- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat Penghubung di Antara Rakyat Dengan Kerajaan

Must read

Ketua Kaum (KK) dan Ketua Masyarakat (KM) memainkan peranan penting dalam memastikan agenda pembangunan serta bantuan yang disediakan oleh kerajaan sampai kepada masyarakat.

Dalam hal ini, KK dan KM menjadi rujukan di peringkat kepimpinan akar umbi dan penghubung di antara rakyat dengan kerajaan.

RAKAN Sarawak berpeluang menemu bual beberapa orang pemimpin masyarakat yang mewakili masyarakat Iban, Melayu dan Cina di Daerah Miri bagi mendapatkan perkongsian tentang tugas dan peranan yang dimainkan oleh mereka di kawasan masing-masing.

Menurut Pemanca Isut anak Karin, tugas utama KK dan KM adalah membantu menyampaikan maklumat dan polisi kerajaan di samping bekerjasama dalam pelbagai aktiviti sosial.

Jelas beliau, penglibatan KK dan KM dalam aktiviti sosial berjalan melalui jawatankuasa ‘One Stop Committee’ yang ditubuhkan di peringkat daerah.

“Di bawah jawatankuasa ini, kami terlibat dengan pelbagai aktiviti sosial, misalnya menangani isu penyalahgunaan dadah dan substans yang dijalankan bersama-sama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan turut terlibat menangani masalah sosial yang lain seperti kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja.

“Selain itu, kami juga terlibat dengan aktiviti berkaitan bencana alam yang diketuai oleh Pejabat Residen dan Daerah Bahagian Miri,” tambah beliau.

Berlatar belakangkan pengalaman sebagai bekas guru dan Pegawai Pendidikan Daerah di Subis dan Baram, Pemanca Isut tidak mempunyai masalah berurusan dengan masyarakat dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin, bahkan beliau berasa selesa apabila berdamping dengan mereka.

Hubungan beliau dengan masyarakat setempat yang berbilang kaum dan agama juga sangat baik.

Dari segi tugasan harian, setiap pemimpin seperti beliau perlu hadir ke Pejabat Daerah secara bergilir dan hadir mengikut keperluan seperti untuk bermesyuarat, menghadiri sesi taklimat ataupun menjalani kursus yang relevan dengan jawatan yang dipegang.

Bagi Penghulu Randi anak Elon, pemimpin masyarakat bertanggungjawab membuat pemantauan untuk memastikan kawasan masing-masing tidak ketinggalan dari sebarang bentuk pembangunan, sama ada pembangunan berskala kecil mahupun besar, ataupun pembangunan yang benar-benar diperlukan oleh penduduk.

Jelas beliau, lazimnya, KK dan KM dapat mengenal pasti keperluan sesebuah kampung melalui maklumat dalam Profil Kampung yang disediakan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Untuk memastikan pembangunan sampai kepada penduduk, amat penting bagi saya sebagai Penghulu mengetahui keperluan sesebuah kampung dalam kawasan di bawah bidang kuasa saya melalui Profil Kampung untuk mendapatkan maklumat.

“Seterusnya, kita akan melawat dan berjumpa dengan Ketua Kampung yang berkenaan bagi mendapatkan kepastian supaya kita dapat berbincang dan bertemu dengan penduduk untuk mengenal pasti apakah keperluan mereka,” ujar beliau.

Penghulu Randi juga memaklumkan, Profil Kampung perlu dikemas kini dari semasa ke semasa dan beliau dan rakan-rakan sejawat sentiasa berhubung dengan pegawai-pegawai kerajaan yang terlibat dengan urusan berkaitan cadangan permohonan sesebuah projek untuk dibawa ke proses seterusnya.

Tambah beliau, projek yang dipohon oleh penduduk akan diajukan dahulu kepada JKKK dan seterusnya dikemukakan kepada Pejabat Daerah serta agensi kerajaan yang berkaitan.

Pelantikan sebagai pemimpin masyarakat adalah satu penghormatan dan kepercayaan yang disandarkan oleh kerajaan kepada kepimpinan di peringkat akar umbi.

Demikian menurut Penghulu Nasir bin Haji Abdul Rahim yang berpengalaman selama 20 tahun sebagai KK dan kini menjadi Penghulu di kawasan Lutong selama empat (4) tahun.

Menurut beliau, KK dan KM berperanan penting sebagai pengantara di antara rakyat dengan kerajaan dalam membangunkan kawasan dan sosioekonomi penduduk.

“Kita adalah nadi perhubungan di antara kerajaan dengan rakyat dari peringkat akar umbi dan memainkan peranan yang penting untuk membangunkan penduduk di sesebuah kawasan,” jelas beliau yang juga bekas pegawai kerajaan.

Menjelaskan mengenai bagaimana projek pembangunan dicadangkan sebelum dimajukan kepada pihak kerajaan, beliau menjelaskan, kemas kini dibuat berdasarkan pada Pelan Tindakan Kampung yang mengandungi maklumat seperti aktiviti dan program JKKK, pembangunan infrastruktur kampung serta maklumat mengenai kebajikan penduduk.

“Melalui Pelan Tindakan Kampung, kami dapat mengetahui apakah pembangunan yang sangat diperlukan di kampung dan kami akan bermesyuarat dengan ahli-ahli JKKK agar perancangan dapat dilaksanakan dengan berkesan.”

Ditanya mengenai apakah jenis pembangunan yang sangat diperlukan di kawasan beliau, Penghulu Nasir memberitahu, pertama ialah jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik serta bekalan gas.

Meskipun kemudahan pendidikan seperti taska dan sekolah serta kemudahan tempat beribadah seperti surau, masjid dan gereja sudah disediakan, kemudahan komunikasi seperti liputan internet yang baik juga amat diperlukan.

Jelas beliau, liputan internet yang baik sangat penting, terutama untuk anak-anak menjalani pembelajaran pada zaman digital dan serba moden hari ini demi kebaikan dan masa depan mereka.

Encik Abdul Rahaman bin Bolhassan, Ketua Kaum di Kampung Luak dan Lusut memaklumkan, kemudahan asas di kawasan beliau kini boleh dikatakan serba lengkap.

Walau bagaimanapun, masih terdapat infrastruktur asas lain yang perlu ditambah baik atau dinaik taraf.

Dilantik sebagai KK pada 2019, beliau kini berperanan menyambung usaha memastikan supaya pembangunan akan terus dilaksanakan di kampung beliau.

“Kemudahan asas di kampung saya memang sudah serba lengkap dengan adanya jaringan jalan raya yang menghubungi semua kawasan dan sistem perparitan yang sudah dinaik taraf.

“Lampu jalan juga sudah ada tetapi sesetengah kawasan memerlukan lampu tambahan. Sekarang, saya menyambung usaha memastikan keperluan asas di kampung saya akan dilaksanakan,” jelas beliau.

Beliau turut menyuarakan keperluan untuk membina sistem kawalan hakisan di pantai Luak hingga ke Bakam yang kini menjadi kebimbangan penduduk dan perlu diberi perhatian serius.

Menurut beliau, paras air laut semakin menghampiri jalan raya dan rumah kediaman penduduk dengan jarak di antara pantai dengan laut kini hanya kira-kira 50 meter berbanding dahulu yang jaraknya sejauh 500 meter.

Namun begitu, masalah berkenaan telah pun disuarakan penduduk dan sedang dalam perhatian untuk tindakan lanjut oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak, tambah beliau.

Encik Abdul Rahaman berharap supaya projek berkenaan dapat disegerakan demi keselamatan dan kesejahteraan penduduk dan orang awam.

Encik Hipni bin Sulong, Ketua Kaum yang mewakili Kampung Piasau Utara berkongsi tentang kewujudan dan perubahan yang berlaku di kampung beliau kini berbanding dahulu.

Menceritakan latar belakang kampung secara ringkas, menurut beliau, kewujudan Kampung Piasau Utara bermula dari perpindahan nelayan-nelayan yang mendiami kawasan tepi sungai di Kampung Dagang.

“Kampung Piasau Utara dulu hanya dikenali sebagai Kampung Piasau. Pada masa itu hanya beberapa buah rumah sahaja yang terdapat di sana.

“Apabila berlaku perpindahan penduduk yang majoritinya nelayan, bekalan air bersih dan elektrik pun disediakan oleh kerajaan.

“Pada masa ini, kalau dilihat dari segi kemudahan sosial seperti balai raya, masjid, tadika dan sekolah semuanya sudah ada.

“Berdasarkan Banci 2020, bilangan penduduk pun meningkat seramai lebih 2,000 orang berbanding 1,800 sebelum ini,” jelas Encik Hipni berkongsi.

Walaupun infrastruktur asas di kampung beliau hampir lengkap, namun penduduk memerlukan sistem perparitan konkrit yang lebih baik berbanding dengan sistem sedia ada.

Sehubungan dengan itu, beliau dan ahli-ahli JKKK buat masa ini sedang berurusan dengan wakil rakyat dan agensi kerajaan yang berkaitan bagi memenuhi keperluan tersebut.

Dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai KK, beliau sentiasa berhubung dengan pegawai kerajaan dan wakil rakyat untuk memastikan keperluan asas penduduk dapat disediakan.

Dari sudut ekonomi, Persatuan Nelayan Kampung Piasau Utara menurut Encik Hipni telah menjalankan inisiatif membuka premis yang dikhaskan untuk ahli-ahli persatuan menjual hasil tangkapan laut, sayur-sayuran dan buah-buahan termasuklah yang mengusahakan gerai makanan dan minuman.

Pemanca Ling Leh King memberi perumpamaan bahawa peranan yang dimainkan oleh KK dan KM adalah seperti jambatan yang menghubungkan rakyat dengan kerajaan.

Sebagai contoh, dalam hal kebajikan, KK dan KM turut berperanan memastikan bantuan yang ditawarkan oleh kerajaan dapat sampai kepada penduduk yang layak menerima.

“Kami sebagai pemimpin masyarakat juga membantu penduduk mengurus permohonan bantuan kebajikan di agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak.

“Mereka akan datang berjumpa kami dan kami bawa mereka pergi ke pejabat kebajikan, isi borang bantuan dan sebagainya.

“Selain itu, kami juga turun padang bersama pihak kebajikan untuk mengenal pasti penduduk miskin yang betul-betul memerlukan bantuan,” jelas beliau.

Pemanca Ling berpengalaman luas dalam memimpin masyarakat di Daerah Miri. Beliau yang kini menjawat jawatan Pemanca selama lima (5) tahun juga pernah memegang jawatan sebagai Kapitan selama 15 tahun dan menjadi Penghulu selama tiga (3) tahun.

Kapitan Aries Leong Chin Lim berpendapat, selain menjadi mata dan telinga kerajaan, KK dan KM juga perlu memainkan peranan mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan masyarakat.

Tambah beliau, amalan bermesyuarat atau berdialog dengan pegawai-pegawai kerajaan dijadikan platform untuk mengukuhkan lagi hubungan dengan kerajaan.

“Yang penting kalau agensi kerajaan mengadakan mesyuarat, dialog ataupun seminar, kami mesti hadir dan kukuhkan hubungan dengan pegawai-pegawai kerajaan,” ujar beliau.

Dari segi peranan dalam usaha pembangunan, menurut beliau, pengumpulan maklumat tentang keperluan penduduk perlu dijalankan terlebih dahulu dan dibincangkan di peringkat JKKK sebelum dimajukan kepada pihak kerajaan.

“Cara terbaik ialah mendengar suara dan mendapatkan cadangan daripada rakyat sebab kita membantu membawa pembangunan untuk rakyat. Kita juga mesti turun padang mendekati rakyat.”

Kapitan Aries ialah salah seorang daripada 13 orang Kapitan yang dilantik bagi kawasan pentadbiran Daerah Miri.

Mewakili kira-kira 20,000 penduduk di kawasan bandar, beliau memaklumkan tiada keperluan infrastruktur yang begitu mendesak daripada penduduk memandangkan majoriti mereka mendiami kawasan bandar dan perumahan yang berhampiran dengan pusat bandar raya Miri.

Sungguh pun begitu, beliau mengakui masih terdapat kawasan yang memerlukan kemudahan sosial tambahan seperti gelanggang sukan dan taman rekreasi selain penambahbaikan untuk tujuan keselamatan seperti menambah bilangan lampu jalan.

Secara amnya menurut beliau, projek pembangunan di kawasan beliau melibatkan kerja-kerja naik taraf jalan dan perparitan termasuklah penambahbaikan liputan internet.

Penghulu Yong Kar Seng turut berpandangan bahawa pemimpin masyarakat perlu turun padang dalam apa jua hal yang melibatkan keselamatan dan kebajikan masyarakat seperti mengurus bencana.

Beliau pernah terlibat bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), pihak Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan agensi penguatkuasaan yang lain menjalankan operasi membasmi penularan wabak denggi.

“Kami pernah mengadakan gotong-royong bersama penduduk membantu JKNS, pihak polis dan MBM dalam operasi mencegah penularan denggi.

“Kami turun padang mendekati masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama untuk memantau situasi sehingga bilangan kes denggi dapat dikurangkan.”

Beliau yang kini memegang jawatan Penghulu sudah lebih dua (2) tahun juga pernah dilantik sebagai Kapitan untuk tempoh lima (5) tahun.

Satu perkara yang menjadi kebanggaan beliau ialah keharmonian dan kerjasama di antara KK dan KM berbilang kaum di Sarawak, khususnya di Miri ketika melaksanakan tugas dan amanah menjaga kebajikan rakyat baik dari segi pembangunan fizikal dan sosial.

“Saya berasa bangga sebagai rakyat Sarawak apabila pemimpin masyarakat seperti kami dapat bekerjasama dengan pemimpin dari masyarakat yang lain sama ada Melayu, Orang Ulu, Iban dan sebagainya.

“Kami seperti bersaudara. Jika ada apa-apa berlaku, kami boleh bekerjasama, makan dan minum bersama,” ujar beliau.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article