- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Penubuhan SEA-DF Langkah Signifikan Untuk Sarawak Menerajui Industri Tenaga Bersih

Must read

Penubuhan pusat Kemudahan Pemasangan dan Pengedaran Elektrolizer Sarawak (SEA-DF) di Taman Perindustrian Demak Laut menandakan satu lagi langkah yang signifikan untuk Sarawak menerajui industri tenaga bersih di rantau ini.

Pusat tersebut menyediakan kemudahan pemasangan termasuk pengedaran peranti atau sistem elektrolizer yang digunakan untuk menghasilkan tenaga hidrogen melalui proses elektrolisis.

SEA-DF merupakan pusat kemudahan pertama seumpamanya di Asia Tenggara yang dibangunkan secara kerjasama oleh SEDC Energy (SEDCE) dan Lestari H2GaaS, sebuah anak syarikat baharu PETRONAS.

Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg yang merasmikan pusat kemudahan tersebut pada 6 Jun lepas memaklumkan, elektrolizer mampu mengurangkan kos penghasilan hidrogen dengan ketara.

Kemudahan elektrolizer yang terdapat di SEA-DF yang cekap mampu menggunakan tenaga kurang daripada 40 kilowatt-jam (kwj) untuk menghasilkan satu kilogram hidrogen, lantas menjadi penanda aras baharu untuk industri penghasilan hidrogen.

Dalam ucapan perasmian beliau, Premier menggalakkan SEDC Energy dan Lestari H2GaaS untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mencapai pengurangan penggunaan tenaga dalam proses elektrolisis yang ketara daripada 40kwj kepada 30kwj ataupun 20kwj.

Beliau juga menyatakan kesediaan untuk memperuntukkan dana kepada kedua-dua syarikat berkenaan untuk menjalankan R&D tersebut serta meningkatkan teknologi penghasilan hidrogen.

Premier bersama-sama tetamu-tetamu kehormat yang lain meninjau kemudahan yang terdapat di SEA-DF yang terletak di Taman Perindustrian Demak Laut

Idea menubuhkan SEA-DF timbul selepas beliau membuat lawatan ke pusat penyelidikan PETRONAS di Bangi pada 2022.

Susulan daripada lawatan itu, Premier meminta pihak PETRONAS untuk berkongsi teknologi berkenaan dan menjalankan kerjasama dengan SEDC Energy sehinggalah tertubuhnya SEA-DF.

Elektrolizer adalah satu sistem yang menjalankan elektrolisis, iaitu proses menggunakan elektrik untuk membelah molekul air (H2O) kepada hidrogen (H2) dan oksigen (O2).

Elektrolizer yang dikuasakan oleh angin, suria ataupun sumber elektrik nuklear mampu menghasilkan hidrogen sifar karbon.

Atas sebab itu, elektrolizer dijangka berperanan penting dalam penyahkarbonan tenaga, penapisan, pengangkutan, pengeluaran kimia dan pembuatan keluli.

Elektrolizer terdapat dalam beberapa jenis, namun kesemuanya berfungsi untuk membelah molekul air bagi menghasilkan hidrogen dan oksigen.

Elektrolizer dibezakan oleh bahan pembinaannya. Elektrolizer bersuhu rendah menggunakan membran elektrolit polimer (PEM) atau membran yang lebih berliang yang diisi dengan larutan alkali.

Kedua-dua PEM dan elektrolizer beralkali beroperasi pada suhu yang lebih tinggi daripada suhu bilik serta mempunyai kecekapan elektrik antara 65 dan 75 peratus berbanding dengan nilai pemanasan hidrogen yang lebih tinggi.

Kecekapan elektrik dalam proses berkenaan merujuk pada kadar penggunaan tenaga elektrik yang diperlukan untuk menghasilkan hidrogen.

Satu lagi jenis elektrolizer ialah elektrolizer oksida pepejal (SOECs) yang mempunyai elektrolit seramik dan berjalan pada suhu yang lebih tinggi dan membolehkan sistem tersebut beroperasi pada kecekapan 90 peratus yang mengagumkan.

Kecekapan yang lebih tinggi ini memerlukan penggunaan elektrik yang lebih sedikit serta mampu mengurangkan kos penghasilan hidrogen dengan ketara.

Kemudahan di SEA-DF bukan sahaja sebagai pusat pemasangan dan pengedaran elektrolizer hidrogen berkualiti tinggi dan sistem yang berkaitan, malah penubuhan pusat tersebut menandakan usaha penting dalam merealisasikan pengeluaran karbon yang rendah dan mampan pada masa hadapan.

Penubuhan pusat berkenaan juga adalah satu langkah tepat dalam memastikan kecekapan operasi projek hidrogen di seluruh Sarawak dan pada masa yang sama bersedia untuk mencipta ekosistem yang betul sambil menyetempatkan rantaian bekalan untuk memacu inovasi dan kecekapan dalam penyampaian penyelesaian hidrogen.

Inisiatif berkenaan juga mampu membantu Sarawak mencapai matlamat sebagai pengeluar tenaga hidrogen dengan menggunakan teknologi terkini.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article