- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Sekuriti Makanan Antara Faktor Penting Dalam Pencapaian SDG

Must read

Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dikenali sebagai agenda tindakan untuk manusia, planet serta kemakmuran dan secara dasarnya, ia adalah kesinambungan daripada Matlamat Pembangunan Millennium (MDG) yang merangkumi semua isu pembangunan lestari.

SDG yang telah diperkenalkan oleh PBB merupakan satu program berteraskan kepada hak asasi manusia yang merangkumi tiga dimensi iaitu Alam Sekitar, Sosial dan Ekonomi.

SDG bukanlah satu perkara yang baharu kerana ia sudah pun diperkenalkan pada tahun 2000 tetapi pada masa itu ia bukan disebut sebagai SDG tetapi dikenali sebagai MDG di mana MDG menggariskan lapan (8) matlamat manakala SDG menggariskan 17 matlamat.

17 matlamat dalam SDG

Memandangkan MDG yang telah tamat pada 2015 tidak dapat mencapai 100% matlamat yang disasarkan, maka terbentuklah model SDG yang meletakkan tahun 2030 sebagai sasaran.

Matlamat SDG adalah bagi menjamin generasi masa depan supaya mereka mampu untuk mendapat semua keperluan asas.

Secara dasarnya, SDG meliputi 5P iaitu People (Manusia), Planet (Planet), Prosperity (Kesejahteraan), Peace (Keamanan) dan Partnership (Rakan Strategik).

Dengan menerapkan elemen SDG ini, ia dijangka dapat mengakhiri atau mengurangkan permasalahan yang sedang dialami sekarang oleh negara-negara membangun dan sedang membangun seperti Malaysia dan negara lain terutama dalam isu-isu sekuriti atau keselamatan makanan.

Mentransformasikan sektor pertanian ke arah yang lebih moden dan mampan

Kita sedia maklum bahawa sekuriti atau keselamatan makanan ini adalah satu keperluan dan ia juga merupakan salah satu faktor kepada pembangunan negara.

Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) sedang mengambil usaha yang serius dalam menangani sekuriti makanan ini.

Menurut Setiausaha Tetap M-FICORD, Encik Sirai Daha ketika ditemu bual RAKAN Sarawak, sekuriti makanan biasanya dikaitkan dengan bekalan makanan yang mencukupi, berkhasiat dan harga mampu beli adalah suatu aspek kesejahteraan rakyat yang amat penting.

Justeru, apabila berlakunya ketidakjaminan makanan, maka ia akan menggoyahkan hak asasi manusia sekali gus akan memberi kesan buruk terhadap masalah kesihatan, pemakanan dan pembangunan

Kerana itu, sekuriti makanan ini merupakan salah satu aspek yang sangat penting dan perlu diberi perhatian kerana ia akan memberi impak terhadap pembangunan negara, malah ia adalah antara faktor penting dalam matlamat utama kepada pencapaian SDG.

Penggunaan teknologi moden/digital bagi mengoptimumkan pengeluaran

Sekuriti makanan ditunjangi oleh empat (4) tonggak utama iaitu ketersediaan makanan, pencapaian makanan, penggunaan makanan dan kestabilan makanan di mana setiap tonggak ini saling melengkapi antara satu sama lain bagi memastikan pencapaian sekuriti makanan.

Sama ada disedari atau tidak, perlaksanaan agenda sekuriti makanan turut diterjemahkan dalam konteks pembangunan negara melalui perlaksanaan dasar kerajaan.

Perkara ini dapat disaksikan melalui pelbagai dasar pembangunan yang memberikan penekanan kepada sekuriti makanan antaranya;

  1. Peningkatan pengeluaran makanan seperti padi, daging, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan;
  2. Memperkukuhkan rantaian bekalan melalui penubuhan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC), Agrofood Terminal dan Pasar Borong;
  3. Mempromosikan penggunaan teknologi moden/digital bagi mengoptimumkan pengeluaran;
  4. Memperkasakan penyelidikan dan pembangunan pertanian seperti teknologi pasca tuai, amalan agronomik, kawalan penyakit dan makhluk perosak, dan sebagainya;
  5. Menggalakkan penglibatan sektor swasta/pelabur; dan
  6. Mengembangkan industri hiliran (pemprosesan makanan).
Durian yang diproses menjadi pes sejuk beku dan ‘seedpulp’ durian di CPPC Tarat

Dasar yang digubal ini mempunyai saling kaitan antara satu sama lain bagi melengkapi kitaran tonggak sekuriti makanan dan akhirnya akan menyumbang kepada kesejahteraan pembangunan negara.

Sehubungan itu, beliau turut menegaskan bahawa setiap program mahupun projek pertanian yang dilaksanakan adalah selaras dengan tiga tunjang utama yang telah digariskan dalam strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 di mana ia adalah selaras dengan SDG iaitu;

  1. Kemakmuran Ekonomi (Economic Prosperity);
  2. Keterangkuman Sosial (Social Inclusivity); dan
  3. Kelestarian Alam Sekitar (Environmental Sustainability)

Dari aspek kemakmuran ekonomi, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan adalah pada 8.3% dan mencapai RM282 bilion menjelang tahun 2030.

Kita sedia maklum bahawa, KDNK adalah jumlah ekonomi yang dijana oleh semua pihak iaitu kerajaan, swasta dan orang ramai dalam sesebuah negara di mana ia adalah satu cara untuk mengukur “tahap kesihatan” ekonomi sesebuah negeri atau negara terutamanya dari segi perkembangan ekonomi.

Dari aspek keterangkuman sosial, peningkatan pendapatan bulanan (median) isi rumah adalah dari RM4, 500 ke RM15, 000 menjelang 2030.

Pendapatan pengguna median merupakan angka pendapatan pertengahan dalam lingkungan pendapatan dari rendah ke tinggi.

Median ini digunakan untuk mewakili pembentangan yang lebih tepat jika dibandingkan dengan min angka (purata).

Ia merupakan satu instrumen yang digunakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia bagi mengklasifikasikan pendapatan isi rumah kepada T20, M40 dan B40.

Pada masa kini, kita tahu bahawa suhu muka bumi semakin meningkat akibat penambahan pelepasan gas rumah hijau sehingga menyebabkan perubahan iklim (climate change) seperti pencairan ais di Kutub Utara dan Selatan, banjir, kemarau, dan sebagainya.

Manakala dari segi kelestarian alam sekitar, pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) adalah sebanyak 45% menjelang tahun 2030.

Memandangkan pembangunan program atau projek pertanian adalah berdasarkan kepada tiga (3) tunjang utama dalam PCDS 2030, sebelum sesuatu program mahupun projek diperakui, ia perlu dinilai dari segi kebolehkalsanaan dan selaras dengan dasar Kerajaan.

Seterusnya, program atau projek dicadangkan akan disusun mengikut keutamaan dan diperakui di peringkat Kementerian.

Selepas itu, senarai program atau projek yang telah diperaku akan dikemukakan dan dibentangkan kepada Unit Perancang Ekonomi Sarawak dan Setiausaha Kewangan Negeri untuk kelulusan.

Di bawah PCDS 2023, M-FICORD beraspirasi untuk mentransformasikan sektor pertanian ke arah yang lebih moden dan mampan bagi memastikan sekuriti makanan dan mencipta kekayaan kepada komuniti tani serta menjadikan Sarawak sebagai pengeksport bersih makanan menjelang tahun 2030.

Bagi mencapai matlamat tersebut, M-FICORD telah menetapkan beberapa strategi utama antaranya;

  1. Beralih dari pertanian sara diri ke pertanian moden/komersial yang fokus kepada industri pemprosesan / hiliran (downstream processing);
  2. Mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada (tanah dan air) serta memperkukuhkan rantaian bekalan;
  3. Memperkukuhkan kerjasama dengan syarikat peneraju (domestik atau antarabangsa) dan komuniti tani melalui model Public-Private Partnership (PPPC) bagi meningkatkan pengeluaran dan memperluaskan akses pasaran;
  4. Mempertingkatkan penggunaan teknologi hijau (green technology) dan konsep ekonomi kitaran (circular economy);
  5. Memperkukuhkan kerjasama dengan agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri bagi memastikan program atau projek yang dilaksanakan adalah selaras dan seiring dengan dasar pembangunan pertanian Sarawak;
  6. Memperketat kerjasama serantau seperti BIMP-EAGA dan Sarawak-Brunei Bilateral Cooperation bagi membangunkan industri pertanian; dan
  7. Mempergiatkan aktiviti penyelidikan, pembangunan dan inovasi

Manakala, beberapa inisiatif utama turut dilaksanakan termasuk;

  1. Meningkatkan keluasan kawasan untuk pembangunan pertanian secara komersial seperti mewujudkan Agropark, Zon Industri Akuakultur (ZIA) dan Pig Farming Area (PFA) untuk menarik pelaburan;
  2. Menyediakan infrastruktur pertanian seperti sistem saliran ke tahap tertier bagi memastikan penanaman padi dapat dijalankan dua musim setahun;
  3. Mempromosikan penggunaan teknologi moden dalam pengeluaran seperti penubuhan Sarawak Agrotechnologi Park (SARTECH) dan Precision Farming Park; dan
  4. Memperkukuhkan kemudahan pemasaran seperti CPPC, Agrofood Terminal dan Pasar Borong.
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article