- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Menepati Matlamat SDG 4

Must read

Matlamat Pembangunan Mampan 4: Pendidikan Berkualiti (SDG 4) adalah salah satu daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2015.

SDG 4 menyasarkan pendidikan berkualiti yang inklusif dan pada masa yang sama menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua lapisan masyarakat dengan menetapkan 10 sasaran yang diukur dengan 11 penunjuk serta tujuh (7) sasaran hasil.

Matlamat utama SDG 4 ialah menyediakan akses pendidikan berkualiti yang mudah kepada semua peringkat masyarakat serta peluang pembelajaran yang lain antaranya dengan meningkatkan infrastruktur pendidikan termasuk menyediakan bantuan pendidikan.

Masyarakat yang mendapatkan pendidikan berkualiti adalah asas untuk mewujudkan pembangunan yang mampan.

RAKAN Sarawak telah menemu bual Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), YBhg Datu Haji Azmi bin Haji Bujang bagi mendapatkan perkongsian mengenai inisiatif berkaitan bidang pendidikan daripada MEITD yang menepati matlamat SDG 4.

Setiausaha Tetap MEITD, YBhg Datu Haji Azmi bin Haji Bujang ketika ditemu bual RAKAN Sarawak

Menurut beliau, MEITD memfokuskan pada pendidikan berkualiti, akses kepada pendidikan yang saksama serta penyediaan infrastruktur pendidikan seperti yang disasarkan dalam SDG 4.

Sebagai contoh, penubuhan Yayasan Sarawak International Secondary School (YSISS) adalah salah satu daripada usaha MEITD memberi peluang kepada rakyat tempatan, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk mengikuti pendidikan bertaraf antarabangsa yang menggunakan sukatan pelajaran Cambridge.

Jelas beliau, umum mengetahui kebanyakan sekolah antarabangsa disediakan oleh pihak swasta dan majoriti pelajar ialah dari golongan berkemampuan.

Oleh yang demikian, pemilikan YSISS sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak membolehkan kerajaan melalui MEITD menetapkan dasar yang mahukan lebih ramai pelajar dalam kalangan keluarga B40 dan M40 menikmati pendidikan dan kemudahan pendidikan berkualiti serta berpatutan seperti yang ditawarkan oleh YSISS.

SDG 4 menyasarkan pendidikan berkualiti yang inklusif serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat – Foto Facebook YSISS

Beliau menegaskan, meningkatkan mutu pendidikan sehingga ke tahap pendidikan yang berkualiti begitu penting dan usaha ke arah tersebut perlu dilakukan. Pendidikan berkualiti dapat melahirkan modal insan yang berkualiti di samping gaji yang lumayan.

Dari segi penyediaan infrastruktur pendidikan, MEITD memberi fokus kepada usaha membaik pulih dan membina baharu sekolah daif di Sarawak.

Beberapa siri makmal bagi mengenal pasti sekolah daif di Sarawak telah dijalankan oleh MEITD bersama dengan pihak-pihak terlibat dan didapati sebanyak 461 buah sekolah di negeri ini dikategorikan sebagai sekolah daif.

“Daripada jumlah sekolah yang dikenal pasti, peruntukan disalurkan oleh KPM dan kerajaan negeri turut membiayai sendiri pembinaan sekolah-sekolah baharu.

“Sekolah pertama yang dibina ialah SK Sungai Ulu Segan di Bintulu yang kini telah siap dan beroperasi sepenuhnya selain menaik taraf SK Merpati Jepang di Kuching,” tambah beliau.

Mengenai pembelajaran sepanjang hayat, beliau mengulas, kebanyakan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan menawarkan bidang tersebut sambil menyatakan MEITD lebih fokus pada usaha peningkatan kemahiran teknikal yang berterusan dalam kalangan tenaga kerja tempatan.

Walaupun bidang pembelajaran sepanjang hayat bukanlah di dalam skop MEITD, namun pihak kementerian menurut beliau sentiasa menjalankan usaha dan galakan mempromosi bidang tersebut melalui kerjasama dengan pelbagai pihak berkaitan antaranya ialah pemain industri.

Dalam usaha ke arah itu, MEITD turut bekerjasama dengan pihak TEGAS bagi mempromosi peluang kerjaya melalui program SCaT Fair yang merupakan acara tahunan anjuran TEGAS selain turut menjayakan pertandingan kemahiran World Skills yang mencungkil bakat tempatan dalam bidang TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) bersama-sama dengan Jabatan Tenaga Kerja Sarawak.

MEITD turut terlibat dalam program SCaT Fair yang berhubung kait dengan aspek pembelajaran sepanjang hayat seperti yang ditekankan dalam SDG 4

Beliau turut menerangkan bahawa matlamat jangka panjang MEITD ialah untuk melahirkan masyarakat yang celik sains.

“Celik sains di sini maksudnya memahami asas sains seperti asas dalam perihal kebersihan serta asas dalam biologi dan fizik.

“Kadang-kadang kita mengetahui sifat sesuatu benda tanpa menyedari ia adalah asas kepada sains sebagai contoh dapat membandingkan kesan inersia di antara kenderaan kecil dan besar dan memahami kandungan dalam makanan. Itulah asas dalam sains,” jelas beliau.

Ke arah matlamat itu, MEITD turut menyasarkan 60 peratus kemasukan pelajar dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).

STEM Trailblazers merupakan satu program utama MEITD dalam usaha menggalakkan kemasukan pelajar dalam bidang STEM

Menurut Datu Haji Azmi, apabila 60 peratus pelajar menceburi STEM, maka peratusan tersebut secara tidak langsung menunjukkan bahawa majoriti pelajar ialah pelajar yang celik sains.

Untuk mencapai sasaran tersebut, MEITD giat menjalankan promosi dalam bidang STEM dan salah satu program utama kementerian ialah STEM Trailblazers yang diadakan setiap tahun dengan penglibatan IPT awam dan swasta.

Menerusi program tersebut, pelajar berpeluang mempelajari pelbagai program seperti program robotik serta diberi peluang meninjau makmal agensi-agensi penyelidikan yang bernaung di bawah MEITD, iaitu Sarawak Biodiversity Centre (SBC), CRAUN Research dan Sarawak Tropi.

Tinjauan di makmal akan mendedahkan para pelajar tentang penyelidikan dan eksperimen yang dijalankan oleh agensi-agensi tersebut.

Selain itu, program berkenaan juga mendedahkan pelajar tentang kaedah pembelajaran baharu dalam STEM termasuk inovasi. Pameran berkaitan STEM turut diadakan.

Dalam mempromosi bidang STEM, MEITD juga menjalankan kerjasama dengan badan bukan Kerajaan (NGO) dari dalam dan luar negara serta bekerjasama rapat dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) terutama dalam penyediaan bahan dan peralatan untuk pembelajaran STEM di sekolah.

Beliau mengakui bahawa pihak kementerian berdepan cabaran dalam meningkatkan kemasukan pelajar dalam bidang STEM.

Tambah beliau, kadar semasa kemasukan pelajar dalam bidang STEM adalah hanya 30 peratus. Menyedari peratusan yang rendah, MEITD menyasarkan kadar kemasukan yang lebih tinggi, iaitu sebanyak 60 peratus.

“Cabaran utama kita sekarang ialah masalah meningkatkan jumlah kemasukan pelajar dalam STEM kerana jumlah kemasukan sekarang agak rendah, iaitu sebanyak 30 peratus.

“Sasaran kemasukan pelajar STEM di peringkat nasional ialah sebanyak 60 peratus dan kita di Sarawak perlu menetapkan sasaran yang sama,” ujar beliau.

Datu Haji Azmi juga mengakui, saiz keluasan dan bentuk muka bumi Sarawak yang mencabar selain isu penempatan guru turut memberi cabaran kepada usaha peningkatan bidang pendidikan di negeri ini.

Lokasi sekolah yang jauh misalnya adalah antara faktor utama yang menjejaskan kelancaran projek baik pulih dan pembinaan kemudahan sekolah, terutama dalam urusan lojistik termasuk kos pengangkutan bahan binaan.

Menurut beliau, Sarawak mempunyai sebanyak 1,265 buah sekolah rendah dan 60 peratus daripada jumlah tersebut terletak di kawasan luar bandar.

Sebilangan kecil sekolah di Sarawak mempunyai jumlah pelajar yang lebih sedikit berbanding dengan jumlah tenaga pengajar selain lokasi sekolah yang jauh daripada kemudahan bekalan air dan elektrik termasuk kemudahan komunikasi dan internet.

Masalah kekurangan guru dan ketidakpadanan guru yang mengajar mata pelajaran tertentu juga adalah antara cabaran dalam bidang pendidikan yang dihadapi di Sarawak. Dalam menangani isu tersebut, MEITD sedang bekerjasama rapat dengan KPM.

Namun demikian, beliau menegaskan bahawa setiap satu cabaran yang dihadapi perlu didepani oleh MEITD dan pihak-pihak yang terlibat demi untuk meningkatkan kualiti pendidikan di Sarawak dan memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada pendidikan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article