- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Kompleks Metanol Sarawak Pelaburan Utama Menjadikan Sarawak Pemain Industri Global

Must read

Penubuhan Kompleks Metanol Sarawak di Tanjung Kidurong, Bintulu menandakan langkah penting untuk Sarawak menjadi antara pemain utama dalam pasaran metanol di peringkat global.

Hal tersebut demikian kerana kompleks petrokemikal pertama milik penuh Kerajaan Sarawak itu mampu mengeluarkan metanol dengan kapasiti 1.75 juta tan metrik setahun.

Melalui kapasiti yang sebegitu banyak, pengeluaran metanol oleh kompleks kendalian Sarawak Petchem itu bakal menjadi satu lagi pelaburan utama di Sarawak, seterusnya meningkatkan pendapatan negeri ini.

Signifikan penubuhan Kompleks Metanol Sarawak bukan setakat menambah pendapatan dan menjadikan Sarawak sebagai pengeluar utama metanol di rantau ini, malah juga menjadi pemangkin kepada lebih banyak pembangunan ekonomi di wilayah ini.

Projek mega tersebut dijangka akan membuka banyak peluang pekerjaan selain merangsang pertumbuhan mampan dan secara strategiknya meletakkan Sarawak sebagai pemain utama dalam industri petrokimia global.

Sejak ditubuhkan pada 2017, Sarawak Petchem yang mempelopori industri petrokimia telah pun menarik tenaga kerja mahir untuk bekerja di Sarawak dan ada di antara rakyat tempatan yang berkemahiran telah kembali untuk sama-sama membangunkannya.

Ketika merasmikan kompleks tersebut pada 22 Julai 2024, Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg dalam ucapan beliau menyifatkan ia adalah satu usaha untuk memberi nilai tambah berganda kepada sumber asli bumi Sarawak melalui eksport bahan mentah.

Lebih daripada itu, kompleks berkenaan yang bernilai RM7 bilion adalah satu bentuk pelaburan utama di Sarawak yang pada masa sama menjadi pemangkin kepada lebih banyak pembangunan ekonomi di rantau ini dan bakal membuka banyak peluang pekerjaan.

Secara signifikannya menurut beliau, penubuhan kompleks metanol kedua terbesar di negara itu akan menyumbang kepada ekonomi Sarawak dan memperkukuh sektor pembuatan dan rantaian nilai yang terhasil sejajar dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan sumbangan sektor pembuatan.

Beliau yakin bahawa kesan ekonomi yang merentasi pelbagai sektor daripada perniagaan dan perusahaan tempatan kepada rantaian bekalan yang lebih luas akan dirasai hasil pelaksanaan projek metanol selain memupuk daya tahan ekonomi dan kemakmuran selari dengan aspirasi Sarawak untuk mencapai Pendapatan Negara Kasar (KDNK) per kapita yang tinggi menjelang 2030.

Impak yang terhasil akan menjadi asas untuk pembangunan aktiviti perniagaan hiliran minyak dan nilai tambah gas dan bukan sekadar membina kemudahan untuk mengembangkan industri petrokimia.

Pada tahun 2021, pasaran global metanol dicatatkan bernilai lebih 37.4 bilion dolar Amerika (AS) dan diunjurkan mencecah hampir 61.7 bilion dolar AS menjelang 2030 dengan peningkatan tahunan berterusan dalam pengeluaran di seluruh dunia.

Permintaan tinggi terhadap metanol dan pasaran yang luas membuka ruang untuk Sarawak muncul sebagai pemain industri tersebut di rantau Asia Pasifik

Berdasarkan permintaan, Asia Pasifik mendominasi pasaran metanol diikuti oleh Amerika Utara dan Eropah.

Pada 2022, negara-negara rantau Asia Pasifik menggunakan kira-kira 65% metanol bersih dan dijangka akan terus menjadi pengguna metanol terbesar.

Metanol atau dikenali dengan nama lain, iaitu metil alkohol ataupun spirit merupakan sejenis alkohol yang biasa digunakan sebagai pelarut organik.

Dalam sektor industri, metanol lazimnya digunakan untuk bahan pendingin anti beku, bahan pencuci cermin kereta, cecair karburetor, pencair cat, varnis, bahan bakar, bahan aditif bagi industri etanol (alkohol yang diminum) dan lain-lain lagi.

Dari segi pengeluaran, metanol biasanya dihasilkan oleh gas asli pengubahsuaian wap bagi menghasilkan gas sintesis.

Apabila gas sintesis dimasukkan ke dalam reaktor dengan bahan pemangkin, ia akan menghasilkan metanol dan wap air.

Terdapat pelbagai bahan mentah yang boleh menghasilkan metanol tetapi setakat ini, gas asli adalah bahan yang paling menjimatkan.

Pada masa kini, beberapa negara maju sedang membangunkan penyelidikan untuk menjadikan metanol sebagai bahan api yang lebih mampan atau metanol hijau sebagai alternatif kepada bahan api pengangkutan konvensional, terutama dalam industri maritim.

Beberapa negara maju sedang membangunkan penyelidikan metanol hijau sebagai bahan api alternatif untuk pengangkutan maritim

Antara faedah metanol sebagai bahan api alternatif adalah, kos pengeluaran yang lebih murah serta risiko mudah terbakar yang lebih rendah seterusnya mampu mempertingkat keselamatan.

Metanol boleh dihasilkan daripada pelbagai bahan mentah berasaskan karbon domestik seperti biojisim, gas asli dan arang batu lantas meningkatkan keterjaminan tenaga.

Mitsubishi Gas Chemical (MGC) adalah antara syarikat global yang menggunakan metanol sebagai sumber bahan api yang bukan sahaja dalam bentuk cecair, malah juga dalam bentuk bateri sel bahan api yang sangat cekap. Melihat pada perkembangan pasaran dan pembangunan penyelidikan terhadap faedah metanol di peringkat global, langkah Kerajaan Sarawak untuk menjadi pemain industri metanol di rantau ini adalah tepat pada masanya demi kemakmuran ekonomi Sarawak.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article