- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

KGC: Meningkatkan Kesejahteraan Warga Emas

Must read

Kenyalang Gold Card (KGC) diperkenalkan sebagai satu inisiatif oleh Kerajaan Sarawak memberi kemudahan kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas menerima manfaat berbentuk diskaun, rebat dan lain-lain kemudahan daripada sektor komersial dalam menjalani kehidupan seharian.

KGC yang dilancarkan pada 2020 merupakan satu inisiatif daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK).

Setakat suku pertama 2024, sebanyak 357,867 permohonan telah diterima oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) manakala sebanyak 275,130 KGC pula telah diserahkan di seluruh Sarawak.

JKMS adalah agensi yang dilantik sebagai agensi yang mengendalikan semua urusan permohonan dan penyerahan KGC.

Dalam temu bual RAKAN Sarawak bersama Pengarah JKMS, Tuan Haji Adana bin Haji Jed, beliau memaklumkan bahawa KGC diperkenalkan dengan objektif untuk meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan warga emas selain memupuk masyarakat yang penyayang.

Pengarah JKMS, Tuan Haji Adana bin Haji Jed ketika ditemu bual RAKAN Sarawak

Penyediaan kemudahan melalui KGC adalah sebagai satu bentuk sumbangan balik kepada masyarakat bagi menyokong hasrat Kerajaan Sarawak menjadi sebuah kerajaan yang penyayang dan prihatin.

Tambah beliau, inisiatif tersebut juga merupakan salah satu persediaan kerajaan menghadapi masyarakat menua kerana pada 2028, lebih 50 peratus populasi di Sarawak dijangkakan berusia 60 tahun ke atas.

“Berdasarkan pada perkembangan populasi dan kelahiran di negeri ini, Sarawak dijangka akan menghadapi masyarakat menua dan mendahului penuaan populasi Malaysia secara keseluruhannya,” jelas beliau.

Beliau turut memaklumkan, setakat suku pertama tahun ini, sebanyak 535 buah syarikat telah mendaftar sebagai rakan strategik atau merchant yang menawarkan kemudahan diskaun atau rebat melalui KGC.

Sejak dilancarkan, KGC telah memberi manfaat kepada lebih 200,000 warga emas di seluruh Sarawak

Selain mendapatkan kemudahan diskaun dan rebat, pemegang KGC juga berpeluang menikmati kemudahan yuran percuma untuk barangan dan perkhidmatan seperti dalam bidang kesihatan, pengangkutan awam dan sebagainya yang ditawarkan oleh agensi kerajaan, pihak swasta dan pusat komersial yang menjadi rakan strategik KGC.

Satu lagi komponen kemudahan yang diberikan di bawah KGC ialah Bantuan Ihsan Kematian (BIK). BIK akan disalurkan kepada waris apabila pemegang KGC telah meninggal dunia.

Di bawah BIK, waris yang telah dinamakan semasa permohonan KGC dibuat akan menerima bantuan wang ihsan sebanyak RM3,000 sebagai kos untuk pengurusan pengebumian pemegang KGC.

Kenyalang Gold Card (KGC) diperkenalkan dengan matlamat untuk meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan warga emas di Sarawak

Walau bagaimanapun, syarat kelayakan BIK hanya diberikan kepada pemegang KGC yang bukan pesara kerajaan atau yang tidak menerima bantuan khairat kematian daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menurut Haji Adana, sejak BIK diperkenalkan, sebanyak lebih RM50 juta telah dibelanjakan yang melibatkan lebih 16,000 pemegang KGC yang telah meninggal dunia.

Bagi tempoh setakat suku pertama tahun ini, JKMS telah menyerahkan sebanyak 946 BIK dan pihak JKMS menganggarkan kira-kira 5,000 orang pewaris menerima BIK setahun.

Mengulas mengenai penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan KGC, beliau memaklumkan JKMS sedang mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak yang berkaitan bagi menambah baik kaedah pengagihan KGC.

Setakat Mac 2024, sebanyak 26,472 KGC masih belum dituntut oleh pemohon. Jelas beliau, isu tersebut adalah salah satu cabaran dan kekangan yang dihadapi oleh JKMS dalam memastikan KGC dapat diserahkan kepada pemohon yang layak.

Antara faktor yang menyebabkan KGC tidak dituntut atau sukar untuk diagihkan ialah, pemohon gagal untuk dihubungi sama ada telah menukar nombor telefon ataupun telah berpindah alamat.

Faktor lain menurut beliau ialah ada anak-anak dalam kalangan masyarakat yang prihatin terhadap kebajikan ibu bapa mereka dengan mengambil inisiatif membuat permohonan KGC bagi pihak ibu bapa tanpa pengetahuan mereka.

Buat masa sekarang, JKMS belum mempunyai perkhidmatan yang membolehkan KGC dicetak sejurus selepas permohonan dibuat. Pemohon hanya akan dihubungi untuk menuntut KGC setelah kad tersebut siap dicetak.

Menyedari kesukaran yang dihadapi, JKMS sedang berusaha untuk membolehkan KGC dicetak serta merta apabila permohonan telah dibuat supaya tidak timbul isu KGC tidak dituntut atau tidak dapat diserahkan.

Inisiatif tersebut menurut beliau adalah satu usaha JKMS menambah baik sistem penyampaian perkhidmatannya dan bagi memastikan mereka yang layak dapat menikmati manfaat yang ditawarkan melalui KGC.

“Jika usaha ini dapat dilaksanakan, saya rasa tiada lagi rungutan tentang masalah penyerahan kad ini dan ini akan memberi impak yang sangat besar dari segi penyampaian perkhidmatan supaya rakyat dapat merasai implikasi positif terhadap produk yang dikeluarkan oleh kerajaan,” ujar beliau.

Antara cadangan penambahbaikan kemudahan KGC yang lain termasuklah penambahbaikan kakitangan yang khusus untuk pengurusan KGC di setiap bahagian, hebahan media sosial, agihan mengikut rumah panjang melalui JKKK serta membuka Kaunter Satelit Pejabat melalui Program Taklimat Inisiatif Kerajaan.

Beliau turut mengingatkan, JKMS menggalakkan pemohon membuat permohonan KGC secara dalam talian melalui aplikasi iSarawakCare.

Walau bagaimanapun, permohonan juga masih boleh dibuat secara fizikal dengan mengisi borang permohonan KGC.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article