- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

IKBN Miri Lahirkan Tenaga Kerja Mahir Berdaya Saing

Must read

Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri adalah salah satu daripada 22 buah IKBN di seluruh negara yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia.

Ditubuhkan pada 2002, IKBN Miri menetapkan matlamat untuk melatih golongan belia memperoleh kemahiran dan mendapat pekerjaan dalam pelbagai bidang teknikal serta mampu bekerja sendiri.

Misi IKBN Miri adalah untuk melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang mampu berdaya saing serta dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

IKBN Miri menawarkan tiga (3) program utama, iaitu Program Automotif, Program Mekanikal dan Program Hospitaliti.

Di bawah program Automotif, kursus-kursus yang ditawarkan merangkumi Diploma Kemahiran Malaysia (Automotif), Penyelenggaraan Kereta, Penyelenggaraan Jentera Berat, Penyelenggaraan Kenderaan Perdagangan dan Semburan Cat.

Program Mekanikal menawarkan satu (1) bidang kursus, iaitu Penyelenggaraan Industri manakala program Hospitaliti pula menawarkan kursus Penyediaan Pastri, Penyajian dan Penyediaan Makanan.

Pelatih yang berjaya menamatkan kursus latihan akan mendapat sijil daripada Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK).

“Secara umumnya, IKBN Miri menawarkan banyak kursus, sama ada kursus jangka panjang mahupun jangka pendek. Di IKBN Miri ini, kebanyakan pelajar kursus jangka panjang ialah dalam kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ada juga kalangan pelajar yang sebelum ini sebenarnya sudah terlalu lama belum mendapat pekerjaan, lalu mereka memilih untuk belajar mendapatkan kemahiran di sini,” jelas Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Encik Kaya bin Raju yang ditemu bual oleh RAKAN Sarawak.

Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, IKBN Miri, Encik Kaya bin Raju ketika ditemu bual

IKBN menetapkan syarat kelayakan kemasukan untuk belia berumur di antara 18 tahun hingga 30 tahun. Encik Kaya menambah, terdapat cadangan supaya kelayakan umur untuk kemasukan ke IKBN di setiap cawangan diperluas bermula dari 15 tahun untuk belia yang benar-benar tercicir dari sekolah.

Walau bagaimanapun, cadangan tersebut masih dalam pertimbangan. Sekiranya dimuktamadkan, beliau berpandangan bahawa IKBN, khususnya IKBN Miri dapat meningkatkan lagi jumlah belia yang mendapat pekerjaan selari dengan misinya.

Satu kelebihan dan keistimewaan belajar di IKBN ialah, semua kemudahan disediakan secara percuma. Di IKBN Miri misalnya, pelajar disediakan dengan penginapan hostel dan makanan percuma setiap hari.

Menurut Encik Kaya, selain mendapat elaun, kemudahan percuma yang disediakan banyak memberi manfaat kepada para pelajar untuk meneruskan pembelajaran di IKBN Miri memandangkan majoriti pelajar datang dari luar Daerah Miri yang jauh.

IKBN Miri menyediakan empat (4) Blok Asrama pelajar lelaki dan pelajar Perempuan. Setiap satu blok menyediakan sebanyak 36 buah bilik yang boleh memuatkan seramai 146 orang penghuni.

Kemudahan pembelajaran yang disediakan merangkumi tujuh (7) bengkel, iaitu Bengkel Hospitaliti, Bengkel Kenderaan Motor, Bengkel Jentera Berat, Bengkel Kenderaan Perdagangan, Bengkel Semburan Cat, Bengkel DKM (Diploma Kemahiran Malaysia) Automotif dan Bengkel Mekanik Industri.

Antara kemudahan-kemudahan lain yang terdapat di IKBN Miri ialah sebuah Dewan Besar, Dewan Makan, empat (4) Gelanggang Badminton, dua (2) Gelanggang Takraw, dua (2) Gelanggang Futsal, sebuah Padang Bola Sepak, dua (2) Makmal Komputer, Perpustakaan, dua (2) Bilik Mesyuarat, Surau dan 67 unit Kuarters kediaman kakitangan.

Di samping latihan teknikal, IKBN turut menekankan pembangunan sahsiah diri pelajar dengan penerapan subjek-subjek umum seperti kepimpinan, keusahawanan dan disiplin.

Penerapan subjek tersebut yang dikendalikan oleh Cawangan Bina Insan, IKBN Miri adalah bagi mengimbangi pembangunan dan jati diri belia.

Sejak ditubuhkan, IKBN Miri telah melahirkan seramai 4,827 orang graduan. Jumlah pelajar yang sedang mengikuti kursus pada masa ini ialah seramai 385 orang.

Peratusan kebolehpasaran graduan IKBN Miri juga menunjukkan peningkatan, iaitu pada kadar 93.22% pada tahun 2023 berbanding dengan 89.19% pada 2022.

RAKAN Sarawak turut menemu bual beberapa orang pelajar bagi mendapatkan pandangan dan pengalaman untuk mereka kongsikan sepanjang mengikuti latihan di IKBN Miri.

Pelajar Program Hospitaliti, Easther Ejutt Chuwie mempunyai minat mendalam dalam bidang operasi perkhidmatan makanan dan minuman (F&B).

Easther Ejutt Chuwie

Beliau yang sedang mengikuti semester ketiga kursus Penyajian banyak mempelajari selok belok kemahiran dalam bidang tersebut.

“Kursus ini sangat menyeronokkan dan banyak yang saya pelajari tentang pengendalian dan penyajian makanan termasuklah kemahiran berdepan dengan pelanggan.

“Dari segi luaran, kita nampak bidang ini senang tetapi ada cabarannya seperti bagaimana memastikan hidangan yang disediakan memenuhi kehendak pelanggan,” jelas beliau.

Pada pandangan beliau, IKBN Miri mempunyai banyak kelebihannya dan setaraf dengan institusi-institusi latihan yang lain.

Beliau juga menyarankan supaya para belia mengikuti pelbagai latihan kemahiran yang ditawarkan di IKBN Miri.

Yang turut menimba banyak pengalaman pembelajaran dalam bidang yang sama ialah Rayalwan Trinitas Kilat, pelajar Sijil Lanjutan Teknologi Hospitaliti (Penyajian) semester keempat.

Rayalwan Trinitas Kilat

Selain belajar tentang penyajian makanan dan pengendalian pelanggan, beliau juga belajar mengendalikan kawalan inventori yang sangat penting dalam industri perniagaan F&B dan perhotelan.

Pengalaman pembelajaran yang beliau perolehi akan dipraktikkan ke alam pekerjaan sebenar selepas beliau menamatkan latihan dalam kerja (on-the-job training) dalam bidang perhotelan kelak.

Beliau yang berasal dari Keningau, Sabah bercadang untuk menjalani latihan dalam kerja di salah sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu.

“Sekiranya diserap masuk, saya akan terus bekerja di sana dan sekiranya tidak, saya akan melanjutkan pelajaran dalam pengurusan hotel,” ujar beliau yang juga bercita-cita untuk menjadi pramugara.

Bagi mendedahkan pelajar dengan suasana sebenar dalam ekosistem industri, IKBN Miri menyediakan kemudahan kelengkapan peralatan dan mesin yang mengikut standard industri.

Sebagai contoh, pelajar dan tenaga pengajar kursus Semburan Cat di bawah Program Automotif menggunakan peralatan cat kenderaan berkualiti tinggi yang lazimnya digunakan dalam industri automotif.

Ketua Bahagian Bengkel Semburan Cat yang juga tenaga pengajar kursus Semburan Cat, Mohd Hanajiddin bin Ibrahim memaklumkan, pelajar dan tenaga pengajar IKBN Miri disediakan dengan kemudahan satu unit bengkel semburan cat berteknologi terkini dan dilengkapi dengan peralatan yang mengikut piawaian industri.

Mohd Hanajiddin (kiri) menunjukkan jenis alat penyembur yang digunakan oleh tenaga pengajar dan pelajar kursus Semburan Cat IKBN Miri

“Peralatan seperti alat penyembur dan cat yang digunakan di sini adalah antara yang berkualiti tinggi dan terbaik dalam industri.

“Pada masa ini, pelajar juga dilatih menggunakan jenis cat asas air yang lebih mesra alam kerana mampu mengurangkan penggunaan bahan pencair,” jelas beliau.

Dari segi proses pembelajaran, pelajar dilatih dalam pelbagai peringkat, bermula dari asas semburan cat sehinggalah ke proses akhir.

Menurut beliau, IKBN menekankan setiap pelajar harus memperoleh kemahiran dan pengetahuan dari awal hingga akhir bagi melengkapkan syarat keterampilan yang digariskan di bawah Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS).

Kurikulum terbaharu Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) untuk kursus Penyelenggaraan Industri kini lebih menekankan pada kerja-kerja penyelenggaraan mesin industri

Beliau berharap supaya pelajar lepasan kursus tersebut melanjutkan latihan ke peringkat yang lebih tinggi ataupun membina kerjaya dan meluaskan lagi perkhidmatan semburan cat kenderaan di bandar raya Miri memandangkan bilangan pengusaha untuk perkhidmatan berkenaan yang sedikit.

Bagi Aiden Laing anak Michael Gadu, belajar di IKBN Miri begitu menyeronokkan kerana beliau berpeluang mempelajari kemahiran dalam bidang yang diminati dengan mendalam.

Aiden Laing bercita-cita meneruskan kerjaya dalam bidang yang diceburi ke peringkat yang lebih tinggi

Beliau yakin bahawa pengalaman mengikuti kursus Semburan Cat akan membuahkan kejayaan kepada diri beliau yang berhasrat untuk memajukan diri dalam bidang tersebut ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya merancang sama ada untuk menyambung pelajaran ataupun terus bekerja. Hasrat saya ialah untuk bekerja dalam industri minyak dan gas kerana industri minyak dan gas juga ada peluang kerjaya dalam bidang semburan cat,” jelas beliau yang berasal dari Kuching.

Berdasarkan pengalaman pembelajaran yang diperolehi setakat ini, Aiden mengesyorkan supaya belia lepasan SPM yang meminati bidang kemahiran mengikuti latihan di IKBN Miri.

Ketua Bahagian Penyelenggaraan Industri, Muhammad Ali bin Togimin berkongsi sedikit sebanyak tentang kursus Penyelenggaraan Industri.

Ketua Bahagian Penyelenggaraan Industri IKBN Miri, Muhammad Ali bin Togimin

Menurut beliau, pelajar dilatih tentang asas penyelenggaraan pelbagai jenis mesin yang digunakan dalam industri seperti mesin pengimpal.

Penyelenggaraan mesin kimpalan adalah salah satu modul yang terdapat dalam kursus Penyelenggaraan Industri.

Para pelajar diterapkan dengan proses-proses asas untuk mendapatkan Unit Kompetensi (CU) dalam bidang kemahiran penyelenggaraan mesin kimpalan yang ditetapkan di bawah NOSS.

“Secara asasnya, untuk kursus Penyelenggaraan Industri, pelajar perlu menamatkan tempoh latihan dalam masa dua (2) tahun sebelum boleh mengikuti OJT.

“Biasanya, OJT yang pelajar boleh ikuti ialah dalam industri pembuatan, minyak dan gas dan mungkin juga dalam bidang pertanian,” jelas beliau yang juga tenaga pengajar kursus Penyelenggaraan Industri.

Beliau juga memaklumkan, kurikulum NOSS yang terbaharu untuk kursus berkenaan lebih menekankan pada kerja-kerja penyelenggaraan mesin industri berbanding sebelum ini yang lebih menekankan aspek operasi.

Sebagai sebuah institusi di bawah KBS yang memberi penekanan kepada pembangunan belia secara inklusif, IKBN juga menawarkan program latihan kepada golongan istimewa yang dinamakan Program Latihan Kemahiran Inklusiviti Belia Autisme dan Berkeperluan Khas.

Di IKBN Miri, program yang ditawarkan ialah Asas Pembuatan Pastri dan Roti.

Sesi pembelajaran Asas Pembuatan Pastri dan Roti di Bawah Program Latihan Kemahiran Inklusiviti Belia Autisme dan Berkeperluan Khas yang sedang dijalankan di IKBN Miri

Menurut Ketua Bahagian Pastri (Penyediaan), Mohamad Hadri bin Darani, program tersebut diperkenalkan bertujuan untuk membantu belia kurang upaya, khususnya belia autisme. Program tersebut kini memasuki tahun kedua pelaksanaannya di IKBN Miri.

Ketua Bahagian Pastri (Penyediaan) IKBN Miri, Mohamad Hadri bin Darani

“Kami berharap supaya program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya seterusnya membantu golongan istimewa untuk berdikari pada masa hadapan, terutama yang mempunyai potensi dalam bidang keusahawanan,” jelas beliau.

Dalam tempoh pengajian selama enam (6) bulan, para pelajar dilengkapkan dengan teori dan latihan amali dalam penghasilan pastri seperti piza dan tart.

Sebagai seorang pengajar, Mohamad Hadri mengakui cabaran yang dihadapi dalam mendidik golongan istimewa.

Salah seorang pelajar kursus Penyajian IKBN Miri sedang menjalani latihan amali

Oleh yang demikian, beliau berpendapat, setiap orang pengajar harus mempunyai kesungguhan dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan. Beliau juga menyatakan harapan supaya pihak luar dan yang berkepentingan dapat memberi ruang dan peluang kepada belia istimewa agar mereka dapat berdiri sendiri untuk membina kehidupan dan berjaya dalam bidang yang diceburi.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article