- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

SUKMA Bukan Sekadar Pertandingan Antara Negeri

Must read

Sebagai acara sukan terbesar di negara kita, Sukan Malaysia (SUKMA) bukan hanya sekadar pertandingan antara negeri, tetapi ia adalah satu platform untuk mengumpulkan bakat-bakat muda, memupuk semangat kesukanan, dan mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia.

Sarawak amat berbesar hati apabila dipilih menjadi tuan rumah bagi penganjuran SUKMA XXI yang disifatkan sebagai satu temasnya yang penuh bermakna walaupun secara dasarnya, ianya bukan giliran Sarawak.

Namun demikian, di atas semangat perpaduan Malaysia dan demi pembangunan sukan negara dan anak-anak muda, Sarawak sanggup menjadi tuan rumah.

Demikian dikatakan Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg ketika berucap pada Majlis Perasmian SUKMA XXI Sarawak pada 17 Ogos 2024.

Ketibaan Premier Sarawak ke Majlis Perasmian SUKMA XXI

Menurut beliau, salah satu ciri penting SUKMA ini ialah, ianya merupakan satu acara kebangsaan yang amat besar dan signifikan di mana ribuan anak-anak muda kita berkumpul dan seterusnya menjalinkan kerjasama serta persahabatan sesama diri. 

Malah, ianya juga merupakan satu peluang di mana anak-anak muda kita juga terdedah kepada pelbagai tradisi dan budaya yang berlainan seperti di Sarawak ini.

SUKMA memupuk semangat patriotisme dan kebanggaan negara melalui penyertaan pelbagai negeri dan etnik dalam satu platform, justeru inilah yang akan membantu mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang.

Sebab itu, untuk SUKMA di Sarawak ini, beliau mengesyorkan lokasi-lokasi pertandingan diadakan di semua Bahagian dalam Sarawak untuk mendedahkan anak-anak muda kita kepada kepelbagaian budaya dan kaum etnik yang ada di Sarawak.

Grafik yang menerangkan secara ringkas tentang venue dan penginapan bagi SUKMA XXI 2024 Sarawak

Misalnya di Mukah, majoritinya adalah kaum Melanau; di Betong, majoriti adalah kaum Iban; di Miri, majoriti adalah kaum Orang Ulu; dan di Sibu, majoriti adalah kaum Cina. 

Di Kuching pula, selaku ibu kota Sarawak, penduduknya adalah terdiri daripada pelbagai kaum, justeru inilah budaya dan tradisi di Bumi Kenyalang yang ingin ditonjolkan.

Di samping itu, penganjuran SUKMA ini juga turut memberi manfaat kepada ekonomi penduduk tempatan khasnya yang berkecimpung dalam industri perkhidmatan, jadi banyaklah faktor-faktor positif yang kita peroleh daripada penganjuran SUKMA XXI ini.

Melalui temasya ini, kita akan menyaksikan kemunculan bintang-bintang sukan yang akan menunjukkan bakat dan kebolehan mereka.

Setiap perlumbaan, setiap lontaran, dan setiap pertandingan adalah hasil daripada latihan yang keras dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi.

Atlet-atlet yang berdiri di sini adalah contoh terbaik tentang apa yang boleh dicapai dengan semangat juang dan komitmen.

Hari ini, kita berkumpul untuk merayakan semangat dan dedikasi para atlet yang telah datang dari pelbagai penjuru tanah air untuk bersaing dalam 488 acara.

Beliau ingin mengambil kesempatan untuk menyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan yang tulus kepada semua atlet yang telah berusaha keras dalam latihan dan persediaan untuk acara ini.

Kepada para atlet, beliau memberi nasihat agar mereka menghadapi setiap cabaran dengan semangat yang membara dan jangan pernah berhenti berusaha untuk memberikan yang terbaik.

Para atlet diingatkan bahawa, setiap usaha mereka adalah langkah menuju kejayaan yang lebih besar, dan setiap kejayaan yang dicapai pada hari ini adalah hasil daripada usaha dan pengorbanan mereka.

Sehubungan itu, beliau juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan temasya SUKMA tahun ini.

Ucapan terima kasih beliau kepada jawatankuasa penganjur yang dipengerusikan oleh YB Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, sukarelawan, dan semua pihak yang telah memberikan sokongan dan tenaga mereka untuk menjadikan acara ini satu kejayaan tidak dilupakan.

Bagi beliau, tanpa usaha keras daripada mereka semua, kita tidak akan dapat merayakan detik-detik bersejarah ini.

Grafik yang menunjukkan pencapaian Sarawak dalam SUKMA
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article