- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Baik Pulih Sekolah Untuk Pembelajaran Lebih Baik dan Selesa

Must read

Peruntukan besar wajar diberikan bukan sahaja untuk meningkatkan infrastruktur dan kemudahan di semua sekolah mahupun membina sekolah-sekolah baharu malah untuk menggantikan sekolah usang kerana dengan cara ini, ia dapat mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih selesa

Oleh kerana itu, Kerajaan Sarawak berharap agar Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memberi keutamaan dalam usaha-usaha hendak menambah baik ataupun menaik taraf sekolah-sekolah daif yang sedia ada di Sarawak.

Sejak dulu lagi, isu ini sering dibangkitkan agar kualiti pengajaran dan pembelajaran dapat ditingkatkan seterusnya memartabatkan sektor pendidikan di negara ini amnya dan di Sarawak khasnya.

Dalam pada itu juga, prasarana dan kemudahan sekolah di luar bandar dan pendalaman di Sarawak perlu diberi tumpuan oleh KPM bagi merapatkan jurang perbezaan dalam pendidikan dengan sekolah-sekolah di bandar.

Keadaan sekolah yang baik mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih selesa

Bagi mencapai matlamat ini, Kerajaan Negeri Sarawak akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Pusat bagi memastikan bidang pendidikan di negeri ini akan terus diberi tumpuan termasuk membangunkan sekolah daif serta kuarters guru yang telah uzur.  

Dalam hal ini, sudah tentu tumpuan perancangan drastik dan peruntukan besar amat diperlukan bagi menaik taraf kemudahan bangunan sekolah serta kuarters guru yang telah uzur di seluruh negeri ini.

Usaha ini amat penting memandangkan kebanyakan bangunan sekolah di negeri ini berada dalam keadaan agak daif dan bangunan lama masih banyak dibina daripada struktur kayu. 

Peruntukan besar amat diperlukan bagi meningkatkan infrastruktur dan kemudahan sekolah-sekolah daif di Sarawak

Masalah yang sering dihadapi ialah, peruntukan yang diberikan setiap tahun sering tidak mencukupi, kerana ia hanya cukup untuk melaksanakan projek yang kecil sahaja sedangkan untuk memperbaiki dan membina baharu sekolah daif serta kuarters guru memerlukan kos yang sangat besar.

Justeru, Kerajaan Persekutuan dan KPM harus mengambil langkah yang wajar serta memberi perhatian yang serius atas permasalahan yang berlaku di sekolah daif serta kuarters guru di Sarawak.

Dalam ucapan penggulungan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, YB Dato Sri Roland Sagah Wee Inn pada 27 November 2024 sempena Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19, isu mengenai sekolah usang di Sarawak telah dibangkitkan.

Suasana di Sk Nanga Machan, Kanowit sewaktu murid-murid balik dari sekolah

Beliau mendedahkan, sebanyak 198 buah sekolah yang terlibat dalam projek baik pulih dan naik taraf di bawah biayaan Kerajaan Sarawak selesai, manakala 309 sekolah masih dalam proses pelaksanaan.

Jelas beliau, jumlah tersebut merupakan pembabitan terkini sekolah-sekolah yang terlibat dalam projek naik taraf dan penambahbaikan.

Mengulas kenyataan beliau, isu sekolah daif ini bukan sahaja berlaku di Sarawak tetapi seluruh negara, namun ia bukanlah alasan kementeriannya untuk tidak mengetengahkan isu ini.

Justeru, dalam usaha ini, Kerajaan Sarawak dan Premier sendiri telah meluluskan peruntukan bagi memindah dan membangunkan semula sekolah luar bandar.

Sekolah-sekolah tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Segan di Bintulu, SK Maludam di Betong, SK Kampung Penasu di Daro dan SK Pulo di Kuching.

Dana juga di peruntukkan untuk menaik taraf dan menambah baik bangunan dan kemudahan di SK Merpati Jepang di Kuching, SK Abang Aing di Sri Aman, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abang Haji Openg di Kuching dan terkini SK Sageng dan SMK Gedong di Sri Aman.

Menurut beliau, pada tahun 2019, KPM telah mentakrifkan semula kategori bangunan usang pada skala 1 hingga 7 iaitu kategori 6 dan 7 ialah lot usang seperti mana disahkan kakitangan teknikal Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Daripada kategori yang telah ditakrifkan, terdapat 461 di bawah skala 6 dan 7 yang diberikan keutamaan untuk kerja-kerja pembaikan dan naik taraf.

Pada tahun 2017 menurut beliau, sebanyak 1,020 sekolah usang telah dikenal pasti di negeri ini berdasarkan tiga kategori utama kerosakan.

Dedahnya, kategori 3 mencatat sebanyak 415 buah sekolah di seluruh negeri, diikuti kategori 1 (395 buah sekolah), manakala kategori 2 (210 buah sekolah).

Beliau turut menyatakan bahawa, banyak masalah yang menjadi halangan dalam projek baik pulih dan naik taraf sekolah-sekolah daif ini yang menjadi punca kepada kelewatan dan sebagainya.

Jelasnya, satu daripada masalah ialah kekangan dana bagi tujuan tersebut selain masalah-masalah seperti lokasi sekolah yang tidak sesuai dan perlu dipindahkan ke lokasi baru yang mengambil masa dan satu lagi berkaitan perubahan skop kerja yang memerlukan masa lama untuk kelulusan semula.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article