Kajian mendalam telah pun bermula sejak Julai 2023 yang memfokuskan kepada aspek kemampanan saraan, pembangunan organisasi dan pengurusan bakat.
Setelah mengambil kira pelbagai faktor, Kerajaan bersetuju agar Sistem Saraan Malaysia (SSM) digantikan kepada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berkuat kuasa mulai 1 Disember 2024.
Fokus SSPA tertumpu kepada aspek mempertingkatkan produktiviti perkhidmatan awam, menangani pendapatan yang tidak seiring dengan kos sara hidup serta mengukuhkan kemampanan fiskal negara.
Melalui SSPA, kerajaan akan melaksanakan penambahbaikan menerusi pengukuhan elemen-elemen perkhidmatan awam iaitu, Pengoptimuman Sumber dan Peningkatan Produktiviti, Pengurusan dan Pembangunan Modal Insan, Pengukuhan Kepimpinan, Pengukuhan Tatakelola dan Pemerkasaan Penyampaian Perkhidmatan.
SSPA dirangka sebagai satu sistem saraan yang berteraskan kepada aspek prestasi. Selaras dengan hasrat untuk memastikan peningkatan produktiviti dalam perkhidmatan awam dan menjaga kesejahteraan pegawai, prinsip pemberian ganjaran berasaskan prestasi dan tatakelakuan diperkenalkan.
Dalam hal ini, melalui aspek mengoptimumkan sumber dan peningkatan produktiviti, Kerajaan bersetuju untuk:
(i) meningkatkan kelayakan masuk minimum ke perkhidmatan awam kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setara. Seiring dengan peningkatan syarat lantikan ini, beban dan kompleksiti tugas sedia ada akan ditambah dan ditingkatkan;
(ii) skim perkhidmatan yang mempunyai fungsi perkhidmatan tidak relevan, bertindih dan terpencil akan dipindahkan kepada skim perkhidmatan lain, yang mana akan memberikan laluan kerjaya lebih baik serta mobiliti yang lebih luas kepada penyandang;
(iii) menyeragam dan mengelaskan semula gred jawatan secara menyeluruh berdasarkan keperluan semasa perkhidmatan awam;
(iv) meminda syarat lantikan bagi 17 skim perkhidmatan bagi memperoleh bakat terbaik berkhidmat dalam perkhidmatan awam selari evolusi teknologi dan dasar;
(v) kelayakan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) diperluaskan dalam syarat lantikan bagi 26 skim perkhidmatan berkelayakan SPM; dan
(vi) kelayakan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM)/ Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) diperluaskan dalam syarat lantikan bagi 11 skim perkhidmatan berkelayakan diploma/ STPM, sebagai tambahan kepada dua (2) skim perkhidmatan sedia ada. Perkara ini akan memberikan peluang kepada lebih 295,000 graduan SVM dan DKM/ DLKM sedia ada, dalam pasaran.
Dalam aspek pengurusan dan pembangunan bakat pula, Kerajaan telah bersetuju untuk menambah baik perkara-perkara berikut:
(i) aspek pengurusan prestasi, tatakelakuan dan pengurusan tatatertib bagi menangani isu kegagalan tadbir urus pengurusan kewangan awam dan pengukuhan prosedur tatatertib yang lebih tegas bagi pegawai yang tidak hadir bertugas;
(ii) pengenalan kepada pelaksanaan sistem penilaian prestasi tahunan yang baharu bagi menggantikan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) kepada sistem MyPERFORMANCE;
(iii) kriteria kelayakan Pergerakan Gaji Tahunan (PGT) hanya terpakai kepada pegawai yang mencapai tahap prestasi yang memuaskan dan lulus tapisan tatatertib;
(iv) markah penilaian prestasi tahunan bagi urusan pemangkuan dan kenaikan pangkat ditingkatkan daripada 80% kepada 85%;
(v) markah penilaian prestasi tahunan untuk layak menerima PGT dinaikkan daripada 60% kepada 75%. Markah minimum ini juga akan digunakan untuk menentukan pegawai berprestasi rendah yang boleh dimasukkan ke dalam Dasar Pemisah (Exit Policy) – penamatan perkhidmatan; dan
(vi) pengukuhan peranan ketua jabatan dalam organisasi bagi mengelakkan berlakunya kes salah laku dalam kalangan pegawai awam.
Kerajaan turut komited dalam memastikan nasib penjawat awam sentiasa terbela. Sehubungan itu, selaras dengan keprihatinan Kerajaan, pelarasan gaji akan ditetapkan seperti berikut:
(i) pelarasan gaji sebanyak 15% kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional; dan
(ii) pelarasan gaji sebanyak 7% kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi.
Pemberian pelarasan gaji ini akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Januari 2026 bagi Fasa 2.
Pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional akan menerima pelarasan gaji Fasa 1 sebanyak 8% serta 7% bagi Fasa 2.
Bagi pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT), pelarasan gaji yang diberikan adalah sebanyak 4% bagi Fasa 1 dan 3% bagi Fasa 2.
Kerajaan turut bersetuju supaya Gaji Permulaan Terendah (GPT) dalam Perkhidmatan Awam ditambah baik kepada RM1,500 sebulan. Gaji penjawat awam yang sedang berkhidmat akan diselaraskan pada 1 Disember 2024, manakala penyelarasan pencen juga akan dilaksanakan berdasarkan pelarasan ke atas gaji akhir pesara.
Dalam usaha untuk meningkatkan motivasi kerja Kumpulan Pelaksana, satu bentuk insentif berasaskan prestasi akan diberikan kepada pegawai yang telah mencapai tempoh perkhidmatan sekurang-kurangnya enam (6) tahun selepas Time-Based Kecemerlangan (TBK) ke-2. Insentif ini bersamaan dengan kadar satu (1) kenaikan gaji tahunan (KGT) gred jawatan semasa pegawai.
Manakala kemajuan kerjaya Kumpulan Pengurusan dan Profesional Perkhidmatan Awam juga akan ditambah baik seperti yang berikut:
(i) Kenaikan pangkat secara one-off melibatkan pegawai Gred 41 hingga Gred 48 secara Khas Untuk Penyandang (KUP) akan dilaksanakan bagi pegawai yang telah memenuhi tempoh dan kriteria yang ditetapkan. Urusan ini hanya bagi skim perkhidmatan yang kenaikan pangkatnya terhad kepada kekosonganjawatan sahaja; dan
(ii) Pengiktirafan kepakaran diberikan kepada pegawai yang berkelayakan sebagai pegawai Subject Matter Expert (SME). Inisiatif ini dilaksanakan melalui urusan pemangkuan/ kenaikan pangkat tanpa kekosongan secara Khas Untuk Penyandang (KUP) dari Gred 48 hingga ke Gred Khas C. Fokus akan diberikan kepada tujuh (7) bidang tujahan baharu seperti kecerdasan buatan (artificial intelligence – AI), keselamatan siber, transformasi digital, teknologi makanan, peralihan tenaga, persempadanan negara dan pengurusan bencana.
Selain itu, bagi Veteran ATM Tidak Berpencen, Bantuan Sara Hidup (BSH) akan ditambah daripada RM300 kepada RM500 sebulan bagi yang layak. Pertimbangan ini dibuat bagi membantu meringankan beban kos sara hidup veteran ATM yang terlibat.