- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Terap H.E.M.A.T Dalam Perkhidmatan

Must read

Sektor perkhidmatan awam perlu fleksibel dan bersedia berubah bersesuaian dengan hala tuju semasa kerajaan dan untuk itu penjawat awam perlu berubah daripada suatu cara kerja lapuk kepada pendekatan baharu lebih efisien, berdaya maju dan memenuhi kehendak pemegang taruh serta pelanggan.

Penjawat awam juga perlu bertindak sebagai ejen kepada kerajaan dalam menyantuni rakyat dengan memastikan setiap permasalahan rakyat didengari serta diperhalusi, seterusnya dikemukakan untuk pertimbangan kerajaan.

Segala inisiatif dan program dipersetujui perlu disegerakan pelaksanaannya demi kemaslahatan rakyat. Dalam konteks ini, aspek ketepatan adalah elemen penting bagi memastikan setiap permasalahan dapat ditangani secara berkesan dan memberi memberikan manfaat kepada rakyat secara menyeluruh.

Audit nilai dijalankan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memperlihatkan kebimbangan terhadap pegangan nilai penjawat awam.

Berdasarkan lima domain kajian Sistem Pengurusan Amalan Nilai (SPAN) ke atas 684 agensi, skor nilai peribadi mencatatkan 81.45 peratus (2023).

Namun, skor bagi nilai organisasi sedikit merosot kepada 78.07 peratus (2023) berbanding penilaian terdahulu mencatatkan skor 78.33 peratus (2021).

Statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tangkapan kes rasuah penjawat awam turut menghasilkan angka masih menggusarkan.

Meskipun trend tangkapan penjawat awam ini semakin menyusut iaitu daripada 47.68 (2019) kepada 38.43 peratus (2023), namun angka 437 kes membabitkan penjawat awam pada 2023 masih lagi tinggi.

Begitu pun, pencapaian Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) memberikan sedikit kelegaan. Kedudukan negara kini melonjak pada tangga ke-57 dengan skor sebanyak 50 mata.

Pegangan nilai ini perlu diterapkan secara bersungguh-sungguh kepada peringkat sekecil-kecilnya dalam perkhidmatan awam iaitu pengukuhan individu.

Seterusnya, budaya positif ini akan mengupayakan mekanisme penggerak The G.R.E.A.T. Civil Service bagi merealisasikan agenda nasional.

Amanat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) 2024 menggariskan H.E.M.A.T sebagai pegangan baharu nilai-nilai penjawat awam. HEMAT merujuk kepada pembentukan sikap untuk membelanjakan dana awam secara berwaspada dan pada masa sama menjalankan tugas dengan penuh penelitian.

H.E.M.A.T didukung lima teras nilai iaitu Hijrah Tata Kelola, Empati Rakyat, Minda Pekin, Apresiasi Inovasi dan Telus Tadbiran.

KPPA, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata dari sudut tafsiran, H.E.M.A.T membawa dua maksud iaitu sikap penjawat awam dalam membelanjakan dana awam secara berjimat-cermat dan tidak boros.

Dari segi sifat pula, beliau berkata, H.E.M.A.T ialah cara penjawat awam menjalankan tugas dengan pengamatan dan penelitian secara mendalam.

penjawat awam perlu sentiasa mendengar dan memahami permasalahan rakyat, prihatin dan menyayangi rakyat, serta menumpukan kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif yang dapat memberikan kesejahteraan kepada rakyat.

Nilai H.E.M.A.T juga mengehendaki penjawat awam sentiasa bersikap cermat dalam membelanjakan dana awam, kreatif dan inovatif dalam memanfaatkan sumber-sumber sedia ada, mempunyai minda value for money, serta menjalankan tugas secara kerjasama strategik antara organisasi.

Menurut KPPA, bagi menjayakan H.E.M.A.T, kerangka pembaharuan perkhidmatan awam yang bertunjangkan empat teras strategik akan menjadi keutamaan pelaksanaan JPA tahun ini. Ini termasuk pemantapan modal insan terbaik perkhidmatan awam yang berkait rapat dengan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang dilaksanakan.

Dalam masa yang sama, kepimpinan sektor awam juga harus peka dengan cabaran megatrends serta kesannya kepada perkhidmatan awam di Malaysia.

Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan  juga menekankan adalah perlu perkhidmatan awam negara ini membangunkan kompetensi baharu seperti celik digital dan data serta kebijaksanaan emosi dalam menyelesaikan permasalahan kompleks selain membentuk semula organisasi agar sistem penyampaian perkhidmatan semakin cekap, sentiasa relevan dan seterusnya membangunkan model kepimpinan baharu dengan mengambil kira aspek kolaboratif dan inklusif.

Empat (4) cabaran megatrends dikenal pasti dalam perkhidmatan awam iaitu pemecahan, ketidakseimbangan, persaingan dan penyesuaian.

Cabaran pemecahan merujuk kepada isu kepantasan penyebaran maklumat tanpa kawalan kesahihannya, cabaran ketidakseimbangan merujuk pelaksanaan dasar yang tidak memenuhi keperluan rakyat, cabaran persaingan menjurus persaingan dalam dan antara organisasi yang akhirnya tidak menguntungkan negara manakala cabaran penyesuaian melibatkan kemampuan untuk beradaptasi dengan teknologi.

Rujukan:
5 Teras HEMAT Ubah Cara Kerja Lapuk Penjawat Awam
5 Nilai Penjawat Awam HEMAT
Penjawat Awam Perlu Pegang Nilai H.E.M.A.T – KPPA
KPPA : Nilai H.E.M.A.T Panduan Mantapkan Perkhidmatan Kepada Rakyat

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article