- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Dato Sri Abdul Ghafur bin Shariff, Ketua Ombudsman Sarawak Yang Pertama

Must read

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (SPANS), YBhg Dato Sri Abdul Ghafur bin Shariff telah dilantik sebagai Ketua Ombudsman Sarawak yang pertama.

Beliau mengangkat sumpah jawatan tersebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Yang Arif Dato Dr. Haji Alwi bin Haji Abdul Wahab di Mahkamah Tinggi Kuching pada 26 Ogos 2024.

Majlis angkat sumpah dilangsungkan selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 7, Sarawak Ombudsman Ordinance, 2023.

Yang turut hadir menyaksikan majlis angkat sumpah tersebut ialah Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) merangkap Ketua Pentadbir Ombudsman Sarawak (Chief Administrator of the Sarawak Ombudsman), Encik Wan Mohamad bin Wan Drahman.

Dato Sri Abdul Ghafur ialah seorang lulusan Ijazah Sarjana Sains Polisi, Curtin University of Technology, Perth, Australia selain turut memiliki Ijazah Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia, Diploma Pentadbiran Awam, Institut Teknologi MARA (kini Universiti Teknologi MARA) dan Diploma Sains Pengurusan daripada Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Beliau juga pernah mengikuti program peringkat sijil dalam bidang pentadbiran di Hull College of Higher Education, England dan sijil dalam program pengurusan lanjutan di University of Pittsburgh, Pennsylvania, Amerika Syarikat.

Pendidikan awal beliau bermula di Sekolah Kebangsaan Methodist Kapit sebelum beliau berpindah ke St. Joseph’s Primary School dan seterusnya ke peringkat menengah di St. Joseph’s Secondary School, Kuching.

Kerjaya beliau dalam perkhidmatan awam Sarawak bermula dari tahun 1971 sehinggalah beliau menamatkan perkhidmatan sebagai Pengerusi SPANS pada Disember 2022 sebelum beliau dilantik sebagai Ketua Ombudsman Sarawak.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir Sarawak, Pegawai Daerah Kuching selain pernah dilantik sebagai Pengarah di Unit Kualiti dan Audit Sumber Manusia dan Unit Pengurusan Sumber Manusia, Jabatan Ketua Menteri.

Pada Januari 2007, beliau dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Sumber Manusia) dan memegang jawatan tersebut sehingga Julai 2011.

Pelantikan Dato Sri Abdul Ghafur sebagai Ketua Ombudsman Sarawak yang pertama menandakan satu lagi sejarah Sarawak sebagai negeri pertama di Malaysia yang menguatkuasakan undang-undang berkaitan sistem Ombudsman apabila Dewan Undangan Negeri Sarawak meluluskan Sarawak Ombudsman Ordinance, 2023 pada 20 November 2023.

Hal ini mengukuhkan lagi iltizam Kerajaan Sarawak dalam usaha memantapkan penyampaian perkhidmatan awam, memastikan tadbir urus yang baik diamalkan dan seterusnya meningkatkan tahap keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap jentera pentadbiran kerajaan.

Kerajaan Sarawak memperkenalkan undang-undang ombudsman berdasarkan pada peruntukan dalam Perkara 7, Senarai II (Senarai Negeri) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri untuk menggubal hal-hal berkaitan dengan jentera Kerajaan Negeri, khusus untuk perkhidmatan negeri.

Objektif utama ombudsman adalah untuk meningkatkan standard akauntabiliti pentadbiran awam di samping menyediakan langkah-langkah terhadap penyelewengan oleh agensi perkhidmatan awam negeri.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article