- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Transformasi Luar Bandar Tingkatkan Kualiti Hidup

Must read

Luar bandar ditakrifkan sebagai kawasan atau daerah yang jauh dari bandar. Berdasarkan Banci 2020, tempat kediaman di kawasan luar bandar di Malaysia adalah sebanyak 2.2 juta atau 23.3% dan jumlah isi rumah luar bandar ialah 1.9 juta atau 23.4%.

Aspek utama dalam transformasi luar bandar meliputi penambahbaikan infrastruktur, pertumbuhan ekonomi, pembangunan sosial dan pemerkasaan komuniti.

Pembinaan dan naik taraf jalan raya dan jambatan misalnya, dapat menghubungkan kawasan luar bandar dengan pusat bandar, memudahkan pergerakan penduduk serta memenuhi keperluan logistik aktiviti pertanian dan perdagangan.

Dari segi kemudahan utiliti, bekalan elektrik memastikan penduduk dapat dibekalkan dengan tenaga yang begitu penting untuk melebarkan jaringan telekomunikasi dan bekalan air bersih memberikan kemudahan untuk sanitasi.

Pertumbuhan ekonomi luar bandar lazimnya digerakkan oleh aktiviti pertanian. Pada masa ini, transformasi luar bandar turut menggalakkan kaedah pertanian moden atau pertanian persis bagi memudahkan produk pertanian luar bandar menembusi pasaran tempatan mahupun pasaran luar supaya petani mendapat pulangan yang lumayan.

Aspek sosial transformasi luar bandar melibatkan penyediaan kemudahan pendidikan dan latihan dengan membina ataupun menaik taraf sekolah, perpustakaan desa dan menubuhkan pusat latihan kemahiran teknikal untuk pembelajaran sepanjang hayat.

Transformasi luar bandar juga memberi penekanan terhadap penjagaan kesihatan menerusi peningkatan kemudahan kesihatan seperti klinik desa, penyediaan perkhidmatan klinik bergerak selain mempromosi penjagaan kesihatan kepada masyarakat.

Penekanan terhadap penambahbaikan kemudahan kesihatan seperti klinik desa adalah antara aspek yang paling penting dalam transformasi luar bandar

Dalam memperkasa komuniti luar bandar, penyediaan bantuan modal dan kewangan, kemudahan pusat dan peralatan perniagaan, latihan keusahawanan, pengurusan kewangan, pelaburan dan program literasi teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) adalah antara inisiatif yang dapat meningkatkan daya saing komuniti luar bandar.

Kerajaan juga boleh memainkan peranan dalam mentransformasi luar bandar dengan menggalakkan penglibatan penduduk untuk merangka rancangan pembangunan dan mengambil bahagian secara aktif dalam proses membuat keputusan.

Menyingkap sejarah, transformasi pembangunan luar bandar yang pertama di Malaysia diperkenalkan oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak pada tahun 1957 dengan matlamat untuk membangunkan infrastruktur fizikal dan membekalkan kemudahan asas secara meluas kepada penduduk luar bandar. Usaha tersebut memberi landasan yang kukuh kepada kawasan luar bandar untuk berkembang maju.

Kemudian pada tahun 1994, transformasi pembangunan luar bandar kedua dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada pembangunan sumber daya insaniah, terutama pembangunan insan bagi masyarakat luar bandar.

Selain penyediaan infrastruktur asas, transformasi luar bandar juga melibatkan usaha pembangunan modal insan dengan menyedia dan menaik taraf kemudahan pendidikan seperti sekolah termasuklah perpustakaan desa

Pelaksanaannya merupakan suatu anjakan paradigma pemikiran dan pendekatan sebagai pelengkap kepada falsafah yang mendasari transformasi pembangunan luar bandar yang pertama.

Pada tahun 2012, Program Transformasi Luar Bandar (RTP), iaitu satu inisiatif di bawah Dasar Transformasi Nasional (DTN) diperkenalkan dalam Bajet 2012 bertujuan untuk mentransformasikan negara menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Kerajaan memperkenalkan RTP dengan hasrat untuk menarik pelaburan, mewujudkan aktiviti ekonomi serta membuka peluang untuk generasi muda kembali, menetap dan bekerja di kampung halaman, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi luar bandar.

Antara komponen utama RTP pada masa itu ialah penubuhan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) melalui peruntukan berjumlah RM30 juta.

RTC ditubuhkan bertujuan untuk mengintegrasikan perkhidmatan termasuk aktiviti pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran produk pertanian, perbankan dan insurans serta khidmat nasihat perniagaan, latihan dan kemahiran. Selain itu, kemudahan klinik dan ruang perniagaan turut disediakan.

Di sesetengah kawasan luar bandar, peningkatan kemudahan ruang perniagaan hasil pertanian amat diberi perhatian sebagai peluang untuk mengetengahkan produk yang menjadi identiti luar banda
Transformasi luar bandar turut melibatkan penambahbaikan kemudahan perniagaan seperti premis makanan yang seterusnya membantu merancakkan lagi aktiviti ekonomi di luar bandar

Sejak dilancarkan lebih sedekad lalu, RTC kini masih lagi beroperasi dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan daripada pihak kerajaan, swasta dan institusi perbankan kepada masyarakat luar bandar.

Di Sarawak, Program Transformasi Luar Bandar yang juga dinamakan sebagai RTP telah diperkenalkan pada 2015.

Inisiatif oleh Kerajaan Sarawak itu bermatlamat untuk mempercepatkan pembangunan serta merangsang pembangunan ekonomi luar bandar.

Skop projek RTP lebih memfokuskan pada baik pulih atau bina baharu infrastruktur asas seperti jalan raya, jambatan, perparitan, kemudahan utiliti, kemudahan sosial seperti sekolah, dewan serba guna, gelanggang sukan termasuklah rumah ibadat.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), sebanyak 7,808 projek RTP seluruhnya berjumlah RM1.64 bilion telah diluluskan.

Setakat Mac 2024, sebanyak 5,231 projek atau 67% telah disiapkan manakala sebanyak 2,557 projek atau 33% pula masih melalui pelbagai peringkat pelaksanaan.

Perbelanjaan kumulatif projek RTP dari tahun 2021 hingga 31 Mac 2024 adalah sebanyak RM1.227 bilion atau 75% berbanding dengan keseluruhan peruntukan yang diluluskan.

RTP yang dilaksanakan di Sarawak adalah satu usaha menyeluruh untuk mengurangkan jurang pembangunan di antara bandar dengan luar bandar di samping memastikan penduduk luar bandar mendapat manfaat yang setara dengan penduduk yang tinggal di bandar.

Projek RTP dijalankan secara kerjasama di antara wakil rakyat dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Residen dan Daerah serta agensi Kerajaan Negeri yang dilantik sebagai pelaksana dan pemantau projek.

Transformasi luar bandar sangat penting dan ternyata memberi manfaat kepada komuniti. Hal ini dikatakan demikian kerana proses transformasi dapat memperbaiki kualiti hidup penduduk luar bandar, memastikan pembangunan yang lebih seimbang di antara kawasan bandar dengan luar bandar dan dapat mengurangkan migrasi penduduk ke bandar.

Manfaat daripada transformasi luar bandar yang dinikmati penduduk dapat dilihat menerusi penyediaan kemudahan infrastruktur, kesihatan dan sosial yang lebih baik, pendidikan berkualiti, pembangunan ekonomi, keselamatan dan juga pembangunan sosial dan komuniti.

Secara dasarnya, transformasi luar bandar adalah langkah penting bagi mencapai pembangunan yang inklusif.

Pada masa yang sama, usaha tersebut juga memastikan setiap individu ataupun kelompok masyarakat tidak kira di mana mereka menetap mendapat manfaat dan peluang yang sama dalam menikmati kehidupan yang berkualiti dan sejahtera.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article