- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

13 Permohonan Permit Penyelidikan Hutan di Sarawak Telah Diterima

Must read

Sebanyak 13 permohonan untuk mendapatkan permit penyelidikan hutan di Sarawak telah diterima sejak Ordinan Hutan Sarawak (Aktiviti Karbon) dikuatkuasakan pada tahun 2022.

Menurut Timbalan Premier merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua, YB Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan, daripada kesemua permohonan yang diterima, satu (1) lesen karbon hutan sedang melalui peringkat proses akhir pengeluaran manakala dua (2) permit penyelidikan karbon hutan pula telah dikeluarkan.

Sebanyak tujuh (7) permohonan masih dalam proses penilaian dan tiga (3) permohonan telah ditolak. Beliau menjelaskan, perdagangan karbon adalah salah satu inisiatif Kerajaan Sarawak dalam menangani perubahan iklim yang sedang dihadapi dan diberi perhatian oleh seluruh dunia.

Selain menangani isu tersebut, perdagangan karbon juga akan menjadi sumber ekonomi baharu dan memberi pendapatan tambahan kepada Sarawak.

Pada masa yang sama, inisiatif tersebut akan mengukuhkan lagi usaha pemuliharaan hutan kerana perdagangan karbon tidak melibatkan penebangan pokok dan penerokaan kawasan hutan.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan memaklumkan perkara tersebut pada sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 15 Mei 2024.

Beliau menjelas lanjut, fi pada kadar lima (5) peratus yang dikenali sebagai Fi Ekosistem Hutan (FEF) akan dikenakan ke atas hasil nilai karbon yang didagangkan.

Kadar FEF yang dikenakan adalah kompetitif dan berpatutan bagi menggalakkan penyertaan lebih ramai pemaju projek karbon hutan di Sarawak.

Selain itu, kerajaan juga akan mengenakan cukai tahunan penggunaan tanah untuk perdagangan karbon berdasarkan pada keluasan kawasan lesen.

Sekiranya kadar fi dan cukai tersebut tidak setara dengan kadar yang diguna pakai di peringkat antarabangsa, perundangan sedia ada membenarkan semakan dibuat ke atas kadar berkenaan.

Beliau turut memaklumkan, formula penetapan harga karbon di peringkat antarabangsa juga belum dimuktamadkan setakat ini.

Oleh yang demikian, harga karbon yang didagangkan di peringkat global pada masa ini adalah berdasarkan kesepakatan dan persetujuan di antara pembeli dan penjual.

Datuk Amar Haji Awang Tengah menekankan, komitmen Sarawak dalam menangani cabaran perubahan iklim berdasarkan matlamat agenda sifar pelepasan karbon global menjelang 2050 merupakan satu bentuk faedah tidak ketara yang lebih utama dan yang tidak boleh dinilai berdasarkan keuntungan semata-mata.

Pada Mei 2022, DUN Sarawak meluluskan pindaan Ordinan Hutan Sarawak (Aktiviti Karbon) yang bertujuan untuk menyediakan pengurusan hutan dan sumber semula jadi yang lebih baik selaras dengan salah satu (1) teras strategik Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), iaitu Kelestarian Alam Sekitar yang selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Sarawak mempunyai keluasan tanah kira-kira 12.4 juta hektar yang pada masa ini 7.7 juta hektar atau 62 peratus kawasan masih dilitupi hutan.

Di bawah Dasar Guna Tanah Sarawak, tujuh (7) juta hektar diperuntukkan untuk perhutanan mampan dan pemuliharaan.

Daripada jumlah tersebut, enam (6) juta hektar merupakan Hutan Kekal (PF) dan satu (1) juta hektar lagi merupakan Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA).

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article