- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Perkembangan Sektor Pertanian di Serian-Sri Aman-Betong-Sarikei

Must read

Sektor pertanian telah menjadi antara penyumbang terpenting dalam ekonomi Sarawak selain sumber sektor minyak, gas asli, perindustrian dan sebagainya.

Sektor pertanian begitu sinonim dengan rakyat di luar bandar kerana jika dilihat sejak dahulu kala, ia telah menjadi satu bidang yang dapat membangunkan sosioekonomi masyarakat di luar bandar.

Aktiviti pembangunan yang berasaskan akuakultur, pertanian serta agro pelancongan adalah antara sektor yang dilihat mampu mentransformasikan sesebuah kawasan dari segi ekonominya seperti yang sedang berlaku pada hari ini di Bahagian Serian, Sri Aman, Betong dan Sarikei.

Di Bahagian Serian misalnya, projek penternakan ikan empurau serta agro pelancongan yang diusahakan oleh Syarikat Borneo Empurau Farm and Resort Sdn Bhd (BEFR) sudah pasti ia akan dapat memperkasakan produk pelancongan dan aktiviti penyelidikan di kawasan ini.

BEFR yang terletak kira-kira 53-kilometer dari bandar raya Kuching merupakan pusat akuakultur ikan empurau serta resort eko-agro yang telah dibangunkan pada 7 Mei 2015 dan dijangka beroperasi dalam bulan Ogos atau September tahun ini.

Syarikat Borneo Empurau Farm and Resort Sdn Bhd (BEFR) terletak kira-kira 53-kilometer dari bandar raya Kuching

BEFR diusahakan di atas tanah seluas 65 ekar sebagai pusat akuakultur yang bertujuan bagi meningkatkan bekalan empurau liar yang semakin berkurangan di Sarawak.

Difahamkan, pusat ini telah membangunkan sebuah tempat persenyawaan yang mampu menghasilkan kira-kira 5,000 telur empurau setahun.

Selain itu, terdapat akuarium pembiakan untuk 1,600 empurau dewasa, makmal penyelidikan dan pembangunan serta kemudahan latihan untuk bakal penternak empurau.

Tempat persenyawaan di BEFR mampu menghasilkan kira-kira 5,000 telur empurau setahun

BEFR ini boleh menampung kira-kira 2,000 pengunjung pada satu-satu masa dengan 26 chalet dan rumah panjang sebanyak 18 pintu.

Ia juga turut dilengkapi kemudahan dewan serba guna berkapasiti 1,000 tempat duduk disediakan dengan restoran yang menghidangkan empurau halal dengan harga mampu milik, makanan tempatan dan hasil hutan.

Kawasan ini turut dibangunkan dengan taman tema mini air, kolam renang, zoo mini, pusat penanaman akuaponik, penternakan fertigasi, buah-buahan organik dan pertanian rumah hijau.

Selain daripada itu, di Bahagian Serian ini juga telah dibangunkan projek penanaman padi bernilai RM4.5 juta di kampung Mujat bermula pada tahun lepas.

Sarawak akan mampu menghasilkan padi yang boleh dituai sebanyak lima kali dalam masa 24 bulan menggunakan teknologi terkini (Model Lubok Punggor)

Projek penanaman padi yang dimaksudkan ialah Skim Saliran Terkawal yang melibatkan pembangunan sistem pengairan dan saliran serta jalan-jalan pertanian.

Kampung Mujat adalah antara kawasan baharu yang diluluskan Kerajaan Sarawak untuk membangunkan projek penanaman padi bersepadu bagi meningkatkan pengeluaran padi Sarawak.

Projek penanaman padi di Kampung Mujat yang melibatkan tanah seluas 80 hektar telah diumumkan pada 30 November 2022 semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Di Bahagian Sri Aman pula, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Malaysia telah menyiapkan dua projek jelapang padi di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11

Projek yang terletak di kawasan seluas 1,500 hektar yang merangkumi kawasan Bijat, Stumbin, Gran dan Entulang di Lingga itu menelan kos keseluruhan sebanyak RM110 juta

Premier Sarawak mengadakan lawatan ke Pusat Pemprosesan Dan Pengeluaran Benih Padi Sah (SPPC) Stumbin, Sri Aman

Selain itu RM153.6 juta diperuntukkan untuk pembangunan infrastruktur pengairan dan saliran di Skim Jelapang Padi Lingga/Banting yang dianggarkan siap pada 2026.

Baru-baru ini, Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah memaklumkan kawasan tanah kerajaan seluas 1,500 hektar di Sri Aman akan dibangunkan sebagai projek tanaman dan pengeluaran padi.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemprosesan Dan Pengeluaran Benih Padi Sah (SPPC) Stumbin, Sri Aman pada Mac lepas.

Menurut beliau, ia adalah sebagai kesinambungan kepada projek pengeluar padi yang dilaksanakan di Lubok Punggor, Gedong dan untuk permulaan, projek tersebut dijalankan menggunakan tanah kerajaan yang seterusnya akan diperluaskan dengan pembabitan pemilik tanah persendirian.

Usaha untuk meningkatkan produktiviti beras jelapang padi Batang Lupar akan ditekankan kepada empat (4) Faktor utama iaitu Ketersediaan dan Kesesuaian Tanah, Pengairan dan Saliran, Kemudahan Pengangkutan dan Kerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurut beliau projek yang menggunakan teknologi terkini seperti yang dilaksanakan oleh UPM di Lubok Punggor mampu menghasilkan padi yang boleh dituai sebanyak lima kali dalam masa 24 bulan.

Melalui cara ini, Sarawak akan dapat mempertingkatkan hasil pengeluaran padi kepada 100 peratus berbanding pada masa kini dimana Sarawak hanya mampu mengeluarkan 36 peratus daripada yang dikehendaki.

Di dalam kita membicarakan soal pemodenan dan pengkomersilan pertanian, perkara asas yang amat penting seperti jalan kebun atau jalan ladang tidak harus diketepikan.

alan ladang yang dibina dapat memudahkan petani mengangkut barangan dan hasil pertanian mereka

Jalan ladang yang dilaksanakan dapat memberi impak menyeluruh ke atas pembangunan sosioekonomi di kawasan luar bandar dengan menyediakan kemudahan jalan perhubungan asas.

Sebagai contoh, beberapa projek menaiktaraf jalan ladang dibawah peruntukkan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) telah berjaya disiapkan antaranya;

  1. Projek BDDA Infra Ladang Engkeley Jelupang Kabong
  2. Projek BDDA Infra Ladang Jarau, Jelupang, Kabong
  3. Projek BDDA Infra Ladang Kawit, Krian, Saratok
  4. Projek BDDA Infra Ladang Batu Empat, Sebetan, Saratok
  5. Projek BDDA Infra Ladang Bila Dua, Tekurap, Krian, Saratok

Projek ini merupakan kerjasama diantara Jabatan Pertanian Bahagian Betong, BDDA dan Wakil Rakyat tempatan dalam merancang, mengurus dan melaksanakan projek melaui peruntukkan BDDA yang diberikan oleh Kerajaan Sarawak untuk kemudahan para petani dan pekebun kecil.

Manakala pada tahun lepas, sejumlah RM4.3 Juta telah diperuntukkan untuk pelaksanaan projek naik taraf jalan ladang di kawasan Kabong bagi fasa 1.

Untuk fasa 1, sebanyak lapan (8) projek naik taraf jalan ladang telah diserahkan kepada kontraktor untuk mula dilaksanakan iaitu;

  1. Naik Taraf Jalan Ladang Ulu Sungai Chinco, Nyabor;
  2. Naik Taraf Jalan Ladang Tanjung Binyuk, Kabong;
  3. Naik Taraf Jalan Ladang Block 008 Kalaka Land Alit, Kabong District;
  4. Naik Taraf Jalan Ladang Sg Tajo Tanjung Emplam Kabong;
  5. Naik Taraf Jalan Ladang Skim 15 Alit Kabong;
  6. Naik Taraf Jalan Ladang Sg Muroh Kabong;
  7. Naik Taraf Jalan Ladang Rh Abing (Site A) Pangey; dan
  8. Naik Taraf Jalan Ladang Rh Abing (Site B) Pangey.

Projek jalan ladang ini sudah tentu akan memberi impak yang besar kepada para petani di kawasan ini kerana ia akan membolehkan mereka dihubungkan dengan jalan-jalan utama bagi mengangkut barangan dan hasil pertanian mereka.

Selain jalan Ladang, Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) yang telah dibina di Bebuling, Spaoh, sudah pasti akan memberi impak besar kepada pembangunan pertanian di Bahagian Betong.

Lakaran grafik STOLport yang dibina di Bebuling, Spaoh

Daerah Kecil Spaoh yang terletak di Betong adalah sebahagian daripada kawasan Bakul Makanan (Food Basket) justeru, pembinaan lapangan terbang ini adalah penting kerana ia bakal merancakkan ekonomi di kawasan sekitarnya.

Projek lapangan terbang ini adalah sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Sarawak untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeluar produk makanan utama menjelang tahun 2030.

Dengan adanya STOLport ini, ia akan memudahkan urusan pemasaran produk-produk dari Bahagian Betong ke Bahagian Mukah, dari Bukit Sadok ke Pakan, Skrang, Krian dan sehinggalah ke luar negara seperti Singapura dan Indonesia.

Di Bahagian Sarikei, Taman Agro Sungai Baji bakal berkembang maju menjadi pengeluar hasil pertanian yang berkonsep penghasilan pintar melalui kaedah penanaman fertigasi di Sarawak.

Taman Agro yang mempunyai keluasan sekitar 127 hektar dan terletak lima kilometer dari bandar Sarikei dilihat mampu membantu golongan tani untuk memanfaatkan penggunaan teknologi baharu dalam pertanian dimana konsep utama taman ini adalah berasaskan pertanian moden.

Matlamat dan sasaran kerajaan pada masa ini adalah untuk menjadikan Taman Agro Sungai Baji Sarikei sebagai hab penghasilan makanan utama menjelang tahun 2030 dimana ia dijangka mula beroperasi pada suku ketiga 2024.

Pembangunan kemudahan pertanian di Taman Agro ini direka bentuk dengan sistem pertanian campuran terdiri daripada kemudahan rumah hijau dan lot pertanian terbuka bagi menghasilkan tanaman makanan bernilai tinggi,

Antara kemudahan yang disediakan di sini ialah rumah hijau (Greenhouse), inkubator dan terminal pemasaran pertanian, pusat latihan pertanian dan juga kemudahan asas lain seperti bekalan air, elektrik, dan telekomunikasi.

Taman Agro tersebut turut berpotensi dijadikan sebagai satu pusat latihan pertanian moden dan juga sebagai lokasi tumpuan bagi Agro Pelancongan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article