- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Kampung Berpotensi Dimajukan Menerusi Program Desa Lestari

Must read

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah menyediakan inisiatif geran bantuan bagi membangunkan kampung-kampung yang berpotensi untuk dimajukan menerusi PDL.

Melalui program ini, setiap kampung yang dipilih diberikan peruntukan bagi menjalankan satu (1) projek berdasarkan sumber ekonomi di kampung tersebut dalam enam (6) sektor utama iaitu pertanian, penternakan, pelancongan desa, perkhidmatan, pembuatan dan peruncitan.

Program geran bantuan PDL ini mensasarkan kampung-kampung di kesemua negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak yang mempunyai sumber semulajadi untuk dibangunkan dan menepati kriteria pemilihan seperti yang telah ditetapkan.

Ia turut mengambil kira potensi produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sedia ada seperti produk pertanian, makanan, pelancongan desa, kraftangan dan lain-lain yang mempunyai pasaran meluas serta dapat membantu membangunkan sosio-ekonomi desa di samping, memperkasakan komuniti luar bandar.

Sejak dilaksanakan pada 2013 sehingga kini, sebanyak 165 buah kampung telah dipilih dan menerima geran bagi pelaksanaan projek-projek ekonomi masing-masing.

Pemilihan kampung-kampung bagi PDL ini adalah berdasarkan potensi sesebuah kampung tersebut manakala produk-produk yang dikeluarkan adalah untuk pasaran tempatan termasuk juga pasaran antarabangsa sekiranya berkaitan.

Salah satu daripada objektif PDL adalah untuk meningkatkan pengupayaan komuniti dalam merancang serta menjayakan pelaksanaan projek pembangunan di kampung.

Menurut Penolong Pengarah Pejabat KKDW Sarawak, Puan Afzalina Binti Ahamad ketika ditemu bual RAKAN Sarawak, terdapat lapan (8) kriteria bagi melayakkan satu-satu kampung itu dipilih menyertai Program Desa Lestari.

Puan Afzalina Binti Ahamad

Antaranya ialah, ia hanya dibuka kepada kampung-kampung yang ditadbir oleh Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK) malah kampung terbabit juga harus berpotensi serta mempunyai sumber semulajadi untuk dibangunkan.

Selain itu, kampung yang dicalonkan harus mempunyai Institusi Kepimpinan Kampung yang berupaya merancang dan melaksanakan aktiviti pembangunan dan kemasyarakatan serta mendapat sokongan daripada penduduk setempat

Ketua Unit Pentadbiran Dan Pengurusan Projek, Puan Roslinda Hanim Binti Mohd Yusoff turut menambah, kampung-kampung yang dicalonkan juga haruslah yang ada melaksanakan projek atau aktiviti ekonomi (produk ikonik) secara berkomuniti dan berpotensi untuk dimajukan serta mempunyai sekurang-kurangnya 30% kumpulan belia yang tinggal dan aktif di kampung.

Puan Roslinda Hanim Binti Mohd Yusoff

Malah, kampung-kampung tersebut haruslah menunjukkan kesediaan mereka untuk melaksanakan projek-projek ekonomi serta tiada masalah sosial yang serius dan keadaan sosio-politik yang stabil.

Antara lain, keutamaan akan diberikan kepada kampung-kampung sedia ada yang mempunyai koperasi sebagai penggerak ekonomi setempat serta aktif dan mematuhi Akta Koperasi 1993.

Misalnya Kampung Melayu Dit dari Debak, Betong mengangkat industri repok yang kini mendapat permintaan yang sangat tinggi selepas kenaikan harga makanan binatang ternakan.

Kampung Melayu Dit dari Debak, Betong mengangkat industri repok yang boleh diketengahkan di dalam industri

Repok kini dilihat sebagai salah satu alternatif yang boleh diketengahkan di dalam industri, justeru penyertaan koperasi kampung Melayu Dit Debak ini sangatlah berpotensi dan boleh dikembangkan pada masa hadapan.

Pada masa kini, pemasaran repok kebanyakan di kawasan Sibu kerana banyak ladang penternakan babi, namun ladang-ladang ternakan di Serian, Kuching dan Bau juga telah mula membeli repok dari kampung Melayu Dit, Debak melalui orang tengah (peraih) yang sampai ke debak.

Repok kini mendapat permintaan yang sangat tinggi selepas kenaikan harga makanan binatang ternakan

Dengan adanya sokongan daripada Kerajaan Sarawak, koperasi ini berani mengambil cabaran untuk menyertai PDL dan telah mendapat peruntukan dari segi bantuan peralatan, latihan dan bahan mentah.

Untuk PDL, bila kita menjalankan aktiviti keusahawanan di sesuatu kawasan, bermakna ia adalah kawasan luar bandar, dan melalui aktiviti tersebut, ia akan meningkatkan peluang ekonomi sama ada dari segi perniagaan ataupun memberi ruang pekerjaan kepada penduduk kampung tersebut.

Apabila ada sektor ekonomi di situ, maksudnya kita perlu memasukkan infrastruktur fasiliti utama seperti jalan, air dan elektrik sebaliknya jika tidak ada kelompok manusia hidup dan bermasyarakat di situ, maksudnya tidak ada sebabnya untuk kita menydiakan kemudahan fasiliti tersebut.

Jadi, bila ada aktiviti ekonomi, ada kehidupan manusia di situ, wajar untuk kita membina jalan perhubungan, menyediakan bekalan air, elektrik di samping mengembangkan sektor-sektor lain seperti pendidikan dan sebagainya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa, kampung-kampung yang telah mendapat pengiktirafan di peringkat Kebangsaan atau Negeri bagi tempoh lima tahun ke belakang mempunyai kelebihan untuk menyertai PDL ini.

Proses pemilihan kampung adalah melalui pencalonan kampung daripada Kerajaan Negeri (SUK) atau daripada Agensi KKDW atau daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Kampung-kampung yang telah dipilih akan dinilai melalui sesi temuduga dan lawatan tapak oleh pihak KKDW.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article