- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Membangunkan Industri Semikonduktor di Sarawak

Must read

Pertumbuhan yang stabil didorong oleh peningkatan permintaan untuk elektronik dalam barangan pengguna, automotif, automasi industri dan telekomunikasi.

Menyedari perkembangan dalam industri semikonduktor dan reka bentuk cip, Sarawak mengorak langkah melalui syarikat milik Kerajaan Sarawak, Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor Sdn Bhd dalam membangunkan industri tersebut.

Ketika menghadiri Majlis Perasmian Pusat Reka Bentuk Cip SMD dan Akademi SMD pada 26 Jun 2024, Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg memaklumkan, plot seluas 10 ekar di Zon Perindustrian Bebas Samajaya telah diperuntukkan kepada SMD bagi mengembangkan operasi semikonduktor.

Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bni Tun Datuk Abang Haji Openg (tengah) dan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, YB Datuk Roland Sagah Wee Inn menunjukkan papan tanda Pusat Reka Bentuk Cip SMD selepas beliau merasmikan pusat tersebut dan juga Akademi SMD

Majlis yang diadakan di pejabat SMD di La Promenade, Kota Samarahan turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak, YB Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Pengerusi SMD, YB Datuk Roland Sagah Wee Inn dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki.

Beliau mengulas lanjut, inisiatif tersebut adalah bagi menangani peningkatan kepentingan teknologi pembungkusan cip termaju untuk cip semikonduktor berprestasi tinggi.

Langkah strategik itu akan membolehkan SMD untuk berkolaborasi dengan pelabur-pelabur dan rakan kongsi swasta dalam memupuk perkembangan dalam pasaran yang berkembang pesat seperti dalam kecerdasan buatan (AI) dan sektor automotif.

Pusat Reka Bentuk Cip SMD dan Akademi SMD terletak di bangunan La Promenade, Kuching-Samarahan Expressway di Kota Samarahan

Menurut beliau, pembungkusan cip termaju akan membuka peluang penyelidikan dan pembangunan (R&D) seperti reka bentuk sistem, ciplet dan reka bentuk pakej yang akan mencipta peluang pekerjaan baharu bernilai tinggi untuk industri tempatan.

Usaha pengembangan itu akan menyerlahkan lagi dedikasi SMD untuk memupuk bakat dan inovasi sambil menekankan peranan pentingnya dalam memajukan industri semikonduktor.

Bukan itu sahaja, malah juga beliau baru-baru ini telah menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara SMD dengan Compound Semiconductor Application Catapult (CSA Catapult) di Parlimen United Kingdom (UK).

Beliau positif terhadap perkongsian tersebut kerana CSA Catapult terkenal dengan pusat inovasi miliknya yang terletak dalam kluster semikonduktor kompaun di Newport, Wales dan komited untuk memajukan kepimpinan global dalam semikonduktor kompaun.

Premier juga menyatakan, untuk menjalankan kerjasama yang berkesan dengan semikonduktor kompaun, SMD perlu menyerlahkan diri dan menghimpunkan tenaga kerja dan jurutera berbakat.

Permintaan terhadap semikonduktor di pasaran global mencecah ratusan bilion dolar setiap tahun

Bagi tujuan itu, beliau berpandangan bahawa pejabat SMD perlu ditubuhkan di UK bagi memudahkan R&D dan aktiviti pengkomersialan dijalankan.

Majlis tersebut turut menyaksikan pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara SMD dengan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif SMD, Shariman bin Jamil dan Pengarah JTS, Awang Zamhari bin Awang Mahmod.

Premier menyifatkan pemeteraian MoU tersebut merupakan satu lagi peristiwa penting dalam pembangunan semikonduktor di Sarawak.

Beliau menjelaskan, kerjasama di antara kedua-dua pihak melibatkan usaha pembangunan cip baharu untuk penjejakan elektronik yang akan dijalankan oleh SMD.

Projek tersebut begitu signifikan kerana menggariskan kepentingan dalam mengintegrasikan kemajuan semikonduktor melalui ETES (Electronic Tracking Embedded System) atau teknologi penjejakan objek.

Kerjasama itu juga berpotensi untuk memacu penyelesaian inovatif dalam pelbagai aplikasi termasuk penandaan dan pengiraan keluasan tanah, pengesanan cerun dan kedudukan geo.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article