- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Ekonomi Baharu Luar Bandar Dalam Bidang Pertanian

Must read

Secara umum, kawasan luar bandar sering dikaitkan sebagai sebuah kawasan yang bergeografikan atau terletak jauh dari kawasan bandar.

Merujuk kepada Jabatan Perangkaan Malaysia (sumber daripada Wikipedia), luar bandar adalah sebuah kawasan yang tidak diwartakan atau yang diwartakan dan mempunyai jumlah penduduk kurang daripada 10,000 orang.

Disebabkan kawasan luar bandar terletak jauh dari kawasan perbandaran, maka kegiatan ekonominya juga hampir keseluruhannya adalah berasaskan kepada ekonomi pertanian yang merangkumi pertanian sara diri, pertanian komersial, penternakan, nelayan dan sebagainya.

Namun begitu, sering kali kita mendengar ada sesetengah pihak mentakrifkan kawasan luar bandar sebagai kawasan yang tidak maju dengan kemudahan infrastruktur yang disediakan adalah terhad dan kurang berbanding dengan kawasan bandar.

Aktiviti pertanian yang menggunakan teknologi moden dapat meningkatkan kuantiti dan kualiti produk

Walau bagaimanapun, kemudahan bekalan elektrik, air dan telekomunikasi telah pun disediakan di hampir kebanyakan kawasan-kawasan luar bandar di Sarawak.

Dengan ini, penduduk di kawasan luar bandar telah dapat menikmati kemudahan-kemudahan tersebut setanding dengan penduduk di kawasan bandar.

Malah, sesetengah kawasan luar bandar di Sarawak sudah memiliki kemudahan TV satelit seperti Astro, NJOI, kemudahan jalur lebar atau akses internet, sistem penapis air seperti CUCKOO, COWAY dan sebagainya.

Kita telah menyaksikan pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan dalam membangunkan kawasan luar bandar dari pelbagai aspek sosioekonomi merangkumi pembangunan prasarana asas, utiliti dan kemudahan sosial, pembangunan ekonomi, pembangunan modal insan atau masyarakat dan pembangunan kemudahan teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT).

Konsep pertanian pintar semakin mendapat tempat dalam kalangan petani muda dan petani-petani di luar bandar

Rakyat Sarawak amat bertuah kerana Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg telah berusaha membawa satu dasar yang dapat mengubah struktur ekonomi Sarawak termasuk di kawasan luar bandar.

Salah satu dasar ini diterjemahkan dengan pelaksanaan ekonomi baharu yang kini sedang dilaksanakan menerusi pelbagai pendekatan yang diyakini telah berjaya serta merintis kejayaan bagi mencapai negeri maju tahun 2030.

Tidak dapat dinafikan bahawa keadaan ekonomi di kawasan luar bandar pada masa sekarang jika dibandingkan dengan lebih sepuluh tahun yang lepas sudah mengalami banyak perubahan.

Di antara faktor yang membawa kepada perubahan ini ialah disebabkan oleh program dan polisi pembangunan yang dibawa oleh kerajaan terutama sekali dalam bidang pertanian.

Gambar menunjukkan proses menyemai padi yang dilakukan secara konvensional

Selari dengan perkembangan teknologi dan aktiviti dalam pelbagai sektor global berasaskan digital, Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Pertanian Sarawak telah mengambil langkah proaktif untuk memodenkan pertanian di Sarawak termasuk di kawasan luar bandar.

Antaranya adalah memperkenalkan kaedah tanaman secara fertigasi dan hidroponik kerana ia merupakan satu kaedah alternatif yang telah dapat mengatasi masalah tahap kesuburan yang rendah dan penyakit bawaan tanah.

Bagi meningkatkan produk pertanian pula, teknologi internet kebendaan (IoT) diaplikasikan terhadap beberapa projek pertanian.

Ia lebih dikenali sebagai sistem pertanian pintar yang merujuk kepada pengurusan ladang menggunakan teknologi seperti IoT, robotik, dron dan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti produk sambil mengoptimumkan tenaga manusia.

Pesawah menggunakan teknologi moden untuk menyembur racun di kawasan tanaman nanas

Pada masa kini, konsep pertanian pintar yang menggabungkan gajet berteknologi tinggi dan AI untuk tanaman semakin mendapat tempat dalam kalangan petani muda dan petani-petani di luar bandar.

Hal ini kerana, ia telah berjaya menjimatkan masa dan wang dengan bantuan penderia dan AI yang berupaya menganalisis data bagi mengekalkan persekitaran pertanian optimum dan hasil yang baik.

Penggunaan teknologi seperti sistem pengairan pintar dan analisis tanah untuk memastikan tanaman mendapatkan apa yang mereka perlukan untuk tumbuh dengan subur bukan saja berjaya meningkatkan kuantiti pengeluaran tetapi juga kualiti pengeluaran.

Pertanian pintar ini penting untuk memastikan pertumbuhan ekonomi pertanian mapan selain membantu meningkatkan status pendapatan petani, nelayan, penternak dan usahawan tani di luar bandar.

Langkah-langkah yang diperkenalkan oleh kerajaan ini bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran hasil pertanian dan pertanian yang lestari selari dengan hasrat menjadikan Sarawak sebagai pengeksport bersih makanan di rantau ini menjelang 2030.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article