- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Status Pelabuhan Bintulu Sebagai Pelabuhan Negeri Dimuktamadkan Tahun ini

Must read

Memorandum Persefahaman (MoU) ini menggariskan persetujuan antara Kerajaan Persekutuan (diwakili oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia) dan Kerajaan Negeri Sarawak (diwakili oleh Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak) bagi penukaran status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri.

Objektif MoU ini adalah untuk menyelia dan melancarkan proses penukaran status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri agar peralihan tersebut dapat dimuktamadkan dalam tahun 2024. Antara langkah yang telah diambil untuk memastikan perlaksanaan yang berkesan dan lancar iaitu tiga (3) Jawatankuasa telah ditubuhkan, iaitu, Jawatankuasa Khas, Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Teknikal.

Pada masa ini, Pelabuhan Bintulu adalah sebuah pelabuhan persekutuan yang dikawal selia di bawah Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu 1981. Dengan pertukaran status ini, Pelabuhan Bintulu akan menjadi pelabuhan negeri di bawah kuasa perundangan Negeri berdasarkan Perkara 15 dalam Senarai IIA, Jadual Sembilan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan Sarawak nekad dengan hasrat untuk menyepadukan pelan pembangunan Pelabuhan Bintulu dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030 yang bertujuan untuk meningkatkan perdagangan, kesalinghubungan dengan hab perkapalan serantau dan global serta menyegerakan pembangunan pelabuhan di Sarawak sejajar dengan peluasan kawasan hinterland.

Ketika Pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober 2023, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan di Parlimen bahawa Kerajaan Persekutuan akan berunding untuk merealisasikan penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Sarawak.

MoU ini mencerminkan komitmen bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dengan penubuhan Jawatankuasa Bersama Persekutuan-Negeri iaitu Jawatankuasa Khas, Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Teknikal untuk memantau dan menyelia penukaran status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri dan memastikan proses peralihan tersebut dapat dimuktamadkan dalam tahun ini.

Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Pengangkutan Malaysia dan Timbalan Premier Sarawak, Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak akan

  • memastikan pelaksanaan MoU ini berjalan lancar dan berkesan bagi kedua-dua pihak;
  • mengenal pasti dan mengambil langkah-langkah bersesuaian yang memberi impak menurut niat kedua-dua pihak;
  • mewujudkan situasi yang memudahkan kedua-dua pihak dalam melaksanakan MoU ini; dan
  • menyelia dan membantu proses rundingan dan kerjasama antara kedua-dua pihak.

Jawatankuasa Khasini akan dibantu oleh Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Teknikal, yang terdiri daripada wakil-wakil Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak untuk memastikan pelaksanaan yang berkesan.

Kerajaan Sarawak yakin MoU ini akan dapat mengukuhkan komitmen dan mewujudkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam usaha penukaran status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri dan memastikan tempoh peralihan tersebut dapat dimuktamadkan menjelang akhir tahun 2024.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article