- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Peningkatan Kemahiran Bantu Mengembangkan Kebolehupayaan

Must read

Peluang peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) tenaga kerja amat perlu bagi memastikan kakitangan dapat menangani keperluan pasaran buruh yang begitu cepat berubah.

Program peningkatan kemahiran akan memberi peluang pembelajaran secara berterusan dengan menyediakan program latihan dan pembangunan yang dapat membantu mengembangkan kebolehupayaan pekerja serta mengurangkan jurang kemahiran.

Kebiasaannya, mereka yang menyertai apa sahaja program peningkatan kemahiran atau pengajaran kemahiran baharu akan diberi sijil kemahiran setelah menamatkan latihan, bahkan mereka yang bernasib baik mungkin akan mendapat tawaran pekerjaan daripada majikan yang terlibat.

Di Sarawak, Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) adalah salah satu agensi yang memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan kemahiran bakat para belia dan komuniti ke arah ekonomi digital di Sarawak.

Program peningkatan kemahiran dapat meningkatkan kecekapan dalam bertindak balas terhadap keperluan pasaran

Bagi memperkasakan pembangunan ekonomi digital di negeri ini, SDEC berperanan menyelaras dan menyokong inisiatif yang berkaitan digitalisasi serta ekonomi digital di Sarawak.

SDEC dengan kerjasama pelbagai pihak bawah ekosistem Sarawak Digital dan Inovasi, menyediakan peluang kepada usahawan tempatan mempelajari kemahiran digital yang merangkumi pelbagai bidang seperti pemasaran, pengurusan kewangan, pengurusan inventori, dokumentasi dan lain-lain.

Cara pengendalian inisiatif ini melibatkan latihan kemahiran, mewujudkan peluang rangkaian perniagaan, pemberian insentif kewangan, alatan atau pengiklanan, pengurusan akaun-akaun media sosial dan sebagainya.

Usahawan juga didedahkan dengan pelbagai platform perniagaan digital yang boleh membantu mempromosikan perniagaan ke pasaran yang lebih besar seperti platform media sosial, e-dagang, laman Google dan laman sesawang utama untuk menggalakkan usahawan menggunakan solusi digital dalam perniagaan mereka.

Program peningkatan kemahiran bertujuan untuk merealisasikan usaha pendigitalan Kerajaan Sarawak

Sempena Pelancaran Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKS) Sarawak di Miri pada Jun tahun lepas (2023), SDEC telah memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera dan TikTok Pte Ltd (TikTok) untuk meningkatkan pertumbuhan PKS.

MOU antara SDEC dan Yayasan Peneraju, yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi memberi tumpuan kepada pembangunan bakat tenaga kerja Bumiputera untuk mewujudkan hubungan kerja bagi pelaksanaan program kedua-dua pihak.

Kedua-dua organisasi komited untuk mengembangkan kemahiran digital masyarakat setempat dan membangunkan usahawan yang celik digital dan perniagaan yang bersedia menuju ke arah Industri 4.0.

Sementara, kerjasama antara SDEC dan TikTok Pte Ltd adalah untuk meneroka peluang berpotensi yang boleh ditawarkan oleh platform pembeli-belah hibur itu kepada penjual dari Sarawak di bawah inisiatif Sarawak Digital Mall.

Inisiatif ini menyediakan latihan oleh pasukan TikTok Shop (MY) dan TikTok for Business, baucar diskaun, kredit iklan tajaan, tapak mikro khusus dan banyak lagi aktiviti.

Selain itu, SDEC turut melaksanakan program SME Digitise, iaitu program selama satu tahun yang menawarkan modul latihan komprehensif untuk mendigitalkan perniagaan agar ia dapat beroperasi dengan cekap dan berkesan melalui alatan dan Kemahiran digital.

Program tersebut merupakan kerjasama strategik dengan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera yang matlamat untuk meningkatkan penerimaan digitalisasi dalam kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Sarawak.

Antara objektif program ini ialah;

  • Menyediakan program pendigitalan secara menyeluruh selama 12 bulan untuk usahawan Sarawak
  • Untuk merealisasikan usaha pendigitalan Kerajaan Negeri
  • Melahirkan komuniti usahawan yang celik digital di Sarawak

Program ini menyediakan enam modul iaitu yang pertama ialah Intervensi Perniagaan terdiri daripada pemetaan dan inovasi penyelesaian baharu untuk perniagaan menggunakan Business Model Canvas (BMC);

Modul kedua ialah Perakaunan untuk Perniagaan Kecil yang memperkenalkan peserta kepada prinsip dan amalan asas perakaunan untuk perniagaan kecil menggunakan Solusi digital;

Modul ketiga ialah Pengurusan Bekalan dan Inventori yang memperkenalkan peserta kepada prinsip dan teknik asas pengurusan bekalan dan inventori menggunakan solusi digital;

Modul keempat iaitu Peralatan Digital untuk operasi bagi memperkenalkan peserta kepada solusi digital yang penting untuk operasi perniagaan;

Modul kelima ialah Pemasaran Digital untuk Produk atau Perkhidmatan bagi memperkenalkan peserta kepada asas pemasaran digital di Facebook dan Tiktok termasuk strategi dan teknik terkini;

Modul keenam ialah eDagang dan Perhubungan Pelanggan bagi memperkenalkan peserta dengan pengetahuan dan Kemahiran untuk menggunakan platform eCommerce dengan berkesan.

Program SME Digitise ini adalah selari dengan peredaran masa dimana peluang pekerjaan baharu perlu dicipta manakala pekerjaan sedia ada harus dipelihara.

Usaha kerajaan melaksanakan pelbagai program upskilling dan reskilling ini bertujuan untuk mengurangkan kadar pengangguran dan menangani perubahan struktur di pasaran buruh.

Forum Ekonomi Dunia (WEF) meramalkan akan berlaku perubahan dalam bidang pekerjaan dalam era transformasi digital, di mana 85 juta pekerjaan akan hilang dan akan wujud 97 juta pekerjaan baharu menjelang 2025 merentasi pelbagai industri dan sektor ekonomi.

Oleh itu, kerajaan amat menitikberatkan pembangunan modal insan kerana ia adalah aset masa depan Sarawak. Kerajaan Sarawak akan memastikan semua rakyat mendapat peluang dalam peningkatan kemahiran yang berkualiti, khususnya bagi memenuhi permintaan industri baharu dalam era transformasi digital.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article