- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Stesen Penyelidikan Pertanian Wilayah Utara Sarawak

Must read

RAKAN Sarawak telah mengadakan tinjauan ke Stesen Penyelidikan Pertanian Wilayah Utara Sarawak atau lebih dikenali sebagai Stesen Penyelidikan Pertanian Kabuloh sebelum ia dinaik taraf pada 2019.

Semasa tinjauan tersebut, Pegawai Menguasa Stesen Penyelidikan Pertanian Wilayah Utara Sarawak, Cik Roslind Anyi telah memberi taklimat ringkas kepada RAKAN Sarawak berkenaan stesen tersebut.

Cik Roslind Anyi. Pegawai Menguasa Stesen Penyelidikan Pertanian Wilayah Utara Sarawak

Menurut beliau, stesen tersebut adalah seluas 552 hektar dan telah beroperasi sejak 1964 bermula daripada stesen penyelidikan kelapa sawit kepada pusat penyelidikan buah-buahan, koko, kelapa dan kopi sejak 1980 hingga sekarang.

Kawasan seluas 552 hektar itu meliputi; Stesen Perikanan Darat Kabuloh (12 ha); Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM – 278.8 ha); Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS – 29.2 ha); Pertubuhan Peladang Kawasan Subis (PPK – 20.8 ha);

Projek Penanaman Nanas Syarikat SARAMANIS (23 ha); Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS -26 ha); Industri Asas Tani (IAT) di Bangunan Inkubator (0.8 ha); dan Pertanian Jitu atau Precision Farming (9.8 ha).

Beliau memberitahu bahawa peranan utama stesen ini adalah untuk menjalankan penyelidikan tentang tanaman makanan dengan kelebihan daya saing.

Fokus tanaman pula lebih kepada tanaman durian, nanas, pisang, padi, kopi, kelapa dan sayur yang ditanam menggunakan sistem Internet untuk Segala (IoT).

Pembantu Perikanan di Stesen Perikanan Darat Kabuloh, Cik Yanee Aren Emang dan tiga orang pelajar dari Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan demonstrasi pemeriksaan kualiti air kepada RAKAN Sarawak. Tujuan pemeriksaan kualiti air ini adalah untuk memastikan air kolam tetap menetapi pH air yang sesuai dengan kehidupan ikan. Sebelumnya, beliau telah memberi taklimat ringkas mengenai stesen ini dengan memaklumkan terdapat 11 stesen perikanan darat di seluruh Sarawak, dan Stetsen Kabuloh Miri adalah yang ke-9. Stesen Perikanan Darat Kabuloh tidak terlibat dengan aktiviti Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) tetapi terlibat dengan orang awam yang datang untuk bertanya tentang ikan, pembelian benih ikan, dan yang ingin mendapatkan khidmat teknikal berkenaan dengan kolam ikan. Sekiranya penternak berdepan dengan masalah air kolam, mereka akan menghantar sampel air kolam ke stesen ini dan pihak mereka akan membantu memeriksa kualiti air kerana ini juga merupakan salah satu daripada perkhidmatan Stesen Perikanan Darat Kabuloh untuk penternak.

Stesen ini juga turut menawarkan khidmat nasihat teknikal dan khidmat sokongan seperti Pemindahan Teknologi, Program Jaminan Kualiti (myGAP dan myOrganik), Pengeluaran Bahan Tanaman yang Disyorkan serta sebagai pusat Penyimpanan dan Penyebaran Maklumat.

Stesen Penyelidikan Pertanian Wilayah Utara Sarawak ini turut bekerjasama dengan pihak lain dalam projek Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) tanaman.

Penolong Pegawai Pertanian, Encik Agam anak Giang menerangkan secara ringkas berkenaan fungsi Seksyen Pengeluaran Bahan Tanaman. Aktiviti utama Seksyen ini adalah membuat cantuman klon yang telah dipilih oleh Jabatan Pertanian dan buat masa ini, mereka banyak menyemai benih durian. Antara jenis cantuman durian yang dibuat Ketika ini ialah D.197 Mousang King, D.168 Hjh. Hasmah, D.158 Kan Yau, D.200 Black Thorn dan D.99 Kop Kecil. Selain itu, mereka turut membuat cantuman klon untuk buah limau kasturi, jambu batu yang tidak berbiji (seedless) dan jambu air (kristal). Menurut beliau, penjualan bahan tanaman buah-buahan di sini adalah dihadkan kepada lima (5) anak benih Sahaja untuk setiap pembelian. Manakala, untuk penjualan kelapa pandan dan matag kepada individu adalah dihadkan kepada 20 anak benih Sahaja dan hanya boleh dilakukan selepas baki pembelian dan agihan kepada peserta Skim Jabatan Pertanian Sarawak.
Penolong Pegawai Pertanian, Encik Henry Thomas anak Julai telah memberi taklimat ringkas berkenaan plot pengeluaran tanaman benih kelapa pandan. Menurut beliau, plot ini telah dibangunkan untuk tujuan pengeluaran benih tanaman bagi kegunaan jabatan. Kebun benih ini diasingkan daripada varieti kelapa lain untuk memastikan pembenihan kelapa pandan tinggi. Tanaman pertama kelapa pandan ini adalah pada bulan Oktober 2019 dengan 157 pokok telah ditanam, namun daripada jumlah tersebut, ada beberapa pokok tidak hidup. Kemudian pada 2022, mereka telah menanam dalam 70 pokok di mana benih tersebut telah diperoleh daripada pembekal yang mempunyai sijil yang diiktiraf oleh Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT). Selepas lima atau enam tahun, Pegawai Pemeriksa kompeten daripada SPBT akan datang kembali untuk memperakukan anak benih pokok kelapa pandan yang ditanam adalah memenuhi standard yang ditetapkan atau sebaliknya. Untuk pengeluaran benih tanaman, ada ciri-ciri tertentu yang perlu diambil maklum iaitu pertama adalah dari segi bentuk buahnya dan kedua adalah ciri-ciri pokok kelapa pandan berkenaan. Selepas dibuat pengesahan oleh Pegawai Pemeriksa daripada SPBT, mana-mana pokok yang tidak menepati standard yang ditetapkan akan ditebang.
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article