- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

RGC Mempercepat Pertumbuhan Sosioekonomi Luar Bandar

Must read

Kepadatan penduduk yang rendah serta bentuk muka bumi yang sukar dihubungi adalah antara faktor yang menjadi halangan kepada pembangunan di luar bandar.

Melihat hal ini, langkah membangunkan kawasan luar bandar secara menyeluruh bukanlah pilihan yang terbaik kerana melibatkan kos yang terlalu tinggi.

Oleh yang demikian, pembangunan luar bandar di sesebuah daerah yang mempunyai ciri-ciri tersebut perlu dilakukan secara terpilih melalui pewujudan Pusat Pertumbuhan Desa atau lebih dikenali sebagai RGC (Rural Growth Centre).

RGC merupakan strategi pembangunan luar bandar yang bermatlamat untuk mewujudkan sebuah penempatan desa mapan yang dilengkapi dengan komponen-komponen Infrastruktur, Ekonomi, Pusat Perkhidmatan dan Pembangunan Manusia.

Komponen Infrastruktur melibatkan pembinaan infrastruktur di pusat perkhidmatan termasuk akses jalan di antara pusat perkhidmatan dengan kampung-kampung sekitar.

Komponen Ekonomi dilaksanakan dengan mewujudkan peluang pekerjaan melalui pembukaan ladang, akuakultur, projek pertanian dan pembangunan industri desa. Komponen Ekonomi adalah sangat penting dalam memastikan kejayaan RGC.

Komponen Pusat Perkhidmatan berorientasikan penyediaan kemudahan awam kepada pusat perkhidmatan dan kawasan kampung, iaitu dalam lingkungan 30 kilometer.

Ia meliputi pusat perniagaan, kawasan perumahan, kemudahan sosial dan rekreasi, institusi kewangan, sekolah, masjid, klinik, perpustakaan, gereja dan balai polis.

Kejayaan Komponen Ekonomi dalam RGC bergantung pada penglibatan aktif penduduk

Komponen Pembangunan Manusia memfokuskan pada peningkatan ilmu pengetahuan dan kemahiran penduduk luar bandar dalam bidang berkaitan projek RGC.

Matlamat-matlamat lain RGC termasuklah menjana pertumbuhan sosioekonomi dan memperbaiki taraf hidup di luar bandar, mengenal pasti masalah kemiskinan luar bandar serta memaksimakan produktiviti dan pendapatan masyarakat luar bandar, mempelbagaikan aktiviti ekonomi untuk menjana peluang pekerjaan dan mengurangkan migrasi.

Selain itu, penubuhan RGC juga bermatlamat untuk menggalakkan penglibatan masyarakat tempatan dalam pembangunan program, khususnya dalam sektor ekonomi dan menggerakkan program-program pembangunan insan yang dirangka oleh agensi pelaksana.

Pelaksanaan RGC memerlukan peruntukan dana yang besar. Walau bagaimanapun, kejayaannya bergantung pada input komuniti setempat biarpun kerajaan telah menyalurkan jumlah dana yang banyak.

Di antara kesemua komponen dalam pelaksanaan RGC, Komponen Ekonomi boleh dikatakan sebagai pengukur yang akan menentukan kejayaan sebenar sesebuah RGC.

Hal tersebut dikatakan demikian kerana komponen ekonomi akan menyokong kemajuan sektor industri tempatan seperti pengkomersialan produk pertanian, perladangan, perniagaan secara kecil-kecilan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang akan memberi pulangan dan peningkatan pendapatan kepada penduduk yang terlibat.

Walaupun sesebuah daerah itu mempunyai tarikan ekonomi yang berpotensi untuk diintegrasikan dengan komponen lain dalam strategi RGC, namun sekiranya penduduk kurang minat untuk terlibat, situasi tersebut akan merencatkan rencana untuk mewujudkan RGC yang benar-benar memberi impak.

Di Sarawak, RGC Telaga Air dan RGC Gedong (Gedong kini dinaik taraf sebagai Daerah) adalah antara dua (2) buah RGC terawal yang dilaksanakan, iaitu pada sekitar awal tahun 90an.

Mengambil contoh RGC Gedong, pelaksanaannya berjaya mencapai objektif bagi Komponen Infrastruktur dan Komponen Pusat Perkhidmatan.

Kemudahan jalan raya yang baik di RGC Gedong

Penyediaan kemudahan infrastruktur asas, sosial dan telekomunikasi jelas menunjukkan perubahan dan telah meningkatkan kualiti hidup penduduk hingga ke generasi pada hari ini.

Pembinaan jalan raya yang menghubungkan kawasan-kawasan penempatan telah meningkatkan kesalinghubungan di antara kampung-kampung dengan pusat perkhidmatan dan kawasan tumpuan ramai.

Selain telah dibekalkan dengan air bersih dan elektrik sejak sekian lama, kampung-kampung di Gedong turut dilengkapi dengan kemudahan sistem pembetungan yang baik dan memuaskan, seterusnya menjamin persekitaran kampung yang sihat.

Penduduk turut memiliki akses kepada kemudahan pendidikan dan kesihatan yang lebih baik di samping jaringan ke pusat bandar yang telah membuka peluang kepada golongan belia untuk mencari pekerjaan di luar kampung.

Antara kemudahan-kemudahan sosial lain yang terdapat susulan pelaksanaan RGC Gedong termasuklah sebuah klinik kesihatan, dewan serba guna, sekolah, taska, gelanggang sukan, perkhidmatan pos dan deretan kedai.

Perubahan tersebut membuktikan RGC Gedong berjaya mencapai sebahagian daripada matlamatnya hasil daripada keberkesanan Komponen Infrastruktur dan kemudahan sosial yang saling melengkapi.

Komponen Ekonomi RGC Gedong pada ketika itu memfokuskan pada skim penanaman kelapa sawit di bawah Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah (FELCRA) dan projek penanaman padi sawah berkelompok yang dikendalikan oleh Beras Nasional (BERNAS).

Sungguh pun begitu, kedua-dua Komponen Ekonomi tersebut tidak begitu mencapai matlamatnya berikutan kurangnya penglibatan penduduk disebabkan oleh beberapa isu, antaranya ialah isu pemilikan tanah dan penyaluran maklumat dan komunikasi tentang program RGC yang kurang berkesan.

Sejak RGC diperkenalkan, terdapat 12 buah RGC dilaksanakan di Sarawak selain RGC Gedong dan RGC Telaga Air. Antaranya ialah RGC Long Lama, RGC Layar, RGC Beladin, RGC Semop, RGC Padawan dan lain-lain lagi.

Salah sebuah premis perniagaan yang terdapat di RGC Long Lama

Daripada bilangan tersebut, hanya beberapa RGC yang mencapai matlamat. Namun demikian, RGC Long Lama dan RGC Padawan merupakan dua (2) di antara kesemua RGC di Sarawak yang akan terus dibangunkan dengan suntikan baharu.

RGC Long Lama yang terletak di kawasan tanah tinggi Baram akan dibangunkan oleh Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) manakala RGC Padawan pula dibangunkan oleh Agensi Pembangunan Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).

Langkah tersebut merupakan strategi baharu yang dijangka mampu mempercepatkan pembangunan di kedua-dua RGC berkenaan dengan lebih tersusun berdasarkan pada potensi ekonomi yang dimiliki.

HDA yang merupakan agensi di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) telah mengenal pasti sektor ekopelancongan sebagai Komponen Ekonomi untuk RGC Long Lama.

RGC Long Lama akan dijadikan sebagai pusat pembangunan di Baram yang juga berpotensi mengeluarkan hasil pertanian seperti sayur-sayuran tanah tinggi yang mempunyai nilai komersial serta mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Bagi RGC Padawan, GKCDA dengan kerjasama Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) merancang untuk mewujudkan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi di kawasan berkenaan.

Selain daripada itu, beberapa kemudahan lain seperti dewan serba guna, kedai dua (2) tingkat, pasar tamu, dan kiosk petrol turut dicadang untuk dibangunkan di RGC Padawan.

Secara ringkasnya, RGC mampu mempercepatkan proses pertumbuhan pekan atau daerah luar bandar dengan mengintegrasikan penyediaan infrastruktur, pusat perkhidmatan dan pembangunan ekonomi setempat yang perlu disesuaikan dengan perubahan sosial dan ekonomi.

RGC juga adalah penggerak aliran ekonomi dua (2) hala di antara kawasan bandar dengan luar bandar serta mampu mengurangkan jurang pembangunan, membasmi kemiskinan, seterusnya meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar.

Rujukan:

  1. Akademika 77 (Disember) 2009: 41 – 67, Penglibatan Komuniti dalam Program Pembangunan Luar Bandar: Kajian Kes di Pusat Pertumbuhan Desa Gedong, Sarawak
  2. https://www.utusanborneo.com.my/2017/10/02/kerajaan-teruskan-pembangunan-rgc-di-long-lama-untuk-rancak-sosioekonomi
  3. https://dayakdaily.com/rgc-perlu-ada-kegiatan-ekonomi-dr-rundi/
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article