- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Mendokong Visi Kuasa Sukan Negara

Must read

Perkampungan Sukan Sarawak (SSV) yang kini sedang dibangunkan adalah salah satu usaha bagi mendokong visi Sarawak untuk muncul sebagai kuasa besar sukan negara menerusi pembangunan infrastruktur sukan.

Kerajaan Sarawak melalui Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) sebagai agensi di bawah Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) meletakkan harapan tinggi agar projek tersebut menjadi salah sebuah kemudahan sukan yang bakal melahirkan atlet bertaraf antarabangsa di negeri ini.

Pihak MYSED optimis bahawa projek SSV yang dibangunkan di Kompleks Sukan Petra Jaya bermula pada Julai 2020 dijangka siap pada penghujung April tahun ini.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, YB Datuk Haji Abdul Karim bin Rahman Hamzah percaya perkampungan sukan tersebut bakal menjadi kompleks sukan terbesar di Malaysia dalam satu tempat memandangkan tiada negeri lain yang menyediakan pelbagai kemudahan sukan dalam satu tempat.

Turut ditempatkan ialah dewan wushu, gelanggang ragbi dan gelanggang kriket yang juga bakal menjadi lokasi acara Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21, Sarawak 2024 pada bulan Ogos kelak.

Kontinjen Sarawak yang bertanding dalam temasya SUKMA Ke-18, Sarawak 2016

Ketua Pegawai Eksekutif SSC, Encik Awang Putrayusrie bin Awang Redzuan memaklumkan, perkampungan sukan tersebut bersedia untuk menempatkan kira-kira 500 atlet yang akan bertanding dalam SUKMA Sarawak.

Kemudahan-kemudahan lain yang terdapat di SSV ialah bangunan asrama empat (4) tingkat, dewan serba guna, kantin dan pondok pengawal.

Penyiapan projek perkampungan sukan tersebut akan membuka lebih banyak peluang untuk Sarawak menganjurkan acara sukan seperti Borneo International Games (BIG), Sukan SEA, Sukan Komanwel dan kejohanan-kejohanan sukan yang lain.

Kali terakhir Sarawak menjadi tuan rumah SUKMA ialah pada temasya edisi ke-18 yang berlangsung pada 2016 yang mana kontinjen Sarawak muncul naib juara.

Mengimbas kembali, Sarawak pernah menjuarai SUKMA sebanyak tiga (3) kali berturut-turut, iaitu pada 1990 yang pada ketika itu Sarawak selaku tuan rumah diikuti kejuaraan kali kedua pada 1992 dan seterusnya pada 1994.

Berdasarkan pada pencapaian tersebut jugalah yang memberikan keyakinan kepada MYSED dan SSC untuk mencapai visi Sarawak sebagai kuasa sukan negara.

Oleh yang demikian, Sarawak berazam untuk melahirkan bakat-bakat tempatan dalam pelbagai jenis sukan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa dengan meningkatkan infrastruktur sukan bertaraf antarabangsa seperti yang sedang dibangunkan di Kompleks Sukan Petra Jaya.

Bagi mengukuhkan lagi visi menjadi kuasa sukan, Kerajaan Sarawak juga telah meluluskan pembinaan sebuah kompleks velodrom berbasikal yang pertama di negeri ini di lokasi berhampiran Kompleks Sukan Petra Jaya.

Pembinaan velodrom tersebut adalah bertujuan untuk menyediakan kemudahan yang sesuai dan selesa serta bertaraf antarabangsa supaya pelumba-pelumba basikal tempatan dapat meningkatkan prestasi masing-masing.

Inisiatif-inisiatif lain yang turut dilaksanakan ialah membaik pulih kemudahan-kemudahan sukan sedia ada dan pembinaan kemudahan baharu dengan peruntukan sebanyak RM75 juta.

Antara projek sukan yang telah diluluskan ialah Pusat Prestasi Tinggi (HPC), menaik taraf padang bola sepak Stadium Sarawak dan membaik pulih kemudahan sukan sedia ada bagi memenuhi piawaian antarabangsa daripada badan seperti Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Persekutuan Olahraga Dunia.

Untuk mencapai visi Sarawak sebagai kuasa sukan negara, SSC bukan sahaja giat membangunkan infrastruktur sukan, malah, agensi berkenaan juga menjalankan usaha secara konsisten dalam memajukan landskap sukan negeri dari peringkat akar umbi melalui kerjasama dengan pihak sekolah dan agensi-agensi sukan yang lain.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article