- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Peranan Penting Penyelidikan Hutan di Sarawak

Must read

Penyelidikan hutan di Sarawak dapat dikesan seawal tahun 1800 dengan penemuan flora dan fauna oleh penyelidik terkenal dari seluruh dunia yang telah mendokumentasikannya untuk pemuliharaan dan penjanaan ilmu.

JHS pada tahun 1921 telah memulakan pengumpulan botani sebelum memulakan kajian silvikultur pada tahun 1930-an.

Aktiviti penyelidikan yang dijalankan oleh jabatan ini telah berkembang, tidak hanya tertumpu pada pengumpulan botani tetapi juga dalam bidang lain seperti kajian tanah, serangga, ekologi, mikologi, pemuliharaan, dan kultur tisu.

Pelbagai program penyelidikan diletakkan di bawah seksyen-seksyen RDD seperti botani, ekologi, mikologi, entomologi, pemuliharaan, bioteknologi, kimia tanah dan alam sekitar.

Beberapa kemudahan disediakan termasuk herbarium, koleksi rujukan mikologi, koleksi rujukan entomologi, koleksi rujukan zoologi (sementara untuk Muzium Sarawak), makmal tanah, koleksi anatomi kayu, makmal-makmal, nurseri, dan pusat sumber penyelidikan.

Fungsi utama RDD termasuklah;

  • Menjana pengetahuan dan membangunkan teknologi yang sesuai untuk pemuliharaan, pengurusan mampan, pembangunan, dan penggunaan sumber hutan;
  • Mendokumentasikan, menginventori, dan menyelidik biodiversiti flora, fauna, dan persekitaran hutan di Sarawak;
  • Memperoleh kemahiran dan pengetahuan serta menyebarkan maklumat mengenai aktiviti penyelidikan berkaitan;
  • Mengurus dan menyelenggara koleksi rujukan tumbuhan, kulat, serangga, sampel kayu, spesimen hidupan liar, dan lain-lain;
  • Memberikan nasihat teknikal mengenai penyelidikan hutan dan pemuliharaan.
Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Penyelidikan dn Inovasi, Jabatan Hutan Sarawak, Puan Runi anak Sylvester Pungga

Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Penyelidikan (RDD) JHS, Puan Runi anak Sylvester Pungga ketika ditemu bual RAKAN Sarawak menjelaskan bahawa, RDD memainkan peranan yang sangat penting dalam menyediakan maklumat yang diperlukan bagi merumuskan dasar pengurusan yang kukuh mengenai penggunaan sumber hutan melalui penyelidikan intensif.

Menurut beliau, RDD kini mempunyai 76 orang kakitangan yang meliputi Pegawai Penyelidik, Penolong Pegawai Penyelidik, Kumpulan Sokongan yang terdiri daripada pembantu penyelidik, pentadbiran dan sebagainya.

RDD mempunyai tiga seksyen yang utama iaitu Seksyen Biodiversiti, Seksyen Pembangunan dan Seksyen Persekitaran.

Ketua Seksyen Biodiversiti, Encik Paulus anak Meleng semasa tinjauan ke bilik koleksi rujukan entomologi

Di bawah seksyen Biodiversiti, terdapat empat (4) program yang dijalankan iaitu Program Botani, Program Ekologi, Program Entomologi dan Program Mikologi yang diketuai oleh Pegawai-Pegawai Penyelidik.

Di Bawah Seksyen Pembangunan, terdapat dua (2) program iaitu Program Wood Science dan program Bioteknologi manakala di bawah Seksyen Persekitaran terdapat empat (4) program iaitu Program Kajian Tanah, Program Hidrologi, Program Kimia (makmal) dan Program Pemuliharaan.

Berkenaan fungsi seperti yang dinyatakan di atas, beliau menjelaskan bahawa RDD bertanggungjawab dalam mendokumentasikan spesimen, inventori sumber hutan dan mengumpulkan semua maklumat yang diperolehi mengenai flora, fauna dan persekitaran hutan.

Semua maklumat yang diperolehi akan didokumentasikan dalam bentuk laporan, buku dan sebagainya bertujuan untuk menjana pengetahuan mengenai flora, fauna, dan persekitaran hutan.

RDD juga bertindak sebagai pusat rujukan dengan mengurus dan mengemas kini koleksi rujukan serta pangkalan data.

Pegawai Penyelidik, Puan Ling Chea Yiing semasa tinjauan ke bilik rujukan botani

Spesimen yang ada di RDD merupakan khazanah penting yang perlu dipelihara, dan adalah menjadi tugas Pegawai Penyelidik untuk membuat kajian, mengurus serta mengemas kini setiap koleksi yang ada.

Selain itu, RDD turut menjalankan Penyelidikan Pelbagai Disiplin (Multi-Disciplinary Research) dalam merancang, melaksanakan, dan memantau aktiviti penyelidikan mengenai ekologi hutan, biodiversiti, pemuliharaan, penggunaan sumber biologi hutan, dan pengurusan hutan secara lestari.

Ini bermaksud, kajian yang dilaksanakan akan digabungkan dengan biodiversiti, pemeliharaan, penggunaan sumber biologi, dan juga aktiviti pengurusan hutan mapan memandangkan RDD turut bekerjasama dengan bahagian-bahagian lain di Ibu Pejabat sebagai sumber maklumat kepada mereka.

RDD juga memainkan peranan sebagai pusat pengumpulan dan analisis data serta menyediakan input dan data untuk JHS.

Jelas beliau, pengurusan data mengenai spesimen yang dikumpulkan, apa yang diperbuat dan menjalankan analisis adalah perlu untuk tujuan berkongsi input dengan pihak lain.

Fungsi RDD yang lain ialah sebagai pusat Penyebaran maklumat (information dissemination), memberi nasihat teknikal, mempromosikan kesedaran awam, menyebarkan maklumat penyelidikan mengenai sumber biologi hutan dan pemuliharaan serta penerbitan.

RDD terlibat dalam mempromosi kesedaran kepada orang awam dalam bentuk pameran serta penerbitan buku yang diberikan kepada orang awam, pelajar, institusi penyelidikan dan sebagainya.

Peranan RDD dalam pemuliharaan biodiversiti adalah sebagai pusat simpanan dan rujukan dimana ia berfungsi sebagai hub informasi, sumber depositori serta pusat rujukan untuk flora dan fauna.

Selain itu, RDD juga berfungsi sebagai tempat perkongsian dalam penyelidikan hutan kerana RDD menjalankan kajian dan penyelidikan bersama bukan hanya agensi sahaja, tetapi turut bekerjasama dengan universiti-universiti tempatan dan universiti antarabangsa.

Seterusnya, RDD turut menyediakan kemudahan pusat untuk pelatih, pelajar, institusi penyelidikan awam dan swasta.

RDD biasanya menyediakan tempat untuk pelajar dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kolej Universiti i-CATS dan institut pengajian tinggi yang lain menjalani latihan industri di sini selain ia turut terbuka kepada orang awam dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi tujuan lawatan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article