa tong drum kerana ia agak besar dan memerlukan kenderaan pacuan empat roda
  • kekangan bahan untuk membuat inovasi tong drum seperti gergaji jig (jigsaw), ketam kayu, peralatan untuk pertukangan

Walau bagaimanapun, kemahiran pertukangan yang sedia ada pada Pasukan Gym 3R dan minat yang mendalam telah menghasilkan inovasi tong drum menjadi sebuah set perabot tong drum yang cantik dan berkualiti.

Pembuatan set perabot tong drum ini memerlukan empat (4) unit tong drum, 50 keping kayu palet, gam dan cat aerosol (lebih dikenali sebagai cat semburan).

Kos operasi pelaksanaan set perabot tong drum

Hasil daripada penciptaan inovasi tong drum ini, terdapat beberapa faedah telah dikenal pasti iaitu;

  1. Pengurangan kos operasi

     Projek ini tidak memerlukan modal yang banyak kerana hanya membabitkan kos sekitar RM500 dan set perabot ini boleh diguna pakai sehingga tempoh tiga (3) hingga ke lima (5) tahun.

  • Peningkatan tahap produktiviti

     Produk ini boleh dikomersialkan dan kos pasaran yang disarankan adalah dalam anggaran RM2,000.

  • Peningkatan tahap kepuasan hati pelanggan

     Berdasarkan maklum balas pelanggan yang telah melihat dan menilai produk ini, para pelanggan berpuas hati dan melihat produk ini sebagai bahan yang unik dan berkualiti.

  • Sebagai sumber inspirasi

     Produk ini adalah sebagai titik permulaan kepada para belia atau pengguna yang berkunjung ke Pusat Aktiviti Belia Sibuti untuk melihat sendiri inovasi tong drum dan ianya boleh dijadikan sumber inspirasi mereka bentuk pelbagai inovasi tong drum pada masa akan datang.

Produk hiasan di Perpustakaan Desa Batu Niah (PDBN) dihasilkan daripada barang terpakai

Kesimpulannya, inovasi tong drum yang telah dihasilkan merupakan salah satu produk yang boleh menjana pendapatan yang lumayan sama ada kepada individu atau berkumpulan.

Penghasilan produk ini pasti memberi peluang yang cerah kepada komuniti setempat dalam bidang pertukangan dan kemahiran malah, produk ini juga dapat dipelbagaikan dan diinovasikan kepada reka bentuk yang menarik serta berkualiti.

Ukiran Gua Niah yang dihasilkan daripada barang terpakai hiasan di Perpustakaan Desa Batu Niah (PDBN)
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article