- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Pembekalan Elektrik Kaedah Alternatif di Punan Ba Ditambah Baik

Must read

Projek Solar Hibrid yang dilaksanakan di bawah program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) bertujuan untuk menyediakan bekalan elektrik 24 jam ke kawasan-kawasan perkampungan tradisional dan rumah-rumah panjang.

Program BELB meliputi kaedah sambungan grid, kaedah alternatif seperti solar hibrid dan mikro hidro serta pemasangan Lampu Jalan Kampung (LJK) dalam memastikan kesediaan bekalan elektrik yang mencukupi, terjamin dan berdaya harap kepada penduduk-penduduk khususnya di luar bandar.

Berkenaan projek solar hibrid, ia dilaksanakan di kawasan-kawasan pedalaman yang terpencil serta tidak ekonomik untuk disambung menggunakan talian grid.

Antara kriteria pemilihan projek sistem solar hibrid ini ialah di mana tiadanya perancangan sistem talian grid dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, manakala rumah mestilah sesuai dan selamat untuk dipasang pendawaian dalaman.

Walau bagaimanapun, keutamaan akan diberikan kepada kampung yang mempunyai bilangan minimum 20 buah rumah dalam keadaan berkelompok serta terdapat kemudahan awam lain.

Di Sarawak, Punan Ba, Belaga adalah antara kawasan luar bandar yang telah menerima bekalan elektrik menerusi sistem solar hibrid ini.

Projek tersebut telah menelan kos sebanyak RM20.3 juta, dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan, dan dilaksanakan oleh kontraktor Megan Alfa Sdn Bhd bermula pada Mac 2015 dengan jumlah kapasiti yang terpasang adalah 1180.4 kilowatt (kW).

Sistem solar hibrid ini menggunakan 70% kuasa solar dan bateri dengan baki 30% adalah daripada penjana diesel sandaran.

Sehubungan itu, Sijil Penerimaan Sementara atau Provisional Acceptance Certificate (PAC) telah dikeluarkan pada 15 November 2017 manakala Sijil Penerimaan Akhir atau Final Acceptance Certificate (FAC) telah dikeluarkan pada 4 Jun 2021.

Pada masa kini, stesen solar hibrid Punan Ba membekalkan elektrik kepada 172 pelanggan domestik berdaftar yang terdapat di Kampung Punan Ba, Klinik Kesihatan Punan Ba, Sekolah Kebangsaan Punan Ba dan Rumah Panjang (Blok A-Blok F).

Permintaan bekalan elektrik secara berterusan adalah sebanyak 60 kW manakala penggunaan bekalan elektrik waktu puncak tertinggi diperhatikan pada Disember 2023 yang mencapai 114kW.

Difahamkan, prestasi bateri mula merosot pada Januari 2022 sehingga membawa kepada peningkatan penggunaan bahan api diesel di mana secara puratanya, sekitar 10,000 liter bahan api diesel digunakan dalam sebulan.

Bateri telah dibeli dan dipasang pada tahun 2015 dan anggaran untuk menggantikan bateri di bawah “Pelan Penggantian Bateri Nombor Dua Untuk Stesen Hibrid Solar Punan Ga 2023/2024” telah diluluskan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada 17 Jun 2022.

Projek penggantian bateri tersebut sedang berjalan dan dijangka siap menjelang Disember 2024.

Pada 1 Julai lepas, Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Patinggi Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah mengadakan lawatan kerja seterusnya merasmikan Projek Solar Hibrid Punan Ba.

YAB Datuk Patinggi Dr. Ahmad Zahid Hamidi merasmikan Projek Solar Hibrid Punan Ba, Belaga

Semasa lawatan tersebut, beliau telah mengumumkan beberapa berita gembira untuk warga di Punan Ba antaranya ialah menambahbaik pembekalan elektrik dengan melakukan penggantian bateri solar hibrid dan melakukan penyambungan grid Nasional.

YAB Datuk Patinggi Dr. Ahmad Zahid Hamidi melawat sistem Solar Hibrid Punan Ba, Belaga

Peruntukan tersebut merangkumi dana RM4.2 juta bagi penggantian solar hibrid dan RM62 juta untuk projek penyambungan bekalan elektrik luar bandar ke kawasan Punan Ba.

Komponen-komponen yang terdapat pada Stesen Solar Hibrid Punan Ba, Belaga

Menurut beliau, pelaksanaan prmbangunan sistem solar hibrid di Punan Ba itu akan dipantau dan dijalankan sepenuhnya oleh Sarawak Energy Berhad (SEB).

Beliau berharap, dengan pelaksanaan kedua-dua projek tersebut, ia akan memberi manfaat kepada penduduk kampung selain membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat.

Kos penyelenggaraan dan kutipan hasil untuk Stesen Solar Hibrid Puan Ba, Belaga
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article