- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Penyelidikan dan Pembangunan Tingkatkan Produktiviti Sagu

Must read

CRAUN Research Sdn Bhd atau ‘Crop Research and Application Unit’ telah ditubuhkan pada 22 Julai 1993 oleh Kerajaan Sarawak sebagai Unit Penyelidikan Tanaman dan Aplikasi Lembaga Pembangunan Dan Lindungan Tanah (LCDA).

Pada 1 April 1997, Unit ini telah diperbadankan dan dikenali sebagai CRAUN Research Sdn. Bhd. (CRAUN).

CRAUN beroperasi di ibu pejabat di Lot 3147, Blok 14, Jalan Sultan Tengah, Kuching, manakala plot-plot penyelidikan tanaman rumbia beroperasi di Stesen Penyelidikan Sungai Talau, Dalat, Mukah.

Pada 22 Mei 2017, menerusi Sarawak Gazette Part II, CRAUN telah diwartakan di bawah Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD).

Secara dasarnya, CRAUN berfungsi sebagai sebuah agensi P&P khususnya bagi tanaman rumbia dan nipah disamping tanaman lain yang berpotensi untuk dikomersialkan.

Pengeluaran bahan tanaman klon sagu merupakan salah satu aktiviti penyelidikan an pembangunan yang dijalankan oleh CRAUN Research

CRAUN juga berfungsi untuk memperkenalkan teknologi terkini yang dapat meningkatkan lagi industri tanaman melalui penyelidikan, pembangunan dan pengembangan.

Di Sarawak, sagu merupakan komoditi utama sejak 1880-an dan sehingga kini, sagu merupakan komoditi pertanian ketiga terpenting selepas kelapa sawit dan lada, diikuti dengan getah dan koko.

Penanaman sagu di Sarawak didominasi oleh pekebun kecil di mana hampir 97% atau 31,763 hektar kawasan bertanam sagu diusahakan oleh pekebun kecil. (Sumber: Jabatan Pertanian Sarawak, 2022).

Sagu adalah makanan ruji di Papua New Guinea, Pulau Maluku dan di Sarawak terutamanya kaum Melanau.

Dalam pada itu, negara kita Malaysia diiktiraf sebagai pengeluar sagu ketiga di dunia selepas Indonesia dan Papua New Guinea.

Hutan sagu (sago forest) terbesar di dunia terletak di Irian Jaya, Indonesi (1.2 juta hektar) dan Papua New Guinea (1.0 juta hektar (Sumber: Flasch, 1983).

Maklumat ini dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif CRAUN Research Sdn Bhd, Encik Zaidell Bin Hussaini ketika ditemu bual RAKAN Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif CRAUN Research Sdn Bhd, Encik Zaidell Bin Hussaini Ketika ditemu bual RAKAN Sarawak

Menurut beliau, industri sagu di negara pada masa ini telah berdepan dengan beberapa isu antaranya, produktiviti tanaman pekebun kecil yang rendah; tiada infrastruktur asas ladang; aktiviti lepas tuai yang berat dan sukar; tenaga kerja yang lanjut usia dan kurang produktif;

Harga keratan batang sagu yang rendah dan tidak konsisten; penggunaan kanji sagu yang terhad; rantaian nilai sagu yang rendah; dan sisa buangan sagu tidak dirawat dan terbiar.

Bagi mengatasi masalah-masalah ini, CRAUN Research telah menjalankan program P&P dengan membangunkan teknologi moden yang lebih efisien bagi meningkatkan produktiviti tanaman dan pemprosesan serta menambah nilai rantaian sagu.

Program P&P tersebut terbahagi kepada dua kategori iaitu yang pertama ialah kategori Huluan (Upsream) meliputi Pengeluaran Bahan Tanaman Klon seperti pisang kepok, halia, nanas (MD2) dan sagu.

Pengeluaran bahan tanaman klon pisang kepok merupakan salah satu aktiviti penyelidikan an pembangunan yang dijalankan oleh CRAUN Research

Teknologi Penanaman Sagu menggunakan amalan agronomi dan kultura sagu; dan Teknologi Lepas Tuai menggunakan jentera pengangkut keratan batang sagu.

Kedua ialah kategori Hiliran (Downstream) meliputi Teknologi Pemprosesan; Pembangunan Produk yang terdiri daripada produk makanan konvensional berasaskan kanji sagu, produk makanan konvensional berasaskan kanji sagu terubah suai, produk bukan makanan berasaskan sagu terubahsuai produk dari kulit sagu dan produk dari hampas sagu; dan Rawatan Sisa Industri.

Hasil daripada aktiviti P&P yang telah dilaksanakan, CRAUN Research telah mencapai beberapa kejayaan antaranya ialah membangunkan teknologi pemprosesan lemantak menggunakan teknologi moden yang lebih efisien.

CRAUN Research juga turut memanfaatkan teknologi digital dengan membangunkan aplikasi untuk mengenal pasti dan mengira pokok sagu.

Selain itu, CRAUN Research juga berjaya membangunkan produk makanan kesihatan seperti biskut sagu bebas gluten dan bar sagu GI rendah.

Pembangunan produk daripada sagu iaitu biskut sagu bebas gluten

Manakala hasil kajian terhadap pembangunan produk makanan konvensional berasaskan kanji sagu pula, antara kejayaan yang telah dicapai ialah;

  • Tempoh luput dalam mi kuning telah dipanjangkan;
  • Sifat gel, kejelasan dan aroma dalam sos dan jem ditambah baik;
  • Tekstur dalam cucur segera ditambah baik;
  • Kapasiti lekatan dalam keropok lekor ditambah baik;
  • Tekstur dan kerapuhan dalam keropok ditambah baik; dan
  • Daya tahan rapuh yang baik dalam biskut sewaktu hidangan

Pembangunan produk makanan konvensional berasaskan kanji sagu terubah suai menghasilkan;

  • Agen pemekat dalam sup, sos dan jem;
  • Agen pengemulsi dalam adunan segera, produk bakeri dan minuman; serta
  • Agen penstabil dalam produk sejuk beku dan makanan tin

Pembangunan produk bukan makanan berasaskan sagu terubahsuai pula menghasilkan;

  • Agen penyalut untuk filem terbiodegradasi
  • Agen pemekat untuk penyediaan gam dan tekstil
  • Debu penyukat untuk pembuatan kertas
  • Serbuk debu untuk sarung tangan lateks
  • Serbuk debu untuk bedak hypoallergenic

Pembangunan produk yang dihasilkan daripada kulit sagu ialah papan gentian, papan cip, komposit gentian plastik dan bata IBS; manakala produk yang dihasilkan daripada hampas sagu ialah makanan ruminan.

Makanan ruminan yang dihasilkan daripada campuran sagu dan baja

Melalui rawatan sisa industri, produk dan sisa buangan yang dihasilkan daripada aktiviti pemprosesan sagu ialah sisa cecair sagu (120 m3/jam); hampas sagu basah (16 tan/jam); kulit sagu (15 tan/jam); dan kanji sagu (1.5 tan/jam).

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article