- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

SUKMA XXI Sarawak 2024 Temasya Terbesar Dalam Sejarah

Must read

Pada 16 Mac 2023, Sarawak telah dipilih sebagai tuan rumah SUKMA XXI selepas dipersetujui bersama oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia bagi menganjurkan sukan dwitahunan tersebut.

Dengan itu, ini merupakan kali ketiga Sarawak menjadi tuan rumah SUKMA sejak kali pertama pada 1990 dan kali kedua pada 2016.

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh menyifatkan SUKMA XXI Sarawak 2024 merupakan temasya yang terbesar dalam sejarah sejak mula diperkenalkan pada tahun 1986.

Menteri Belia dan Sukan Malaysia, YB Hannah Yeoh Ketika berucap pada Majlis Perasmian SUKMA XXI

SUKMA XXI Sarawak 2024 telah mempertandingkan 37 jenis sukan yang terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 acara campuran.

Buat pertama kalinya juga, atlet wanita telah menyertai kesemua 37 jenis sukan berbanding hanya 36 jenis sukan disertai atlet lelaki memandangkan sukan bola jaring tidak mempertandingkan kategori lelaki.

Grafik yang menerangkan secara ringkas tentang SUKMA XXI 2024 Sarawak

Manakala, daripada 41 disiplin sukan yang dipertandingkan, hanya 40 disiplin sukan yang disertai oleh atlet wanita disebabkan acara futsal terpaksa digugurkan kerana jumlah penyertaan tidak mencapai syarat minimum.

Untuk atlet lelaki, hanya 39 disiplin sukan yang boleh disertai kecuali bola jaring dan gimrama namun, beliau percaya bahawa SUKMA XXI kali ini akan menjadi batu loncatan untuk memperkasakan wanita dalam sukan.

Menurut beliau, kerajaan telah melaksanakan inisiatif Road to Gold (RTG) sebagai ruang elit menyediakan atlet negara ke Olimpik, manakala SUKMA merupakan batu loncatan ke arah tersebut.

Pada pandangan beliau, SUKMA pada kali ini telah menyediakan platform terbaik dalam membangunkan bakat dan menyediakan ‘pool’ atlet.

Beliau berkata demikian apabila melihat kerajaan Sarawak kali ini telah bersedia mempertandingkan sukan-sukan yang tidak terpilih dalam SUKMA ke-20 pada tahun 2022.

Dari sudut lain, beliau menyifatkan bahawa temasya SUKMA ini telah memberi nilai tambah dalam merancakkan ekonomi Sarawak di mana melaluinya, ekosistem industri sukan dan industri pelancongan makin aktif di bumi Sarawak, malah hubungan pelbagai kaum dan etnik juga dapat dieratkan.

Apa yang penting bagi beliau, apabila seramai 7,838 atlet dihimpunkan, pelbagai mesej boleh disampaikan seperti pelaksanaan ‘Kod Sukan Selamat’, sukan yang bersih dan adil serta pendidikan ‘anti-doping’ melalui platform ‘anti-doping education and learning’.

Sehubungan itu, beliau berkata bahawa adalah tidak terlewat untuk kita mengambil inspirasi daripada kesungguhan dan iltizam Team MAS X Olimpik Paris 2024.

Oleh sebab itu, kita akan teruskan RTG sebagai platform untuk menjaga bakat-bakat yang mungkin akan lahir daripada SUKMA ini dan beliau menyeru agar semua kontinjen bertanding demi memastikan mutu persaingan tinggi.

Beliau mengingatkan bahawa, melabur kepada atlet-atlet muda bukanlah pembaziran, tetapi pendekatan yang sudah pasti mampu dituai hasilnya nanti.

Pada masa yang sama, beliau turut memberi dorongan kepada semua 15 kontinjen agar bersaing dengan penuh semangat kesukanan yang tinggi.

Demikian amanat yang disampaikan oleh beliau pada upacara perasmian pembukaan temasya SUKMA XXI Sarawak di Stadium Sarawak pada 17 Ogos 2024 (Sabtu).

Majlis Perasmian SUKMA XXI telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar tiba untuk menyempurnakan Majlis Perasmian SUKMA XXI

Perasmian SUKMA XXI tersebut berkonsepkan matlamat perpaduan membara d imana upacara itu memperlihatkan semangat perpaduan yang digambarkan menerusi gabungan pancaran laser yang pastinya telah memukau ribuan hadirin yang telah membanjiri stadium negeri ini.

Majlis Perasmian SUKMA Sarawak 2024 yang berlangsung di Stadium Sarawak pada 17 Ogos 2024

Difahamkan juga orang ramai mula membanjiri Stadium Sarawak seawal jam 3 petang demi untuk memastikan tidak terlepas peluang majlis perasmian yang gilang-gemilang itu.

Kehangatan malam pembukaan Sukma XXI semakin terasa dengan sorakan orang ramai ketika menyambut perarakan masuk setiap kontinjen yang bermula dengan Johor selaku pemenang SUKMA 2022 dan diakhiri dengan kontinjen Sarawak.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article