- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Antara Pencapaian Utama Dan Hala Tuju Sarawak Ke Arah 2030

Must read

Sarawak telah mencapai pelbagai kejayaan terutamanya dalam pelaksanaan projek yang telah membawa nilai yang signifikan dan berimpak besar.

Pencapaian ini merangkumi pelbagai projek seperti pembinaan infrastruktur fizikal dan digital, utiliti, inisiatif alam sekitar, pembangunan perumahan, institusi pendidikan, kemudahan penjagaan kesihatan dan program sosioekonomi.

Perkara ini dinyatakan oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mei, lalu.

Pelbagai kejayaan dicapai oleh Sarawak sepanjang tahun 2023 atas usaha dan komitmen sektor awam dan sektor swasta

Antara pencapaian utama Sarawak adalah dalam melaksanakan strategi dan inisiatif yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).

Menurut beliau, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) merupakan titik permulaan Kerajaan Sarawak dalam melaksanakan strategi dan inisiatif yang dibentangkan dalam PCDS 2030.

Pentadbiran beliau akan terus memantau dan menjejaki sasaran PCDS 2030 dengan teliti untuk menyelesaikan masalah secara aktif dan mempercepatkan pelaksanaan projek keutamaan Sarawak.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa Persiapan Sarawak untuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) akan dimulakan pada tahun ini dengan tumpuan utama adalah untuk melaksanakan fasa kedua PCDS 2030.

Grafik menerangkan secara ringkas berkenaan Visi Sarawak 2030

Dalam RMKe-13, Kerajaan Sarawak akan meneruskan usaha bersepadu untuk meningkatkan pendapatan isi rumah ‘median’ dan mengurangkan kemiskinan tegar.

Pada masa yang sama, Kerajaan juga akan memastikan semua ‘Anak Sarawak’ mendapat latihan dan pendidikan yang diperlukan untuk membangunkan tenaga kerja mahir dan produktif.

Hal ini kerana, dengan kecekapan dan produktiviti yang lebih tinggi melalui penggunaan teknologi dan inovasi, kita akan dapat meningkatkan pendapatan isi rumah serta menghasilkan taraf hidup yang lebih tinggi di Sarawak.

Sebagai contoh, beliau telah memulakan projek perintis pengeluaran padi di Lubok Punggor menggunakan anak benih padi hibrid dengan sokongan teknologi dan infrastruktur pertanian terkini.

Projek ini telah menunjukkan peningkatan produktiviti dengan keupayaan menghasilkan antara lima hingga lapan tan semusim.

Grafik menerangkan secara ringkas berkenaan Median Pendapatan Isi Rumah Bulanan

Ini bukan sahaja mampu meningkatkan pengeluaran malah, membantu meningkatkan pendapatan petani kepada RM6,400 sehektar sebulan.

Kerana itu, Kerajaan Sarawak akan memperluaskan inisiatif ini ke Tanjung Bijat di Sri Aman, Spaoh di Betong dan Tanjung Purun di Lundu.

Beliau yakin bahawa, Sarawak bukan sahaja akan mencapai tahap sara diri beras, tetapi juga menjadi pengeksport beras bersih menjelang 2030.

Selain PCDS 2030, antara pencapaian utama Sarawak yang turut disentuh oleh beliau ialah berkenaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau menyatakan bahawa usaha untuk mendapatkan hak Sarawak di bawah MA63 adalah kekal sebagai keutamaan, malah pentadbirannya kini sedang giat meneruskan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan.

Baru-baru ini, Kerajaan Sarawak telah mencapai kejayaan di mana Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pembinaan segera Pusat Kanser Sarawak dan bersetuju agar Kerajaan Sarawak menggunakan dana sendiri dahulu, dengan bayaran balik sepenuhnya daripada Kerajaan Persekutuan.

Pengurusan itu juga digunakan untuk menyegerakan pembangunan sekolah dan klinik usang khususnya di kawasan luar bandar.

Sarawak telah melaksanakan projek perintis pengeluaran padi di Lubok Punggor menggunakan anak benih padi hibrid dengan sokongan teknologi moden

Bukan setakat itu sahaja malah, Jabatan Pendidikan Sarawak juga telah diberi kuasa untuk meluluskan projek pelaksanaan yang dibiayai secara langsung oleh Kerajaan Sarawak.

Jelas beliau, perwakilan kuasa ini adalah bertujuan untuk memperkemas proses birokrasi pelaksanaan projek pendidikan di Sarawak.

Seterusnya, Kerajaan Sarawak juga telah menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Kerajaan Persekutuan pada Mac 2024 bagi memudahkan proses penukaran status Pelabuhan Bintulu kepada Pelabuhan Negeri.

Secara dasarnya, banyak lagi kejayaan-kejayaan utama yang telah dicapai oleh Kerajaan Sarawak sepanjang tahun 2023 atas usaha dan komitmen sektor awam dan sektor swasta.

Premier Sarawak menekankan bahawa, bagi mencapai aspirasi Sarawak maju dan berpendapat tinggi menjelang tahun 2030, kita perlu meningkatkan usaha untuk terus mewujudkan sumber ekonomi baharu demi kemajuan dan kemakmuran Sarawak.

Kita juga perlu meningkatkan tahap kemahiran dan pembangunan sumber manusia untuk mencapai aspirasi 2030 Sarawak.

Dalam pada itu, pembangunan modal insan merupakan kunci utama bagi menjamin kemakmuran jangka panjang Sarawak.

Oleh itu, Kerajaan Sarawak telah mengambil langkah untuk memberi pengajian percuma kepada anak Sarawak di institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Sarawak seperti University of Technology Sarawak, Curtin University, Swinburne University of Technology, i-Cats University College, dan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) bermula 2026.

Inisiatif strategik ini akan memberi peluang kepada anak Sarawak yang layak untuk mengejar pendidikan tinggi dan menyumbang bakat unik mereka kepada pembangunan sosioekonomi Sarawak.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article