Politeknik Kuching Sarawak (PKS) telah berjaya memenangi Anugerah Perak bagi Kategori Agensi Utama Trofi Premier Sarawak bersempena Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Sarawak sekali gus telah membawa pulang sebuah trofi dan wang tunai berjumlah RM40, 000.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada 7 Februari 2024 (Rabu).
PKS merupakan salah satu institusi pendidikan, justeru penganugerahan ini amat bermakna dalam usaha memastikan PKS terus mengamalkan sistem dan budaya kerja yang cemerlang dan melalui inisiatif ini pastinya fungsi dan peranan PKS dapat diperkasakan dalam memenuhi aspirasi negara.
Bukan setakat itu sahaja, malah kemenangan ini secara langsung telah dapat meningkatkan imej PKS serta keyakinan bakal pelajar untuk memilih PKS sebagai institusi untuk melanjutkan pengajian.
Demikian dikatakan Pengarah PKS, Encik Samsudin Bin Mohd. Saleh ketika ditemu ramah RAKAN Sarawak pada 12 Mac 2024 yang lalu.
Beliau menyifatkan kemenangan ini sangat penting kerana ia mampu meningkatkan keyakinan pihak industri terhadap graduan PKS sekali gus akan menggalakkan kolaborasi antara industri dan PKS yang akhirnya akan dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan PKS.
Tambah beliau, kemenangan tersebut juga turut memberi aspirasi kepada warga PKS untuk terus memperkasa iltizam bagi melonjakkan kecemerlangan serta menggalakkan PKS memberikan perkhidmatan cemerlang untuk pelanggan dan pihak berkepentingan.
Pelbagai faktor membawa kepada kejayaan ini antaranya, PKS sentiasa memberi fokus kepada aspek Kepimpinan Organisasi, Pengurusan Kewangan, Pengurusan Sumber Manusia, Pengurusan Teknologi Maklumat, Pembudayaan Organisasi Cemerlang, Pengurusan Pelanggan dan Pencapaian Organisasi.
Dalam aspek kepimpinan organisasi, PKS sentiasa berusaha memberi galakkan kepada warganya agar sentiasa mendokong visi dan misi organisasi di mana ianya dihebahkan melalui pelbagai platform.
Visi PKS adalah untuk menjadi peneraju institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang unggul maka terdapat beberapa perkara yang sentiasa diberi penekanan iaitu;
Dokumen pelan strategik dan pelan tindakan perlu dikaji dan disemak secara berkala; Pendekatan SOAR (Strengths, Opportunities, Aspirations & Result) harus diguna pakai; Memastikan Petunjuk-Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dicapai sepenuhnya; Pengurusan Kewangan dan perolehan dipantau secara berkesan melalui Jawatankuasa Pengurusan Kewangan dan Akaun serta Jawatankuasa Pengurusan Aset.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa, PKS juga membelanjakan peruntukan kewangan secara optimum selain mematuhi secara pekeliling dan prosedur yang sedang berkuat kuasa.
Menurut beliau, PKS telah menetapkan secara dalaman berkaitan pembayaran bil yang perlu selesai dalam tempoh tiga (3) hari bekerja.
Antara lain, beberapa faktor yang turut menyumbang kepada kejayaan PKS ialah di mana Budaya penyenggaraan menjadi amalan utama PKS; Memperkasa perancangan strategik sumber manusia termasuk dalam aspek pengurusan nilai dan budaya; Latihan Staf dirancang dengan strategi mampan; Sesi libat urus berkala dilaksanakan antaranya melalui pelbagai platform seperti Majlis Bersama Jabatan (MBJ) selain turut diadakan Perhimpunan Bulanan.
PKS juga tidak terkecuali dalam melaksanakan inisiatif memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada warga kerja seperti pemberian Anugerah Pekerja Contoh, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), Anugerah Akademia dan sebagainya.
Dalam memperkukuh dan melestarikan pendigitalan sistem penyampaian perkhidmatan, PKS telah membangunkan beberapa sistem pengurusan maklumat sumber manusia seperti e-Staf Information System (eSIS), Human Resourses Management Information System (HRMIS), Sistem eKehadiran PKS, eProfiling dan sebagainya.
PKS juga turut melaksanakan Inisiatif Pendigitalan dalam Pelan Strategik dan Tindakan PKS untuk menyokong usaha Strategi Ekonomi Digital Sarawak dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Antaranya ialah Sistem Pengurusan Maklumat Pelajar (SPMP) dan E-Learning CIDOS JPPKK yang merupakan satu sistem amalan pendidikan dalam talian dan memberi kemudahan kepada pensyarah dan pelajar untuk mencipta bahan-bahan yang berkualiti untuk pembelajaran.
Kalau hendak dijelaskan satu persatu, banyak lagi faktor-faktor lain yang telah menyumbang kepada kejayaan PKS ini.
Justeru, Pengarah PKS, Encik Samsudin menganggap inisiatif AKPANS ini amat bermakna dalam usaha untuk memastikan setiap institusi mengamalkan sistem dan budaya kerja yang cemerlang.
Melalui inisiatif ini pastinya fungsi dan peranan institusi dapat diperkasakan dalam memenuhi aspirasi negara, malah budaya pembelajaran organisasi menjadi semakin teratur dan berkembang secara sistematik.
PKS juga berupaya membuat perancangan tahunan dengan lebih menyeluruh dengan merangkumkan semua komponen yang signifikan kepada aktiviti utama (core business) dan juga komponen pengurusan serta pentadbiran organisasi
Keterangkuman ini membolehkan PKS menilai persekitaran luaran dan dalaman dengan lebih teratur untuk membantu merancang kerja bagi mencapai matlamat penubuhan organisasi dan keperluan semasa negara.
Akhir sekali, beliau menyatakan bahawa secara dasarnya seluruh warga PKS telah memberikan komitmen yang sangat cemerlang dalam melaksanakan inisiatif AKPANS ini.
Oleh itu, dengan pengiktirafan yang diterima ini, PKS berhasrat untuk terus meningkatkan iltizam bagi melonjak kecemerlangan institusi.