- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Kerjasama Komuniti Dalam Menjaga Keselamatan

Must read

Mengamati kepentingan keselamatan dan kesejahteraan komuniti, pelancaran Pelan Tindakan Keselamatan Komuniti Taman Rejang oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sarawak dilihat sebagai satu usaha murni untuk mengukuhkan kerjasama komuniti dalam menjaga keselamatan.

Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Taman Rejang dipilih sebagai JKKK pertama di Sarawak yang menerima pelan tindakan tersebut bersempena dengan penganjuran Program Khidmat Keselamatan Komuniti dan Program Semangat Komuniti MADANI di Taman Lalu Lintas Taman Rejang, Sibu.

Secara asasnya, Pelan Tindakan Keselamatan Komuniti merupakan satu dokumen yang dijadikan sebagai garis panduan untuk JKKK dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) mengetahui tindakan sewajarnya yang perlu diambil sekiranya berlaku bencana.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, YB Datuk Michael Tiang Ming Tee yang melancarkan dokumen tersebut pada 29 Jun 2024 menyeru komuniti supaya bersama-sama menjaga keselamatan di kawasan kediaman masing-masing.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, YB Datuk Michael Tiang Ming Tee bersama-sama komuniti Taman Rejang ketika menghadiri Program Khidmat Keselamatan Komuniti dan Program Semangat Komuniti MADANI di Taman Lalu Lintas Taman Rejang, Sibu

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya melaporkan kepada pihak berkuasa jika sebarang aktiviti yang mencurigakan dikesan termasuklah faktor yang boleh mengancam keselamatan di sesebuah kejiranan.

Menyedari kepentingan menjaga keselamatan, pihak MKN sentiasa mengingatkan masyarakat untuk berganding bahu dalam pengurusan keselamatan.

Dalam catatan di laman rasmi MKN, agensi tersebut menggariskan beberapa peranan yang boleh dimainkan oleh komuniti dalam pengurusan keselamatan seperti berikut:

  • Kesedaran Keselamatan

       Komuniti boleh membantu meningkatkan kesedaran perihal keselamatan dengan mempromosi program-program keselamatan di kawasan masing-masing melalui penganjuran ceramah atau kempen keselamatan.

       Tumpuan terhadap isu-isu keselamatan yang penting seperti keselamatan jalan raya dan pencegahan jenayah juga perlu diberikan.

  • Pemantauan Kegiatan yang Mencurigakan

       Komuniti boleh membantu memantau kegiatan yang menimbulkan curiga seperti kehadiran individu yang mencurigakan di kawasan mereka atau aktiviti-aktiviti mencurigakan yang berlaku di sekitar kawasan mereka.

       Komuniti boleh melaporkan kegiatan yang mencurigakan kepada pihak berkuasa seperti polis bagi mengelakkan jenayah yang lebih besar berlaku di kawasan mereka.

  • Membentuk Kumpulan Keselamatan

       Pembentukan kumpulan keselamatan boleh membantu menjaga keselamatan dan mencegah kegiatan jenayah di sesebuah kawasan kejiranan.

       Kumpulan keselamatan boleh menjalankan pemantauan berkala dan memberi laporan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku kejadian yang mencurigakan.

  • Kerjasama dengan Pihak Berkuasa

       Kerjasama di antara komuniti dengan pihak berkuasa seperti polis dan bomba dapat membantu menjaga keselamatan sesebuah kawasan kediaman.

       Komuniti berperanan dengan memberi maklumat dan kerjasama dalam siasatan kejadian jenayah atau kejadian kecemasan.

Mengimbas lebih sedekad yang lalu, Kerajaan Sarawak melalui Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) telah pun melaksanakan inisiatif menjaga keselamatan berasaskan komuniti dengan menubuhkan Pasukan Bertindak Kecemasan Komuniti atau singkatannya CERT pada 2010.

CERT ditubuhkan bertujuan untuk melatih masyarakat tempatan di sesuatu lokaliti sebagai Pasukan Bertindak Awal (First Respondent) yang membantu menstabilkan keadaan apabila berlaku bencana atau kecemasan sementara menunggu ketibaan agensi keselamatan dan bantuan kecemasan profesional.

Komuniti memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan sama ada ketika berlaku bencana mahupun ancaman keselamatan disebabkan oleh aktiviti jenayah

Kerjasama di antara CERT dengan agensi keselamatan yang lain telah menyumbang kepada sistem bantuan bencana yang lebih baik dalam memastikan kesiapsiagaan dan koordinasi yang efektif daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN), pemimpin tempatan serta penduduk setempat sekiranya berlaku bencana atau ancaman keselamatan.

Walaupun objektif penubuhan CERT lebih condong kepada keselamatan komuniti ketika bencana dan mungkin berbeza sedikit daripada garis panduan Pelan Tindakan Keselamatan Komuniti, namun matlamat kedua-dua inisiatif tersebut adalah sama, iaitu menjaga keselamatan dan menjamin kesejahteraan komuniti.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article